Makna Besar Hari 1 September 1957

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Bagi rakyat Malaysia, 31 Ogos 1957 adalah suatu tarikh keramat. Mereka tidak akan mengingati 1 September 1957 tetapi ia merupakan hari penting bagi negara. Ini kerana ia merupakan hari bekerja selepas Hari Pemasyhuran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 1 September 1957, bermulalah proses pembinaan negara yang diisytiharkan sebelum itu. Bendera Tanah Melayu dinaikkan pada pagi 31 Ogos 1957 dan lagu Negaraku dikumandangkan pada pagi majlis pemasyhuran kemerdekaan di Stadium Merdeka.

Di pentas Stadium Merdeka, dapat disaksikan raja-raja yang berdaulat dan wakil penjajah yang mempunyai kuasa eksekutif ke atas tanah jajahan menyerahkan kemerdekaan pada Tunku Abdul Rahman yang mewakili warga negara Tanah Melayu melalui pilihan raya umum tahun 1955 di depan rakyat yang hadir di stadium itu.

Tunku yang dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan dapat diterima oleh raja-raja mungkin kerana beliau adalah seorang putera raja. Sementara rakyat pula boleh menerima beliau kerana mungkin perawakannya yang sederhana dan bersahaja. Pihak British juga boleh menerima beliau bukan saja kerana Tunku belajar undang-undang di Britain serta faham budaya mereka tetapi lebih penting lagi beliau komited terhadap demokrasi, kebebasan, sistem ekonomi pasaran dan menolak komunisme.

Sememangnya, Tunku hendak menjadikan Tanah Melayu sebuah negara moden, maju dan berorientasikan Barat. Walaupun kepentingan politik, ekonomi dan identiti Melayu dipelihara melalui perlembagaan dan segala simbolisme serta adat istiadat tetapi Tunku tidak berhasrat untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai negara tradisi Melayu-Islam. Baginya Tanah Melayu yang dalam bahasa Inggeris dan di peringkat antarabangsa dipanggil Malaya adalah negara pelbagai kaum, budaya dan agama serta mengamalkan cara hidup liberal, sederhana dan sekular. Sungguhpun begitu agama rasmi negara adalah Islam dengan raja-raja sebagai ketua agama, satu lagi ciri unik negara ini.

Lihat juga bangunan-bangunan mercu tanda kebangsaan awal yang dibina Tunku. Bangunan yang berbentuk tradisional adalah Muzium Negara kerana ia menyimpan khazanah warisan negara. Tetapi bangunan-bangunan lain adalah berbentuk modenis terlepas daripada reka bentuk tradisi.

Terpenting adalah Masjid Negara yang tiada kubah. Reka bentuk kubah dan menara payung adalah unik, hanya ada di Tanah Melayu, tiada di Timur Tengah, Asia Selatan dan Asia Tenggara. Seni bentuk Masjid Negara adalah modenis yang menunjukkan bahawa Tanah Melayu hendak mengamalkan Islam yang selari pada zaman moden, dan bukannya bersifat tradisi.

Bangunan penting lain ialah Rumah Persekutuan yang menempatkan pejabat-pejabat kerajaan persekutuan. Begitu juga dengan bangunan Wisma Putra lama, bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka lama, Angkasapuri, Bank Negara dan Stadium Merdeka sendiri adalah berekabentuk modenis selaras trend negara-negara maju di Barat ketika itu.

Pemasyhuran merdeka dibuat di Stadium Merdeka juga mempunyai makna tersendiri. Ia tidak dilakukan dalam mana-mana istana yang hanya disaksikan oleh orang-orang kenamaan saja. Ia tidak dilakukan di Padang Selangor Club yang merupakan dataran pusat kuasa kolonial British, tetapi ia dilakukan di stadium baharu yang Tunku kata akan menjadi lapangan untuk kegiatan rakyat merdeka, daripada hiburan, perhimpunan hinggalah sukan.

Dengan namanya Stadium Merdeka, inilah pertama kalinya sebuah bangunan bermakna merdeka. Ia bukan saja bermaksud Tanah Melayu merdeka daripada Britain, tetapi lebih penting lagi ialah rakyat Tanah Melayu menjadi warga negara merdeka yang saksama, tidak lagi menjadi anak jajahan British. Satu lagi kepentingan gagasan merdeka adalah kebebasan rakyat negara untuk mengamalkan cara hidup masing-masing secara demokratik. Bebas berfikir, bebas mengutarakan pendapat, bebas berekspresi, bebas menulis, bebas berkarya dan bebas berniaga.

Satu mercu tanda penting yang Tunku bina adalah Tugu Kebangsaan. Sememangnya Tunku dikenali sebagai pro-Barat. Bukan saja beliau pro-London tetapi juga pro-Washington. Ketika melawat Washington, beliau melalui arca Peringatan Perang Dunia Kedua yang memaparkan tentera Amerika menaikkan bendera negara mereka di pulau Iwo Jima, Jepun. Amerika mewakili kuasa kebebasan demokratik sementara Jepun mewakili kuasa kongkongan fasisme.

Tunku mencari pengukirnya, Felix de Weldon untuk dibawa ke Tanah Melayu bagi membina sebuah tugu memperingati tamatnya Darurat untuk menunjukkan kejayaan negara ini mengalahkan komunis. Umumnya banyak orang menafsirkan bahawa tugu itu menunjukkan bahawa askar Tanah Melayu yang memegang bendera negara telah mengalahkan militan Parti Komunis Malaya yang bergelimpangan mati. Tetapi mesej lain yang hendak diberikan ialah seperti arca di Washington itu. Kebebasan demokratik diwakili oleh askar-askar Tanah Melayu sementara militan Parti Komunis Malaya adalah pihak yang mahu melaksanakan kongkongan komunisme.

