Malaysia Dilanggar Todak

TODAK boleh menyerang kampung? Aneh bukan? Tapi inilah yang diceritakan dalam filem Singapura dilanggar todak diarahkan oleh Omar Rojik dan diterbitkan oleh Malay Film Production. Filem ini antara filem evergreen buat masyarakat kita malah ditonton sehinggalah ke hari ini. Walaupun filem ini diadaptasi dari sebuah karya klasik (sejarah Melayu) yang berlaku di Singapura dan ditambah pula dengan nama watak Hang Nadim yang sebelum ini tidak tercatat pun dalam karya asalnya, namun masih mampu membuatkan penonton teringat-ingat dengan babak-babak yang ada dalam filem tersebut.

Secara ringkasnya, akibat dari perbuatan seorang raja yang zalim dengan menghukum bunuh Tun Jana Khatib kerana memiliki kuasa yang berlebihan dari raja, maka satu kampung itu telah menerima sumpahan. Sumpahannya bukan kepalang, todak yang datang menyerang. Maka huru-haralah kampung. Namun hadirnya seorang anak lelaki pintar bernama Hang Nadim telah menyelamatkan huru-hara kampung.

Beliau bertindak dengan meletakan batang pisang di tepian pantai mengakibatkan todak-todak itu tersekat. Tapi sayang anak bijak itu tidak bertahan lama, pembesar istana tidak menyukai Hang Nadim, kerana kebijakannya itu satu hari akan mengancam kuasa raja. Maka pembesar tadi telah meyakinkan raja untuk menghukum bunuh anak kecil itu. Nasib baik hang Nadim tidak melafaz sumpah, kalau tidak Singapura bakal dilanda todak 2.0. Tapi hilangnya Hang Nadim menyebabkan satu kerajaan itu terus hancur dan tidak bernama lagi.

Cerita-cerita sebegini sebenarnya tidak hanya berakhir dengan kredit-kredit yang terpampang pada akhir cerita, sebaliknya ia kaya dengan nilai dan pengajaran yang boleh menggegarkan Medulla oblongata kita. Apakah yang akan terjadi sekiranya Malaysia pula dilanda todak? Atau apakah sebenarnya Malaysia sudah dilanggar todak? Cuma todak yang dimaksudkan itu bukanlah seekor ikan secara literal tetapi sebuah simbol-simbol lain dimana sudah ada malapetaka yang terjadi? Juga persoalan besar apakah kesan sekiranya ia terjadi?

Dilanggar Todak Dalam Diam

Di mana-mana negara tentu sahaja punyai sosok elit mereka yang tersendiri. Amat jarang kita ketemukan sebuah negara hatta sebuah negara miskin sekalipun, tidak punyai kelompok elit. Secara umumnya kelompok elit ini dilihat sebagai satu sosok atau figur yang mampu memimpin dan menerajui pembangunan dan kemajuan masyarakat. Tidak kisahlah dari idea mahupun perbuatan. Itulah mengapa peranan elit ditagih dan dihormati. Namun peranan elit yang bergerak tanpa ada kesedaran moral juga pendidikan kritis boleh menjadi bencana.

Antara bencananya apabila demokrasi tidak lagi dianggap sebagai kuasa tertinggi malah maruah demokrasi dilacurkan. Pertarungan kuasa berlaku diperingkat tertinggi tidak lagi melalui suara majoriti. Mereka (elit) yang sendiri mahu merancang siapa yang bakal naik, dan siapa yang bakal turun. Masyarakat dibawah terpinga-pinga memikirkan masalah ini seolah suara mereka dirompak oleh kekuasaan. Saya percaya jika ada watak Hang Nadim sekarang ini pun tidak akan dapat menyelesaikan apa-apa malah dimusuhi. Percayalah yang kritis dan bermoral itu tidak bertahan lama. Tidak tahu mengapa, kini menjadi seorang bermoral itu merupakan satu kesalahan, sedangkan dari kecil itulah yang dituntut untuk dikerjakan. Seperti dilanggar todak, apabila bukan lagi suara rakyat, tapi kuasa elit yang mengambil tempat.

Seterusnya, kesedaran terhadap pengurusan alam sekitar yang lemah. Rupa-rupanya selama ini Malaysia menjadi terminal untuk sampah-sampah negara maju berhenti dan disemadikan. Malangnya sisa buangan domestik pun tidak diurus dengan baik inikan pula mengurus sisa pembuangan antarabangsa. Berlaku konflik ke atas pengurusan sisa buangan itu, lalu mantan menteri YB Yeo Bee Yin telah mengarahkan sampah-sampah itu dihantar semula. Mengejutkan apabila ada negara yang tidak mahukan sampah itu dihantar semula.

Nah, selepas itu muncul Jepun yang hadir dengan tawaran mereka mahu mengurus sisa pepejal ini kerana teknologi yang mereka punyai. Inilah yang memeningkan saya. Di saat negara kita berlumba-lumba menghasilkan pelajar sains dan kejuruteraan yang banyak setiap tahun lalu mengabaikan pelajar aliran sains kemanusiaan, mengapa negara kita tidak mampu menghasilkan teknologi bagi mengurusi sisa buangan domestik? Bukan bermaksud perlu menyokong sampah buangan luar negara, tapi teknologi ini setidaknya membantu negara menguruskan sisa domestiknya dengan lebih teratur, lancar, bersih dan yang paling penting tidak mencemarkan alam. Sepatutnya inilah kegunaan ilmu yang sebenar bertindak dengan meringankan dan memudahkan urusan manusia.

