KATA PENGHANTAR Mochtar Lubis dalam sebuah buku korupsi menghujahkan bahawa:
“Hanya jika kita semua sudah merasa malu dan hina, jika kita menerima sogok atau membayar sogok, barulah kita dapat menghela nafas agak lega sedikit. Barulah ada harapan korupsi dapat dibanteras di negara kita. Karena itu sikap kita terhadap korupsi harus tegak dan tuntas. Korupsi dalam segala bentuknya harus kita tolak dan kita perangi.”
Pilihan raya lepas telah mengajar kita semua untuk melawan koruptor, sebab itu gergasi koruptor dapat ditumbangkan, malangnya ia tidak bertahan disebabkan oleh ada cubaan pihak lain untuk menjadi gergasi koruptor kedua dengan cuba merampas apa yang dipanggil sebagai demokrasi. Nah apabila mendekat tempoh pilihan raya, pastinya apa yang dipercayai oleh rakyat akan ditunggangi oleh pemain politik untuk autoriti, legitimasi dan kuasa.
Sebab itu perkataan “lawan rasuah” menjadi intipati kepada perjuangan semua yang bertanding kerana perkataan ini paling mudah paling lazat untuk menarik dan memancing pengundi. Biarkan gah pada kata di poster walaupun tindakan tidak seberapa kerana sebelum ini telah berjaya membuahkan hasil.
Bayangkan gergasi besar rasuah mengangkat sumpah menolak rasuah dalam masa yang sama adanya penyamun gergasi di dalam sana masih berlegar ke sana ke mari. Apa yang dicuri itu bukan kepalang menurut laporan audit lebih kurang RM500 juta wang yang perlu dikeluarkan setiap tahun untuk membayar hutang hasil korupsi yang tidak memberi sebarang manfaat pada masyarakat oleh individu terbabit. Tidak cukup dengan itu sembilu mencucuk lagi apabila laporan audit sekali lagi menyatakan bahawa sejumlah wang bernilai RM620 juta telah lesap hilang kerana salah mengurus atau dalam bahasa mudahnya pecah amanah berlaku pada tahun 2020. Angka ratusan juta ini adalah wang rakyat dari petani, penternak, guru, doktor malah suri rumah yang berbelanja. Adakah benar mereka ini serius melawan korupsi? Atau sekadar main-main lawan korupsi?
Antara sebab mengapa korupsi ini merebak dan bertahan kerana kita punyai elit yang bejat moral. Terlampau dangkal dan dungu terutama sekali ketika berhadapan dengan perkataan amanah. Apabila rasuah berlaku di peringkat kepimpinan, ia bukan saja meninggalkan masalah pada ekonomi masyarakat malah ia merupakan indikasi bahawa elit yang kita punya sekarang ini mempunyai daya fikir yang tak beres. Bingkai pemikiran mereka penuh dengan ketamakan dan penindasan akhirnya mewujudkan korupsi minda. Korupsi minda ini akan merebak dan memasuki pemikiran masyarakat lalu memperkuatkan lagi budaya hina ini.
Cuba lihat di sekeliling kita? Berapa ramai elit yang betul-betul konsisten mahu melawan rasuah? Bukan saja melawan mahu bercakap tentang rasuah saja boleh dibilang pakai jari. Disebabkan itu Faisal Tehrani menuliskan ini:
“Masyarakat yang diam akan ketidakadilan dan kepincangan adalah umat yang binasa perlahan.”
Berkembangnya rasuah juga terkait dengan sistem ekonomi yang diamalkan. Kapitalisme telah mengambil tempat dan kapitalisme ini dikuatkan lagi dengan faham ekonomi penswastaan (neo-liberalisme) di mana matlamat akhir sistem ekonomi dan bingkai fikir fahaman ini ialah keuntungan. Maka terhasillah dua budaya besar iaitu hedonisme dan konsumerisme. Manusia di bawah sistem ini dilatih untuk berbelanja dengan besar. Segalanya cuba dimewah-mewahkan dari rumah, kereta, beg tangan sehinggalah pada pinggan makanan. Kesemua ini membutuhkan wang yang banyak. Mentelah lagi fenomena ini akan meningkatkan lagi status sosial seseorang.
Oleh sebab itu, korupsi mendapat tempat. Kerana korupsi adalah jalan mudah untuk mendapatkan sejumlah wang sama ada banyak ataupun sikit tanpa perlu bekerja keras dan mengekalkan status diri. Akhirnya dapat memenuhkan hedonisme dan neo-liberalisme itu. Sebab itu ia terus merebak.
Ketiga apabila rasuah telah berlaku di peringkat tinggi terutama dalam kalangan elit politik, secara tak langsung ekonomi akan berlaku distorsi dan yang paling ketara inflasi akan mengetuk pintu mereka yang memegang jawatan autoriti negara. Kita boleh saja membaca di akhbar bagaimana harga rumah, bahan mentah makanan, urusan pendidikan atau kelengkapan hospital naik mendadak disebabkan oleh inflasi dan korupsi. Jadi bagi memenuhi masalah ini mereka yang berjawatan lebih rendah akan menyambung legasi korupsi untuk memenuhi tuntutan kehidupan. Itulah berlaku dalam masyarakat kita bagaimana pegawai kerajaan satu persatu masuk ke penjara kerana mengamalkan budaya najis rasuah.
Sejarawan Filipina iaitu Renato Constantino dalam bukunya yang luar biasa Neocolonial Identity and Counter-Consciousness mengatakan:
“Corruption is not merely a disease of our government. Corruption is a chronic malady of our society. The attempt to make corruption the primary problem of our national life seeks to make us forget the real cause of our degradation and of our apparently inherent propensity for corrupt activities.”
Jadi hari ini kita harus pertanyakan kembali, adakah kesemua sosok politik itu yang melaungkan slogan anti-rasuah sempena pilihan raya sudah mewacanakan posisi rasuah? Kedua adakah mereka bersedia menghindari rasuah secara serius? Ketiga apakah mereka cukup berani menyingkirkan teman sendiri yang mengamalkan rasuah? Keempat apakah penyelesaian pada kes rasuah dan pecah amanah yang lepas? Dan yang paling penting adakah mereka ini punyai perasaan malu setelah menyamun harta awam kemudian masih berani tampil di khayalak? Selagi ini tidak ada jawapan selagi itu membanteras korupsi hanyalah di peringkat main-main.
Saya tutup tulisan ini dengan kutipan dari Saidina Ali:
“Anda telah membayar cukai anda, menerima sesuatu yang lebih daripada anda, walaupun anda menawarkannya secara sukarela dan tulus ikhlas, adalah jenayah terhadap negara.”
Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.