Maknanya Tanah Melayu hendak dijadikan sebuah negara bebas dan demokratik. Kebebasan ini perlu dipertahankan dan pengorbanan untuknya telah banyak dilakukan sepanjang tempoh Darurat dari tahun 1948-1960.

Tetapi pelaksanaan kandungan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mula dilakukan pada 1 September 1957. Pertamanya ialah pertabalan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara Tanah Melayu yang disempurnakan di Dewan Tunku Abdul Rahman di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada hari berikutnya iaitu 2 September 1957.

Di dewan itu juga, diadakan sidang-sidang parlimen, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Sebelum Bangunan Parlimen dibina, sidang-sidang parlimen diadakan di dewan itu.

Kedua-dua institusi ini, Yang di-Pertuan Agong dan Parlimen adalah pelaksanaan Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan bahawa Tanah Melayu adalah sebuah negara Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Raja-raja dan kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman yang mewakili rakyat komited pada sistem demokrasi berbentuk Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang digubal secara teliti dan penuh tolak ansur dan keseimbangan dengan mengambil kira realiti politik negara ini, untuk menjadi sebuah entiti moden yang demokratik tetapi pada waktu sama memelihara serta pengiktirafan simbolisme, tradisi, identiti dan hak penduduk peribumi.

Sistem inilah yang menjadi teras bagi penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang meliputi Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah. Ia merupakan peluasaan konsep asas Persekutuan Tanah Melayu. Terasnya tetap Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen ini amat besar ertinya bagi Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah. Walaupun kemudiannya Singapura dikeluarkan daripada Malaysia tetapi konsep ini terus diamalkan tanpa tergendala, dan memberikan pembangunan, kemakmuran dan kemajuan kepada rakyatnya.

Asas pada konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen adalah “negara bangsa moden” atau “modern nation state” yang berpaksikan pada sistem demokrasi liberal dan kesaksamaan kewarganegaraan.

Sebelum 31 Ogos 1957, sistem ini tidak pernah berlaku di Tanah Melayu. Apa yang berlaku di Tanah Melayu seperti mana di banyak negara-negara lain di dunia ialah sistem feudal dan kemudiannya kolonial apabila kuasa-kuasa imperial datang dan menjajah.

Sistem beraja mutlak adalah cara pemerintahan tradisional yang universal, bukan saja di Nusantara tetapi di seluruh dunia termasuk di negara-negara kuasa penjajah. Sebenarnya bukanlah mutlak kerana seseorang raja tertakluk pada adat dan konvensyen istana dan dinasti masing-masing. Apa yang membezakan antara raja mutlak dan berperlembagaan ialah kuasa dan hadnya diperjelaskan dalam perlembagaan untuk memisahkan peranan seorang ketua negara dan ketua kerajaan.

Sistem feudal tradisi, ketua negara dan ketua kerajaan adalah orang yang sama. Konsep ketua negara dan ketua kerajaan juga merupakan suatu perkara yang baharu datang sekali dengan sistem “negara bangsa moden.” Bukanlah pada zaman feudal tidak ada perdana menteri atau bendahara. Tetapi peranan dan kedudukan mereka berbeza daripada perdana menteri atau kerajaan “negara bangsa moden” yang dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi berparlimen.

Apa yang dimaksudkan dengan “moden” ialah suatu keadaan dunia abad ke-20 hasil daripada perkembangan abad ke-19 yang datang bersama dengan Zaman Pencerahan atau “Enlightenment”, Revolusi Industri dan Revolusi Sains. Ia berpaksikan di Eropah tetapi kemudian menjadi amalan seluruh dunia selepas Perang Dunia Kedua.

Perkara ini perlu diingatkan bahawa ada kalanya naratif yang dikemukakan adalah seolah-olah “negara bangsa” ini merupakan lanjutan kepada “negara” zaman raja mutlak ataupun tanah jajahan atau tanah naungan British.

Konsep Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada 31 Ogos 1957 adalah suatu entiti politik baharu “negara bangsa” yang baharu yang tidak pernah wujud sebelum ini di mana-mana pun baik semasa zaman sebelum datangnya penjajah mahupun selepas.

Sememangnya Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka diwujudkan di atas sistem Persekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan oleh British pada tahun 1948 di atas pemansuhan Malayan Union. Persekutuan Tanah Melayu itu memudahkan dan merupakan persediaan bagi Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Tetapi konsep Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang berada di bawah British adalah bukan sebuah “negara bangsa” lagi.

“Negara bangsa” memerlukan pentakrifan semula perkataan bangsa yang bersandarkan pada kewarganegaraan dan bukannya ras atau etnik. Tetapi hendak disebut Bangsa Tanah Melayu atau Bangsa Malaya tidak dapat diterima. Hanya apabila Malaysia ditubuhkan baru dapat diutarakan konsep Bangsa Malaysia yang bertutur Bahasa Malaysia. Tanah Melayu menjadi Semenanjung Malaysia. Malah Utusan Melayu yang bertulisan jawi menerbitkan Utusan Malaysia dengan slogan Akhbar Kebangsaan Tulen, asalnya untuk semua kaum dan bukan orang Melayu saja.

Kini banyak orang Melayu tidak suka istilah Bangsa Malaysia, mereka hanya mahu menyebut Bangsa Melayu. Bahasa Malaysia pun sudah ditukar balik ke Bahasa Melayu dengan ditambah tulisan jawi pula. Utusan Malaysia asal pada hujung usianya menjadi suara Melayu-Islam gagasan UMNO-PAS untuk melawan Pakatan Harapan.

Komen