Tapi kompasnya tidak begitu, entah mungkin kerana tiada geran penyelidikan kerana pemimpin dan elit yang tidak serius, atau pelajar kita hanya dilatih untuk memasuki industri yang sudah stabil, disamping terpaksa bergelut dengan sistem kapitalis mengakibatkan sisi inovasi, kreativiti dan kepihakan terbantut lalu menyebabkan kepentingan sains dan teknologi di negara ini seakan mandul. Sudahnya pencemaran tidak terkawal dan negara menjadi kucar kacir. Jadi adakah ini yang dimaksudkan dengan Malaysia dilanggar todak? Kerana deritanya berpanjangan dan yang menanngung juga masyarakat.

Selain dari kelemahan dalam sains dan teknologi, agama yang lemah nilai juga dilihat sebagai satu todak yang tanduknya tajam, mampu mencederakan sesiapa sahaja di hadapan. Kita tidak mengenengahkan sisi nilai agama yang lebih toleransi dan mendamaikan. Sesiapa sahaja yang cuba mencari titik perdamaian atau persamaan akan dituduh liberal, plural, sekular dan macam-macam gelaran lagi dari kelompok tradisionalis gara-gara kesemua itu mencabar fahaman mereka. Tidak ubah seperti kisahnya Tun Jana Khatib dan Hang Nadim cuma bezanya tidak ditikam secara fizikal.

Cuba kita renung kembali apa jawapan yang akan kita beri sekiranya anak kita tanyakan soalan mengapa sebagai muslim tidak boleh makan babi? Adakah jawapan kita terhenti pada ‘kerana babi itu haram’? Nanti bila kanak-kanak itu meningkat dewasa apa pula pandangan mereka terhadap kelompok yang memakan haiwan itu? Konflik timbul apabila seorang muslim berasa superior terhadap diri sendiri sehingga merendahkan orang lain. Di sinilah kegagalan seorang muslim dalam mendidik. Sepatutnya jawapanya bersifat edukatif. Dengan menyatakan sebab dan diversiti yang berlaku. Benar babi itu haram, namun ada kelompok yang boleh memakannya ini tidak bermakna kita lebih baik dari mereka. Nilai-nilai toleransi dan kedamaian inilah yang kita kurang. Banyak lagi contoh nilai agama lain yang boleh disentuh yang diberikan antara salah satu contoh.

Sifat anti-intelektualisme juga bahaya jika dibiarkan. Namun sifat ini ada di mana-mana. Seperti mana Hang Nadim ditikam di usia muda, seperti itu juga budaya intelektualisme di negara ini. Seakan tidak ada ruang bagi mereka yang kritikal. Di imigrasi buku-buku yang tajuknya nakal agak berat diberi masuk malah ada yang dirampas terus. Ada pula judul-judul buku yang diharamkan dari diperoleh dan dibaca oleh pihak penguasa. Juga tiada sokongan yang meluas dari elitis untuk budaya ilmu, menyebabkan budaya intelektualisme runtuh. Dari Semenanjung sehinggalah ke Sabah dan Sarawak budaya intelektual seperti retak menanti belah. Tunggu masa sahaja untuk runtuh. Jika dulu seperti padang rumput hari ini seperti padang tandus.

Bila kali terakhir gedung-gedung beli belah anda ada menyediakan jualan buku berkualiti? Juga adakah di tempat anda punyai banyak ruangan awam untuk anak-anak muda berdiskusi, membaca buku mahupun menulis? Ironinya banyaknya poster yang mengajak untuk menyertai seminar pendidikan, forum revolusi industri 4.0 tapi kualiti buku dan topiknya tidak membangun masyarakat. Ada pula harga buku yang melambung sehingga tidak masuk akal untuk dibeli. Inilah Malaysia. Secara senyap sedang dilanggar todak bukan kerana sumpahan orang lain tapi kerana sumpahan diri sendiri.

Kesimpulan

Sumbangan Hang Nadim itu besar, ia memperlihatkan bagaimana kezaliman elitis meragut harta yang bernilai. Kita tidak mahu itu. Kita mahukan harta yang bernilai (akal) itu terpelihara diamalkan dan dijamin oleh sang penguasa. Jadi sang penguasa dan elitis punyai tanggungjawab besar, bukan sekadar menayangkan harta mereka hatta perbuatan mereka dengan kapsyen “berjiwa rakyat” di media sosial tanpa menyelesaikan atau memikirkan isu-isu pokok ini. Kita mahukan elitis yang berfungsi juga masyarakat yang kritis supaya sama-sama dapat membangun manusiawi. Hentikanlah perlanggaran todak ini kerana sakitnya tidak terperi, malah kesannya mengherot semangat manusiawi.

Komen