Cakap terus terang, hari ini ramai yang anggap bahawa mahasiswa masih budak-budak nakal yang hanya tahu merungut, complain tak habis-habis. Bila kemahuan tidak diikut, terus berontak turun jalanan dan tulis artikel provokatif.
Ya, itulah mahasiswa. Anatomi seorang mahasiswa terdiri daripada jiwa yang berkobar, darah muda yang panas, serta penuh dengan idea-idea yang baru dan segar. Mahasiswa merupakan wakil utama masyarakat marhaen dalam piramid sosial. Idea mereka ialah nadi masyarakat yang tertinggal, suara mereka ialah percakapan masyarakat yang tertindas. Kalau kerajaan tidak pandang dan tidak hirau akan mahasiswa, jangan harap kerajaan akan hirau dengan ikhlas suara-suara marhaen.
Beberapa hari lalu, keluar kenyataan media daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengenai penangguhan kemasukan mahasiswa ke kampus. Ini menimbulkan keresahan ramai mahasiswa. Mana tidaknya, tiket penerbangan sudah beli, ada juga yang sudah sampai ke kampus. Tidak cakap lagi soal yuran semester pun sudah bayar. Mahasiswa bukannya orang kaya!
Beberapa bulan sebelum ini, KPT arahkan mahasiswa ambil barang di kampus, sebab katanya kampus akan tutup sehingga tahun hadapan. Tidak lama kemudian, keluar kenyataan bahawa kemasukan mahasiwa ke kampus pada bulan Oktober. Ketika itu mahasiswa sudah mula berang. Mahasiswa cadang tutuplah kampus sampai tahun hadapan, sebab takut COVID-19 kembali meliar. KPT tidak dengar. Sekarang apa jadi? Mahasiswa dianggap macam budak-budak! Belum lagi cerita soal yuran semester dibayar penuh.
Keputusan KPT mencadangkan universiti untuk menangguhkan kemasukan pelajar ke kampus, merupakan tindakan yang betul. Namun keputusan ini dibuat sudah lewat. Sepatutnya KPT membuat keputusan secepatnya sewaktu mana kes COVID-19 awal-awal meruncing di Kota Setar, Tawau dan Lahad Datu lagi. Ini tidak. Entah apa ditunggu, sampaikan sudah ada mahasiswa yang datang ke kampus, barulah keputusan dibuat. Bukankah ini membebankan?
Mahasiswa faham, tidak mudah untuk keputusan dibuat. Namun KPT berdiri bukan atas satu orang manusia sahaja. Sefaham saya ramai ‘orang hebat’ yang bernaung di bawah KPT. Masakan keputusan kemasukan ke kampus sahaja pun boleh lewat dicapai kata sepakat?
KPT tidak boleh abai suara mahasiswa. Sama juga dengan pengurusan universiti, jangan pekak bila mahasiswa bersuara. Dengar baik-baik. Rantaian tidak akan lengkap tanpa mahasiswa, maka fikir-fikirkan idea-idea daripada mahasiswa. Kami tahu ada beban yang kami pikul, bukan setakat datang kuliah, impi dapat anugerah dekan. Jiwa seorang mahasiswa jauh lebih besar daripada itu. Kami berusaha sedaya kudrat yang ada untuk memikirkan yang terbaik untuk kami, untuk marhaen di bawah. Universiti pun selalu tekankan sedemikian tapi bila universiti tidak dengar suara kami, kemanalah suara kami hendak pergi?
Tiada siapa boleh bantah mahasiswa merupakan pemain utama dalam kedua-dua institusi tersebut. Mahasiswa tidak mahu lebih, cukup suara dan ideologi kami didengar dan difikirkan oleh pihak universiti dan kerajaan.
Kepada mahasiswa, kita harus lebih jauh membesarkan jiwa kita. Jangan biarkan kita dianggap hanya sebagai sekumpulan anak-anak yang baru membesar ingin mengenal dunia, lantas kitapun dilayan seakan anak-anak kecil. Fikiran dan visi kita harus pergi lebih jauh, bukan terjerat dalam bubble kita sendiri. Namun tidaklah saya menggalakkan, malah saya menegah untuk melakukan tindakan-tindakan yang ekstrem seperti bakar bendera atau rempuh pagar kampus. Itu bukan kerja mahasiswa. Cukup kita ada jiwa yang besar, empati, dan bervisi.
Kepada mahasiswa yang terbeban, didoakan semoga berada dalam keadaan yang baik, selamat dan dipermudahkan segala urusan. Terima kasih Malaysia (anda tahu kalau-kalau anda yang dimaksudkan) kerana bersimpati, empati akan nasib mahasiswa-mahasiswa yang teraniaya. Tidak kurang juga yang mengutip sumbangan dan hulurkan bantuan.
Hanya kita boleh jaga kita. Jangan harap kelas piramid teratas.
Artikel ini adalah tulisan saudara Naiem Zikri dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.