blank

Malaysia Bukan Negara Islam

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin
blank

Malaysia sudah mencapai ulang tahun kemerdekaan untuk kali yang ke 62 tahun. Malaysia ditubuhi Semenanjung Tanah Melayu dan Sabah serta Sarawak dengan persetujuan antara negeri melalui Suruhanjaya Reid. Pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diadakan di Stadium Merdeka tepat pada jam 9:00 pagi bertarikhkan 31 Ogos 1957. Upacara ini ternyata gah di mata dunia kerana pada upacara ini, wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri, Yang Teramat Mulia (YTM) Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Laungan “Merdeka” sebanyak tujuh kali dan tembakan meriam sebanyak seratus satu das tembakan dilakukan untuk menandakan berakhirnya naungan British ke atas Persekutuan Tanah Melayu dan lahirnya sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Sebelum zaman kemerdekaan, Malaysia telah didiami oleh pelbagai kaum terdiri daripada Melayu, Cina, India dan lain-lain. Malaysia merupakan antara negara yang hidup dengan masyarakat majmuk pelbagai bangsa dan agama. Walaupun sudah 62 tahun merdeka, ada juga rata-rata dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak pasti akan status sistem kerajaan Malaysia, sama ada quasi federal secular dan constitutional monarchy atau bahasa Melayunya, kuasi sekular berpersekutuan dan raja berperlembagaan atau negara Islam, secara terangnya. Perdebatan ini masih lagi menjadi salah satu isu yang hangat diperkatakan sehingga ada yang membawa kepada perbalahan.

Seterusnya dalam perbincangan konteks “Malaysia Bukan Negara Islam”, yang sering disalah anggap dan dijadikan terma atau sebab untuk melabel Malaysia sebagai negara Islam ialah isu agama Islam merupakan agama rasmi bagi Malaysia. Islam sebagai agama rasmi Malaysia tidak menjadikan Malaysia sebagai negara Islam. Pengangkatan agama Islam dalam pentadbiran Malaysia hanya sekadar sebagai penanda aras untuk membezakan agama utama dan agama lain yang seiring dengan agama Islam. Ini membuatkan Islam menjadi agama rasmi Persekutuan dan agama lain boleh dipraktiskan secara aman dan bebas. Walaupun bagaimanapun, ramai rakyat Malaysia yang masih menyangkal hujah Malaysia bukan negara Islam ini, dengan alasan bahawa Malaysia mempunyai banyak infrastruktur Islamik; masjid, sekolah agama, ilmuwan, azan yang berkumandang setiap kali masuk waktu solat, sistem zakat dan baitulmal serta penggunaan undang-undang syariah pada peringkat mahkamah.

Perbincangan lebih lanjut, perkara yang disebutkan di atas adalah perkara yang tidak menentukan hala tuju sistem dan jenis kerajaan yang dijalankan. Sesebuah negara boleh mempunyai beratus ribu masjid, sistem zakat terbaik, ilmuwan berkelas dunia dan azan berkumandang setiap hari tetapi belum tentu ianya merupakan negara Islam. Contoh yang terdekat adalah Turki. Negara Turki mempunyai 99.8% rakyat beragama Islam tetapi Turki merupakan negara yang menjalankan sistem presiden republik berperlembagaan (sekular). Untuk mengatakan jumlah infrastruktur Islamik atau masjid menentukan keislaman sesebuah negara adalah tidak kukuh kerana Turki mempunyai lebih banyak infrastruktur yang dikatakan tetapi negara tersebut masih memegang sistem sekular, bukannya sistem Islamik.

Seterusnya, penggunaan undang-undang syariah pada peringkat mahkamah. Undang-undang Malaysia sememangnya dibahagikan kepada tiga kelas iaitu undang-undang sivil, undang-undang jenayah dan terakhirnya, undang-undang Islam atau syariah. Kemudiannya, penggunaan undang-undang syariah dalam mahkamah semasa perbicaraan. Segala urusan berkaitan dengan agama Islam diselesaikan dengan menggunakan cara dan hukum-hakam Islam. Urusan seperti penceraian, hadanah (hak penjagaan anak), nafkah dan sebagainya adalah tertakluk di bawah agama Islam dan bukannya dalam kategori sivil. Penggunaan undang-undang Islam dalam perbicaraan mahkamah tidak juga menjadikan Malaysia sebagai negara Islam. Penggunaan ini merupakan satu simbol atau lambang yang membicarakan keadilan Islam itu sendiri sebagai agama. Penggunaan undang-undang Islam adalah satu perkara asas bagi sesebuah negara apabila negara itu mempunyai sejumlah besar penduduk beragama Islam. Pembaca perlu tahu bahawa undang-undang adalah berbeza penggunaannya mengikut kesesuaian kategori kes yang dibicarakan.

