SAGA pelaksanaan rangkaian teknologi 5G ternyata menjadi perhatian umum dan pantas mengingatkan kita tentang trauma penubuhan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang pada hari ini terbukti adalah sebuah kegagalan dan bencana yang memalukan negara.
Terdapat banyak persoalan dan tanda tanya berkenaan penubuhan Digital Nasional Berhad (DNB), syarikat berupa special purpose vehicle (SPV) yang ditubuhkan oleh kerajaan pada awal 2021 untuk memikul tanggungjawab bagi menjayakan projek rangkaian 5G di seluruh negara menerusi kaedah Rangkaian Borong Tunggal (SWN).
Mujur persoalan begini mendapat perhatian khususnya ahli Parlimen yang berperanan besar sebagai semak dan imbang kepada kabinet yang merencana penubuhan DNB.
Seperti terkandung dalam beberapa siri surat terbuka di antara Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi, Ralph Marshall, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DNB serta pemain industri telekomunikasi tempatan pada bulan Februari yang lalu, antara kebimbangan utama adalah bagaimana penubuhan DNB mampu mengakhiri masalah liputan rangkaian serta jurang digital di antara penduduk bandar dan luar bandar secara keseluruhan.
Antara lain, pertukaran utusan surat berkenaan juga menyentuh mengenai aspek kebolehlaksanaan projek 5G yang berteraskan model SWN berbanding model Dwi-Rangkaian Borong (DWN), proses perolehan, kos pelaksanaan projek, penyegeraan implementasi projek serta harga rangkaian yang akan ditawarkan oleh DNB kepada syarikat telekomunikasi kelak.
Sebagai pengguna, tumpuan saya tidak lari daripada menganalisa impak pelaksanaan projek 5G kendalian DNB ini khususnya dalam aspek liputan rangkaian yang lebih luas serta harga langganan yang lebih murah. Apatah lagi dalam keadaan tahap kebergantungan terhadap internet semakin tinggi di kalangan rakyat dan perniagaan, akses kepada capaian internet yang meluas, pantas dan stabil boleh dianggap sebagai hak asasi setiap manusia.
Berdasarkan kepada jawapan balas CEO DNB yang bertarikh 12 Februari 2021, pemilihan kaedah SWN berbanding dengan DWN adalah kerana mandat yang diberikan kerajaan bahawa fokus pelaksanaan projek 5G haruslah berteraskan kepada supply-led berbanding demand-led yang sememangnya menjadi kelaziman dunia perniagaan.
Dengan menggunapakai strategi supply-led, DNB dapat meluaskan perkhidmatan 5G sehingga ke kawasan di mana tahap penggunaan internet pada kadar yang agak rendah (low demand area), khususnya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.
Walau bagaimanapun, tatkala strategi ini terlihat murni pada dasarnya, apa yang membimbangkan adalah sejauh mana polisi ini dapat diteruskan sekiranya tahap penggunaan dan langganan internet 5G di kawasan berkenaan kekal rendah sehingga mendatangkan kerugian kepada DNB dan syarikat telekomunikasi terlibat.
Di sini saya melihat dua kemungkinan yang boleh dilakukan oleh DNB.
Ketersampaian Rangkaian Internet
Pertama, DNB terus memberikan perkhidmatan internet yang berkualiti dan stabil kepada penduduk di kawasan berkenaan dimana kos tersebut dipindahkan kepada pengguna di kawasan tahap penggunaan internet berada pada kadar yang tinggi (high demand area) seperti kawasan industri dan pejabat.
Sekiranya DNB mengguna pakai pilihan pertama, maka pakej rangkaian yang ditawarkan kepada pengguna di kawasan low demand area akan kekal berada pada kos yang terendah dalam satu tempoh yang lama. Ini sudah tentu akan memberi manfaat kepada pengguna di kawasan berkenaan yang boleh mendapatkan akses internet yang berkualiti bagi tujuan pendidikan dan pekerjaan dengan penuh penjimatan.
Dalam masa sama, ia juga akan memberi insentif kepada golongan pekerja gigs dan freelancers untuk kekal bekerja dari tempat asal mereka tanpa perlu berhijrah ke bandar. Keadaan ini sedikit sebanyak dapat mengurakan kesesakan dan kepadatan di bandar-bandar utama di seluruh negara.
Namun begitu, dengan memindahkan kos pengguna di kawasan low demand area kepada pengguna di kawasan high demand area khususnya pejabat dan kilang, keadaan ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi kos pengeluaran dan operasi syarikat-syarikat yang terbabit.
Apatah lagi dengan peningkatan kebergantungan pejabat dan kilang kepada internet bagi mengupayakan mesin dan robot pengeluaran yang berteraskan teknologi seperti internet-of-things (IoT), cloud computing, kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan pembelajaran mesin (machine learning), kos langganan internet dan jalur lebar pasti akan meningkat dengan ketara.
