Mahathir Memang Benar

MEMANG patut orang miskin iri hatikan orang kaya.

Bila orang miskin mendengar perkataan ‘insurans’ resahnya, langit ketujuh sahaja yang tahu. Bila tidak melanggan insurans, terpaksalah tunggu giliran tiga hari tiga malam sebelum dirawat. Tiada bilik dan layanan mewah seperti hotel lima bintang yang selalu dikongsikan di media sosial oleh orang kaya bila dimasukkan ke dalam wad kerana sakit jantung. Terpaksalah orang miskin redho dengan layanan hospital awam. Bukannya servis di hospital awam teruk. Tidak. Tapi kalau tenaga kerja kurang, pesakit pulak ramai gila, faham-faham sahajalah. Siapa ynag ada kekebalan insurans dan wang, maka dialah sepatutnya dilayan dahulu.

Bab gaji bagaimana pula? Kita mesti tanyakan berapa peratus orang miskin guna duit mereka sebulan untuk lunaskan barang keperluan hidup? Berapa bakinya selepas tolak bil, sewa, susu dan lampin anak-anak? Berapa pula dia boleh simpan? Ingat lagi dapatan tempoh hari yang buktikan orang miskin menggunakan  90 peratus pendapatan mereka untuk keperluan, dan bakinya lebih kurang 70 ringgit? Sementara orang kaya boleh menyimpan beribu-ribu sebulan dan cuma pakai lebih kurang 45 peratus dari gaji bulanannya.

Ini kita baru bercakap golongan T20 tuan-puan. Belum lagi kita selidik orang kaya YTL, Astro, Gardenia, pembekal tenaga kepada TNB, Berjaya, Kenchana Petroleum dan elitis-elitis lain. Berapa pulalah yang boleh disimpan Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, Najib Razak dan anak cucu mereka sebulan. Pernah tanya? Patutlah hari minggu mereka sedap tunggang kuda. Orang miskin pula buat apa hari minggu? Memang patut orang miskin iri hati.

Rumah sebagai tempat perlindungan pun samalah juga. Di mana orang miskin tinggal tuan-puan? Beli atau sewa sampai kiamat? Luaskah rumahnya atau besar sedikit dari reban ayam? Bersihkah kawasan perumahan orang miskin? Selamatkah tempat tinggal mereka? Anak-anaknya membesar bagaimana? Ada padang permainan? Ada tempat bersiar-siar seperti rumah di Damansara, TTDI atau Hartamas? Ada tidak security muka macam nak telan orang menjaga setiap jiwa ahli komuniti?

Bagaimana pula dengan pendidikan? Kita bukan nak menghukum sekolah awam. Tetapi yang kita resahkan sekian lama, mengapa ada golongan yang mampu bayar sebulan lebih dari 30 ribu untuk pendidikan anaknya? Apa yang istimewa sangat sekolah sebegitu? Hebat sangatkah sekolah yang ada pendingin udara, padang bola seluas padang Mahsyar, bangunan macam sekolah di Beverly Hills dan anak-anaknya pulang menaiki BMW?

Maka, memang patut orang miskin iri hati. Mereka melalui putaran kemiskinan bergenerasi. Ah, tak perlulah hang nak buka cerita Syed Bukhari dulu miskin kerja tambat lembu, lepas tu sebab rajin, dia jadi kaya tapi masih pakai kereta Proton Perdana.

Hari ini, soal kemiskinan bukan lagi kerana dia malas atau rajin. Bukan lagi soal kalau sudah tahu miskin jangan pasang Astro, jangan beli Iphone, jangan beli rumah di tengah Kuala Lumpur atau jangan minum Starbucks. Lebih dari itu, ia soal paling fundamental: peluang dan kesempatan.

Mengapa golongan ini tidak mampu mendapat akses layanan kesihatan yang setara? Mengapa tujuan pendidikan dibeza-bezakan? Mengapa duit baki dia cuma 70 ringgit sedangkan si kaya cuma pakai 45 peratus sahaja untuk beli barang keperluan sebulan?

Tak lain tak bukan, inilah agama ekonomi yang selama ini kita semua imankan; kapitalisme.

Orang miskin tidak bekerja untuk mengembangkan potensi hidupnya melainkan mengkayakan golongan atasan. Memang hang nak cakap depa pun terima kenaikan gaji. Betul. Tetapi adakah kenaikan itu menyelesaikan konflik? Di luar sana, ada gergasi pasaran paling brutal menunggu saat melahap setiap sen yang ada. Kemudian gergasi tersebut memuntahkan lendiran yang mengkayakan kelas tertentu.

Selepas itu apa yang kelas pemerintah buat dengan orang miskin? Beri bantuan. Dulu BRIM. Ada yang beri beras, beg sekolah percuma dan sebagainya. Semuanya bantuan material. Tetapi selesaikah masalah? Orang miskin kalau hang kesian, hang tak bagi wang dan bantuan selamanya. Hang kena bagi kesempatan. Beri peluang. Kalau sekolah 30 ribu sebulan itu pendidikannya bagus, beri peluang sistem pembelajaran yang sama untuk yang lain. Selepas itu kita tengok dia boleh pi jauh tera mana. Ini tidak. Yang dia beri kain pelikat dan pasang antena Astro di rumah.

Makanya, benar apa yang Mahathir cakap. Janganlah iri hati dengan orang kaya wahai si miskin. Sebab sifat iri hati akan membawamu berfikir. Iri hati akan membuatmu menjadi cerdik. Iri hati akan membuatmu tidak lagi melihat fenomena hari ini seperti sebelumnya.

Bagi orang elit kaya seperti Mahathir dan konco-konconya, adalah bahaya bila orang miskin jadi pandai dan pintar. Susah orang kaya, kapitalis dan kelas pemerintah nak hidup nanti. Semua benda nak kena jawab, nak kena sahihkan.

Kesimpulannya, menjadi miskin dan bodoh adalah sebaik-baiknya. Biarlah yang miskin kekal bergaduh pegang parang pertahankan hak Bumiputera atau takut diislamkan kerana Jawi dari berfikir hal-hal berat.

Yang lain, macam urusan bina rumah besar atas bukit, yang turun ke pasar malam jumpa penduduk dekat-dekat PRU, yang bergebang atas pentas lawan tetap lawan dan yang makan nasi bungkus duduk bertimpuh ketika berjumpa rakyat jelata, berilah kepada yang kaya, yang elit, yang bangsawan, yang tokei besar uruskan. Kita semua teruskan lah hidup macam biasa.

Okey?

Komen