Terakhirnya dalam perdebatan kali ini adalah isu Organisation of Islamic Cooperation atau OIC. Malaysia merupakan salah satu anggota dalam pertubuhan ini. Menjadi anggota pertubuhan ini juga tidak menjadikan Malaysia sebagai negara Islam. OIC hanyalah merupakan satu pertubuhan yang menjadi medium untuk negara-negara yang mempunyai penduduk beragama Islam bagi menyuarakan pendapat, sesi soal jawab, informasi keselamatan antara negara, ekonomi dan keadaan politik. Banyak di antara anggota OIC merupakan negara yang sistemnya bukan Islam sepenuhnya walaupun penduduk majoritinya adalah Muslim. Contoh negara tersebut ialah Turki dan Indonesia.

Untuk Malaysia menjadi negara Islam, Malaysia perlu memenuhi syarat-syarat untuk sesebuah negara Islam. Syarat-syarat untuk menjadi negara Islam ialah yang pertamanya, tanah yang penduduk asalnya memang terdiri daripada Muslim dan diperintah oleh pemerintah Muslim. Kedua, tanah yang didiami oleh Muslim tetapi kemudiannya dijajah kafir dan ketiga, tanah yang dibuka oleh Muslim daripada peperangan atau persefahaman. Selagi Malaysia tidak memenuhi syarat-syarat di atas, Malaysia tidak layak digelar sebagai negara Islam walau apa jua alasannya. Untuk lebih pemahaman, Malaysia pada zaman dahulunya, majoritinya beragama animisme, politiesme dan sebagainya. Persekutuan Tanah Melayu hanya mendapat perkhabaran tentang Islam apabila banyak pedagang Arab datang dan membawa ajaran tersebut. Persekutuan Tanah Melayu atau nama terkininya, Malaysia juga merupakan negara yang merdeka dengan perjanjian Suruhanjaya Reid. Malaysia tidak mendapat kemerdekaannya melalui peperangan tetapi melalui perbincangan wakil Malaysia ke kota London. Selain daripada itu, sesebuah negara Islam juga wajib menjalankan hukum hudud pada kadar 100% tanpa sebarang sekatan. Contoh negara Islam yang menjalankan sistem Islam sepenuhnya adalah seperti Saudi Arabia, Yemen, Oman, Afghanistan, Iran dan Mauritania. Namun yang demikian, Brunei turut menjalankan hukun hudud tetapi Brunei bukan negara Islam. Brunei merupakan negara yang mengamalkan sistem absolute monarchy atau menjadikan titah Sultan sebagai satu arah yang wajib dipatuhi tetapi masih menjalankan hudud.

Secara fakta dan ilmiahnya, Malaysia bukanlah negara Islam tetapi merupakan negara yang berpegang kepada sistem quasi federal secular dan constitutional monarchy. Untuk lebih pemahaman, quasi bermaksud sebahagian, separuh atau hampir menjadi sesuatu yang ia disasarkan. Federal di sini pula bermaksud persekutuan dan secular adalah prinsip yang mengasingkan atau memisahkan kerajaan dan agama. Constitutional monarchy atau pun sistem raja berperlembagaan dalam bahasa Melayunya, bermaksud sistem beraja hanya menjalankan tugas sivik sebagai simbol kesepaduan dan agama persekutuan tetapi tidak menjalankan tugas sebagai eksekutif  dan tidak mempunyai kuasa dalam membuat polisi di dalam parlimen.

Konklusinya, negara Islam dan negara sekular mempunyai banyak perbezaan. Syarat-syarat sebagai negara Islam wajib dipenuhi untuk menjadi sebuah negara Islam. Pengambilan cuti hari Islam, sistem Islamik zakat, azan, populasi majoriti serta penggunaan undang-undang dalam negara bukan syarat wajib untuk ke arah negara Islam sebenar. Kebebasan mengangkat agama Islam dalam negara hanyalah untuk memudahkan rakyat yang beragama Islam untuk menyempurnakan amal ibadat mereka dengan tenang dan terjamin keselamatannya dan begitu juga dengan agama lain yang seiring dengan agama Islam itu sendiri.

Komen