Berbanding pengguna pinggir bandar dan luar bandar yang boleh menikmati langganan internet pada harga yang sangat rendah, pengguna komersial seperti pejabat dan kilang bakal dikenakan caj yang sangat tinggi yang kemudiannya akan memindahkan kos tersebut kepada pengguna dalam bentuk harga barangan dan perkhidmatan.
Perkhidmatan Internet Berkualiti
Kedua, dengan mengoptimakan keupayaan teknologi network slicing, DNB boleh menggunakan konsep tawaran di mana pengguna boleh memilih pakej yang lebih murah tetapi dengan kelajuan serta capaian yang terbatas ataupun pakej yang lebih mahal tetapi dengan kelajuan serta capaian yang lebih berkualiti.
Sekiranya ini menjadi pilihan DNB, maka akan terdapat jurang yang ketara di antara kualiti dan harga kedua-dua pakej yang ditawarkan. Apa yang membimbangkan adalah sekiranya kadar di antara kedua-dua pilihan tersebut adalah sangat ektrem dari segi pakej dan harga.
Misalnya, pakej yang lebih murah adalah di bawah piawaian yang diunjurkan dan langsung tidak dapat digunakan oleh pengguna walhal pakej yang lebih mahal adalah terlampau mahal sehingga tidak dapat ditanggung oleh pengguna khususnya yang berpendapatan rendah.
Sekiranya senario ini berlaku, maka objektif asas penubuhan DNB dan penggunaan kaedah SWN yang dicanang kerajaan tidak dapat dipenuhi. Di sebalik peningkatan kebergantungan terhadap internet bagi tujuan pendidikan, komunikasi dan pekerjaan, harga langganan internet yang tidak munasabah bukan sahaja membebankan golongan berpendapatan rendah malahan menolak mereka ke belakang dalam arus pembangunan sosio-ekonomi masyarakat.
Keadaan ini kemudiannya akan menambahkan lagi jurang digital yang sedia besar khususnya di antara golongan bandar dan luar bandar dan juga golongan berpendapatan tinggi dan berpendapatan rendah. Tanpa capaian kepada perkhidmatan internet yang berkualiti, golongan rentan ini terus ketinggalan dalam aspek pendidikan, kemahiran digital dan akses kepada sumber maklumat kritikal.
Kesan Jurang Digital Pada Masyarakat
Jurang digital yang semakin melebar akan memberikan impak negatif kepada pembangunan masyarakat secara inklusif dan lestari. Kegagalan kerajaan bagi memastikan pelaksanaan teknologi 5G oleh DNB memberi manfaat khususnya kepada masyarakat yang pada ketika ini tidak mendapat liputan rangkaian yang baik akan menjerumuskan kita ke dalam permasalahan yang lebih teruk seperti ketaksamaan pendidikan, ketaksamaan akses informasi kritikal, dan ketaksamaan peluang pekerjaan.
Apabila kerajaan gagal dalam menjamin akses internet yang berkualiti, pantas dan stabil kepada sekolah-sekolah di luar bandar akan menyebabkan pelajar tidak dapat mengikuti aktiviti pembelajaran moden dengan sebaiknya.
Tatkala pelajar di ibu kota sudah mahir menggunakan teknologi augmented reality dan virtual reality, tangan pelajar di kawasan pedalaman masih berdebu memegang kapur dan papan hitam. Apabila golongan ini bersaing mencari pekerjaan kelak, sudah tentu ketiadaan asas kemahiran digital akan menggelapkan peluang mereka untuk diterima oleh bakal majikan.
Tanpa akses internet yang baik, penduduk pinggir bandar dan luar bandar yang terlibat dalam perniagaan mahupun pelaburan tidak dapat membuat keputusan dengan sebaiknya akibat gagal mendapatkan maklumat penting pada masa yang tepat.
Dari sudut pembangunan sosio-politik, kekangan mendapatkan sumber informasi yang tepat menjadikan mereka jahil tentang isu semasa berkaitan polisi dan tadbir urus negara yang kemudiannya menjadikan mereka gagal menilai dan mengundi dengan baik semasa pilihan raya.
Dalam masa sama, tanpa akses kepada jaringan internet yang berkualiti, golongan muda di luar bandar juga mengalami kesukaran dalam mendapatkan peluang pekerjaan. Tanpa kemahiran digital yang sesuai serta akses yang baik bagi mengerjakan sebarang latihan ataupun pekerjaan secara dalam talian, mereka terpaksa berhijrah ke bandar demi rezeki yang lebih baik.
Perkara ini sekali lagi akan menjadi beban kepada golongan berpendapatan rendah yang serba serbi kekurangan dari segi modal kewangan dan kemahiran teknologi. Dalam masa yang sama, ia juga akan menyebabkan permasalahan seperti kepadatan penduduk dan kesesakan lalu lintas melampau di kawasan bandar akibat penghijrahan beramai-ramai penduduk luar bandar.

Archigós Nikólas berasal dari Sarawak dan minat menulis mengenai topik kepimpinan, keadilan dan kebebasan. Beliau percaya setiap rakyat berhak untuk mendapat akses yang lebih baik kepada informasi kritikal yang selama ini hanya berlegar di kalangan elit sahaja.