LIMA TELCO SERTAI DIGITAL NASIONAL BERHAD (DNB)

Salah satu perkara terbaik yang berlaku di bulan terakhir tahun 2023 adalah termeterainya Share Subscription Agreement (SSA) antara lima telco dan Digital Nasional Berhad (DNB).

Lima telco tersebut adalah CelcomDigi Bhd (CelcomDigi) menerusi Infranation Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Power International Bhd (YTL).

Tertakluk kepada penilaian wajar, dengan termeterainya SSA itu akan membolehkan lima telco ini memiliki 70 peratus pegangan saham dalam DNB secara kolektif atau 14 peratus pegangan saham secara individu.

Setiap telco yang memeterai perjanjian juga akan menyuntik sebanyak RM233 juta ke dalam DNB, yang akan digunakan untuk memenuhi keperluan pembiayaan pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia.

SSA ini adalah pencapaian penting yang dicapai oleh Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia.

Ia juga membolehkan penerimagunaan rangkaian 5G dipertingkatkan bukan saja untuk pengguna komersial tetapi juga perniagaan dan industri.

Dengan termeterainya SSA tersebut, kesemua lima telco secara rasmi buat pertama kalinya di Malaysia akan menawarkan perkhidmatan 5G.

Pada masa sama, pelan dwirangkaian melibatkan Entiti B akan diteruskan dengan Entiti B diumumkan selepas liputan 5G mencapai sebanyak 80 peratus di kawasan berpenduduk (CoPA) menjelang akhir tahun ini.

Entiti B akan menjadi komersial sepenuhnya dan kerajaan tiada mempunyai kepentingan di dalamnya seperti Entiti A (DNB).

Sehingga akhir Oktober 2023, langganan perkhidmatan 5G di Malaysia adalah berjumlah 3.6 juta dengan kadar penerimagunaan pada tahap 10.8 peratus.

Komen