Seluruh mahasiswa ikut berduka dengan kehilangan rakan-rakan mahasiswa ketika pandemik ini. Semoga mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang pergi ketika dalam perjuangan.
Mahasiswa sedang nazak. Kalau masih ada lagi yang menganggap bahawa perkara ini semata-mata ‘sisi manja’ para mahasiswa, maka kemanusiaan sudah hilang. Mahasiswa sedang tenat dengan rasa yang resah, fikiran terbelenggu akan risau yang terlalu. Tidak habis soal pedagogi yang cacamarba, ditambah lagi dengan urusan keabsahan yang menjahanamkan. Belum lagi ditambah cerita akan hal-hal peribadi: keluarga, teman-teman dan sang kekasih. Bukan lelucon, itulah realiti.
Semua orang harus sedar akan ini: mahasiswa sedang nazak. Hendak berapa lagi rakan-rakan mahasiswa pergi dalam keadaan sengsara dan ketidak-tenangan baru hendak sedar?
Kita tidak pernah bersedia dengan kemungkinan ini, lebih-lebih lagi soal pendidikan. Dari pendidikan awal sampailah setinggi universiti, tidak pernah membayangkan akan berjalan di fasa genting dan getir sebegini. Setelah itu, sudah mula berada dalam kegentingan dan kegetiran ini, cacamarbalah segala pedagogi, huru-haralah sekalian pendidik. Hasilnya apa? Pendidikan berjalan secara ‘asal-ada’ saja, para pemegang taruh bawahan (murid-murid, mahasiswa, pendidik) ditekan seperti saja dunia ini sedang biasa-biasa saja, tidak ada yang getir sedang berlaku. Kalau anda sedang membaca paragraf ini, dan sedang berfikir kepada siapa hendak dipersalahkan, lebih baik jangan diteruskan pembacaan ini. Buang dulu sifat salah-menyalahkan itu baru datanglah kembali.
Di luar sana orang sedang tenat, tiada masa hendak salah-menyalahkan. Aku cuma membincangkan realiti untuk menyedarkan, bukan hendak mencari kambing hitam.
Mahasiswa di universiti terbeban dengan kerja yang terlalu banyak. Realitinya, ketika saat genting begini, pedagogi diubah dan penilaian juga turut berubah. Beban kerja yang melampau, tarikh akhir kejar-mengejar, akhirnya mahasiswa tertekan dengan amat dahsyat. Tolong jangan nafikan, ada yang mati kerana ini.
Mahasiswa tidak salahkan pensyarah, kami berada pada situasi yang sama: terkejar-kejar. Cuma apa yang menjelikkan, mahasiswa dianggap punya masa lapang yang banyak, hanya dikeranakan mahasiswa sedang belajar atas talian. Tanggapan ini tanggapan sesat. Masa mahasiswa masih saja sama, dulu kini dan selamanya dengan 24 jam untuk satu hari. Tidak lagi ditambah dengan mahasiswa yang sedang dirumah: hendak buat kerja-kerja rumah, tidak lagi soal ada adik kecil yang perlu dijaga, menolong ayah pergi menjual tong gas masakan. Ini realiti, dan ada rakan mahasiswa kehidupannya yang sebegitu. Hanya kerana mahasiswa sedang belajar atas talian, mahasiswa dituduh sedang bersenang-senang dengan Twitter dan TikTok. Kalaulah betul mahasiswa sedang bersenang-senang, dalam bersenang-senang saja itu pun ada antara kami yang mati.
Mahasiswa tidak tahu harus apa melainkan cuma ikut saja apa yang sedang berlaku. Untuk mencadangkan apa perkara harus dibuat, kami saja dibilang manja. Keresahan kami bukannya apa, kami dikelilingi kawan-kawan yang sama-sama berjuang. Kami saja yang faham situasi perih dan sakit yang kami lalui. Jangan panggil kami manja, ada yang mati kerana ini. Mahasiswa mahu kami difikirkan. Mahasiswa juga terkesan dengan pandemik yang merusuh ini. Universiti tidak membela, kami dan para pensyarah dilayan seakan saja kami tidak terkesan. Belum lagi cerita soal pelajar tahun akhir dan pelajar yang sedang berlatihan industri.
Mahasiswa sedang beradaptasi. Namun dalam pengadaptasian itu, ada yang mati. Jangan tuduh kami tidak beradaptasi. Kalau benar mahasiswa tidak beradaptasi, kami tidak tertekan dan sedang bersenang-senang. Apa yang menyebabkan mahasiswa sedang dalam tekanan kerana mahasiswa sedang beradaptasi dengan beban kerja yang berlebihan, penilaian dan peperiksaan yang dijalankan sewaktu hari cuti dan diluar waktu, belum lagi ditambah dengan masalah capaian internet.
Mahasiswa mahu kami difikir-fikirkan, apa yang terbaik untuk kami. Kami terkesan. Betul. Tidak tipu. Kami bukan manja, kami sedang sengsara. Kami dianggap baik-baik saja. Mahasiswa jarang atau mungkin tidak pernah ditanya soal khabar pembelajaran atas talian ini. Apalagi hendak dipujuk. Kami manusia dan kami terkesan.
Wiji Thukul: “Apabila usul ditolak tanpa ditimbang, suara dibungkam, kritik dilrang tanpa alasan, dituduh subversive, dan mengganggu keamanan, maka hanya ada satu kata: LAWAN!”
Al-fatihah buat yang gugur dalam perjuangan. Doa kami buatmu.
(Artikel ini adalah tulisan saudara Naiem Zikri dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.