Langkah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhan Kementerian Perpaduan Negara membuktikan manifestasi betapa pentingnya menguruskan rakyat majmuk negara ini agar sentiasa berpaut kuat kepada jambatan perpaduan nasional. Dengan terbentuknya kementerian baharu ini besarlah harapan seluruh rakyat Malaysia agar kita dapat kembali memperkukuh dan memperkasa aspek perpaduan nasional. Kementerian khusus ini juga menggambarkan komitmen kerajaan untuk merapatkan semula hubungan antara kaum yang dilihat semakin membimbangkan. Jadi menteri dan timbalan menteri yang dilantik perlu memikul tanggungjawab dan amanah ini sebaik yang mungkin.
Sudah-sudahla kita berpolitik dan bercakaran sesama sendiri. Ianya sangat tidak berbaloi dan cukup merugikan rakyat dan negara. Jangan jadikan rakyat sebagai mangsa keadaan yang diheret sama dalam kerakusan politik para politikus yang mementingkan diri dan menjadi hamba kepada kuasa dan pangkat. Ingat, pergeseren politik tidak menguntungkan mana-mana pihak kerana yang menang jadi arang dan yang kalah akan jadi abu. Oleh itu tutup seketika kita politik kerakusan dan kepartian. Mari kita fokus kepada usaha untuk menyatupadukan rakyat dan memulihkan negara.
Ironinya masalah kerapuhan perpaduan dalam kalangan rakyat bukanlah perkara yang boleh disorokkan lagi. Malah tahap perpaduan yang ada seringkali digambarkan sebagai umpama senipis kulit bawang atau umpama retak menanti belah sahaja. Hakikatnya, masalah ini dilihat semakin kritikal dan cukup merisaukan. Umpama sudah terang lagi bersuluh kita secara berterusan disajikan dengan pelbagai peristiwa yang menggoncang jambatan perpaduan yang telah dibina oleh generasi terdahulu.
Misalnya isu-isu sensitif terus dibincang, dicabar dan dipertikai secara lantang dan terbuka sehingga mencetuskan provokasi dan kemarahan sebahagian besar rakyat kita. Antaranya, hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Jujurnya tindak-tanduk segelintir individu yang dilihat dengan sengaja mengungkit dan mencabar perkara-perkara ini menyebabkan orang Melayu semakin marah dan risau. Persoalannya, apakah ini yang kita mahukan setelah bersusah payah mendapatkan kemerdekaan dari penjajah dan membina semula negara ini sejak 63 tahun yang lalu? Adakah berbaloi kita runtuhkan jambatan perpaduan yang telah diwariskan kepada kita oleh para pejuang kemerdekaan dan bapa pembangunan negara hanya kerana golongan politikus yang mencetuskan adu domba adalam kalangan rakyat? Jadi kita mahu kementerian baru ini melihat bagaimana isu seperti ini boleh ditangani dengan bijak sebelum semakin melarat dan meruntuhkan jambatan perpaduan yang ada.
Ironinya cabaran sekarang semakin kompleks dengan adanya media sosial yang menjadi platform untuk menyebarkan segala bentuk provokasi dan fitnah. Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan media sosial seperi facebook dan twiter sudah bertukar menjadi medan perang apabila anggota masyarakt saling berbalas termasuk dengan kata-kata kesat dan keji. Jelas sekali mereka mengambil kesempatan atas nama hak untuk menyatakan pandangan atau kebebebasan bersuara. Mereka lupa kebebasan suara juga ada had dan batasnya. Jadi kementerian ini perlu menjalinkan kerjasama erat dengan kementerian lain seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta polis supaya dapat mencari jalan untuk mengekang segala bentuk provokasi dan fitnah yang berkaitan isu-isu sensitif yang boleh mengancam perpaduan negara. Ini termasuklah menyemak semula hukuman-hukuman yang ada agar individu yang menyentuh isu sensitif sehingga mengancam ketenteraman awam dan perpaduan rakyat dikenakan tindakan yang lebih tegas dan keras.
Di samping mengambil tindakan dan menangani isu-isu yang dibangkitkan, kementerian ini juga perlu memberi fokus kepada usaha pencegahan iaitu perlu ada inisiatif baru untuk menyuburkan dan memperkukuh kembali tahap perpaduan dalam kalangan rakyat terutamanya golongan muda. Ini sangat mustahak kerana melalui pencegahan dan inisiatif baharu kita dapat membentuk generasi masa depan yang lebih bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain. Untuk itu disarankan kementerian ini bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan, hal ini kerana melentur buluh biar dari rebungnya, proses menerapkan perpaduan itu perlu bermula dari peringkat sekolah rendah dan menengah lagi.
Anak-anak di sekolah perlu diberi perhatian khusus melalui program dan inisiatif yang lebih efisien supaya mereka boleh menerima dan memahami budaya dan cara hidup rakan-rakan dari agama dan kaum lain. Peluang untuk mereka berinteraksi dan memahami perbezaan ini perlu diwujudkan dengan lebih banyak lagi supaya ianya boleh menjadi budaya dan amalan yang berterusan. Sesungguhnya, peringkat umur ini adalah waktu usia yang paling penting dan mudah untuk kita mengajar dan membentuk mereka mengikut acuan yang kita kehendaki. Jadi pastikan perpaduan nasional itu bermula dari sekolah rendah lagi. Carilah jalan untuk mengajar anak-anak kita mengenal erti bekerjasama, bertolak ansur dan keperluan untuk bersatu padu sebagai bangsa Malaysia.
Semoga dengan adanya kementerian baru yang khusus seperti ini kita dapat mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk terus memperkukuh tahap perpaduan nasional. Hal ini sangat mustahak kerana formula kejayaan kita selama ini iaitu sejak merdeka ialah kesatuan dan perpaduan antara kaum yang menjadi benteng kekuatan dalam mengharungi segala jenis cabaran dan gelora yang melanda.
Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam makalah berkala seperti Dewan Masyarakat. Beliau juga merupakan ahli pemikir Malaysia Corruption Watch (MCW).