Masa Sesuai Lakukan Siaran Langsung Jawatankuasa Parlimen

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Walaupun kebanyakan rakyat dan ahli parlimen mahukan perkhidmatan parlimen dikembalikan, peranan jawatankuasa parlimen perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh ahli parlimen untuk meneruskan fungsi semak dan imbang ke atas tadbir urus kerajaan berdepan Covid-19.

Jika kita merujuk surat atau kenyataan media Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 12 Januari 2021, beliau ada menyatakan bahawa setiap aktiviti melibatkan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK), Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) dan Kaukus boleh dijalankan seperti biasa meskipun pengisytiharan darurat telah menggantung fungsi parlimen.

Setiap jawatankuasa parlimen ini dianggotai oleh ahli parlimen merentasi parti politik yang berperanan meneliti setiap keputusan kerajaan dari segi dasar. Jumlah anggota jawatankuasa yang tidak begitu besar, tidak sampai 15 orang, menjadikan institusi ini lebih kondusif dan berfokus untuk membincangkan sesuatu isu secara terperinci dan di luar kerangka politik kepartian.

Tambahan pula, jawatankuasa parlimen tidak mempunyai halangan yang besar untuk mengadakan mesyuarat secara atas talian memandangkan bilangan ahli yang kecil berbanding persidangan Dewan Rakyat yang menghimpunkan beratus-ratus ahli parlimen.

Saya berpendapat, mesyuarat jawatankuasa parlimen harus ditayangkan secara langsung melalui saluran media sosial parlimen Malaysia dan media kerajaan sepanjang tempoh darurat. Pendekatan ini mampu meningkatkan ketelusan kerajaan menjelaskan sesuatu isu di hadapan orang awam secara langsung melalui mesyuarat jawatankuasa.

Sebelum ini, parlimen Malaysia hanya membuat siaran langsung persidangan parlimen melalui media sosial dan RTM. Tetapi, mesyuarat jawatankuasa parlimen seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan JPK dilakukan secara tertutup dan tidak diketahui orang ramai. Amalan ini menyebabkan rakyat tidak didedahkan secara mendalam mengenai fungsi parlimen yang sebenar.

Krisis berlaku pada hari ini merupakan peluang terbaik bagi melakukan siaran langsung perjalanan jawatankuasa parlimen, khususnya ketika parlimen Malaysia digantung sewaktu pelaksanaan PKP 2.0 dan darurat seluruh negara.

Parlimen New Zealand, sewaktu lockdown pandemik tahap keempat (kritikal), sudah melakukan perkara yang sama apabila perjalanan Epidemic Respons Committee yang bersidang  secara maya, ditayangkan secara langsung di media rasmi parlimen dan sosial media, termasuk sesi libat urus dengan pakar kesihatan dan pemegang taruh, untuk memberi pandangan terhadap keputusan kerajaan berkaitan usaha mencegah Covid-19. Malah, sesi soal jawab dan penjelasan bersama menteri dalam sesuatu isu di hadapan jawatankuasa turut disiarkan di media sosial parlimen.

Dengan cara ini, saya percaya orang awam akan mendapat penjelasan dan maklumat lebih lanjut tentang sesuatu isu, termasuk keputusan kerajaan menetapkan SOP dan dasar ekonomi bagi menghadapi krisis Covid-19.

Di peringkat negeri,  Dewan Undangan Negeri (DUN) juga boleh melakukan siaran langsung mesyuarat jawatankuasa badan legislatif menggunakan platform media kerajaan dan negeri masing-masing agar rakyat mendapat maklumat lebih jelas dan terbuka berkenaan  hala tuju kerajaan negeri untuk mengatasi krisis Covid-19 bersama ADUN.

Melaksanakan siaran langsung mesyuarat jawatankuasa parlimen bukanlah sesuatu yang rumit. Terdapat beberapa jawatankuasa parlimen Malaysia yang telah melaksanakan mesyuarat secara maya awal bulan Januari 2021. Cuma, setiap mesyuarat ini dijalankan secara tertutup tanpa diketahui orang awam dan ia amat merugikan.

Tidak timbul persoalan kehadiran untuk ahli jawatankuasa parlimen mengundi dalam sesuatu isu memandangkan tugas utama mereka hanyalah untuk menyiasat, menyemak dan menyediakan laporan untuk diberitahu oleh rakyat dan dibentangkan semasa parlimen mula bersidang.

Dengan ada siaran secara langsung, ia dapat menjelaskan kepada rakyat mengenai fungsi parlimen yang lebih efektif, membahaskan persoalan dasar kerajaan secara spesifik di peringkat jawatankuasa parlimen. Saya percaya, ia akan merapatkan lagi kerjasama rakyat dan parlimen dalam soal membina semula negara yang lebih baik,  yang sebelum ini tidak dipandang serius oleh kedua-dua belah pihak.

Pendekatan baharu ini akan memberi tekanan kepada ahli parlimen dan jemaah menteri bersikap terbuka dan bertanggungjawab sepanjang perbincangan dan siasatan dilakukan oleh jawatankuasa parlimen. Prinsip keterbukaan ini akan menjadi faktor utama kedua-dua belah pihak perlu bekerjasama berdasarkan semangat dwi-partisan bagi mengatasi krisis kesihatan dan ekonomi demi kesejahteraan rakyat, bukan atas kepentingan politik kerajaan.

Ia juga akan menimbulkan keyakinan rakyat terhadap hala tuju dan institusi negara ketika berhadapan krisis luar biasa apabila mereka melihat sendiri kerjasama pihak kerajaan dan pembangkang dalam menyelesaikan krisis dihadapi mereka secara siaran langsung.

Komen