Persidangan parlimen pada tahun 1971 begitu penting buat negara selepas dikejutkan dengan peristiwa 13 Mei 1969. Ketika itu, ahli parlimen banyak menghabiskan masa membahaskan usaha-usaha membangunkan negara dari sudut ekonomi dan politik bagi memulihkan semula struktur demokrasi negara.
Pada 10 Disember 1971, satu ucapan penangguhan di Dewan Rakyat telah diusulkan oleh Saudara Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Kota Melaka waktu itu, untuk menurunkan umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Mengikut Lim, cadangan ini begitu penting untuk membina asas demokrasi di Malaysia yang ketika itu masih berstatus ‘negara muda’.
Terdapat beberapa hujah yang dibawa Lim Kit Siang untuk membawa cadangan ini. Pertama, mereka berusia 18 tahun perlu dilayan seperti warganegara dewasa memandangkan mereka telah menyumbang kepada ekonomi negara seperti terlibat dengan pekerjaan dan berhak memiliki harta. Kedua, 60 peratus populasi Malaysia waktu itu terdiri daripada belia berumur 25 tahun ke bawah. Ini menjadikan anak muda kumpulan majoriti di Malaysia dan berhak menentukan hala tuju negara.
Tambah Lim, jika warganegara berusia 18 tahun telah layak untuk berjuang dan mengorbankan jiwa dan raga mereka mempertahankan negara di medan tempur, apakah alasan untuk tidak memberikan hak mengundi kepada mereka berusia 18 tahun untuk menentukan masa depan Malaysia?
Lim turut membidas hujah Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak yang tidak bersedia menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun. Tun Razak menyatakan tidak ada negara yang telah menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun sedangkan parlimen United Kingdom (UK) pada tahun 1969 telah menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun. Lim juga mengkritik pandangan Tun Razak bahawa populasi belia di Malaysia waktu itu lebih rendah berbanding UK walhal populasi anak muda di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding UK.
Untuk memastikan cadangan ini mengambil kira pandangan semua pihak, Lim Kit Siang mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa parlimen merentasi parti politik bagi mengkaji cadangan ini.
Namun, usul Lim telah ditolak oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diwakili Abdul Taib Mahmud (sekarang Tuan Yang Terutama Sarawak) sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Pos dan Telekom.
Taib Mahmud memberi hujah mengapa kerajaan menolak cadangan Lim Kit Siang. Pertama, Rukun Negara baru diperkenalkan selama dua tahun selepas tragedi 13 Mei. Taib Mahmud menyatakan kebanyakan rakyat masih tidak memahami prinsip Rukun Negara dan mendakwa rakyat ketika itu masih belum bersedia menetapkan hala tuju negara secara serius. Kedua, Malaysia baru sedekad merdeka. Sistem demokrasi masih belum sempurna dan ia memakan masa yang lama untuk membina asas demokrasi yang stabil dan kukuh.
Faktanya, kerajaan BN ketika itu tidak mempunyai iltizam politik dalam usaha pendemokrasian anak muda. Ironinya, mereka menumpukan segala dasar ekonomi dan pembangunan, tetapi gagal membina sebuah ekosistem demokrasi yang matang dan menguntungkan anak muda.
Selepas 48 tahun sejak ucapan undi 18 daripada Lim Kit Siang, Dewan Rakyat telah mencipta sejarah apabila meluluskan pindaan perlembagaan menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran secara automatik yang diusulkan kerajaan Pakatan Harapan dengan majoriti dua pertiga pada 16 Julai 2019. Dengan pindaan ini, mereka yang berusia 18 tahun juga layak bertanding dalam pilihan raya.
Usaha pendemokrasian menurunkan umur pengundi bukanlah hasrat Lim Kit Siang sahaja, tetapi telah menjadi hasrat seluruh anak muda Malaysia hari ini yang mahu melibatkan diri dalam ruang demokrasi bagi menentukan hala tuju negara. Anak muda hari ini menjadi pemegang taruh utama bagi parti politik dalam menawarkan idea-idea baharu mencipta peluang pekerjaan, hak untuk mendapat pendidikan berkualiti dan usaha meringankan kos sara hidup mereka.
Apa Yang Terjadi Sekarang?
Malangnya, pelaksanaan memberi hak mengundi kepada mereka berumur 18 tahun masih lagi samar. Selepas hampir dua tahun pindaan perlembagaan dibuat, tidak kelihatan iltizam politik yang tinggi daripada pihak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mempercepatkan pelaksanaan ini. Anak muda tentunya rasa kecewa dengan perkembangan terkini undi 18.
Lebih mengecewakan apabila ada pemimpin seperti Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim yang berulang kali menyatakan pelaksanaan undi 18 tidak praktikal kerana SPR perlu mengambil masa yang lama untuk menyenaraikan pemilih baharu berdasarkan lokaliti dan kawasan pilihan raya dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.
Setelah negara memasuki ulang tahun kemerdekaan ke-64 tahun ini dan Rukun Negara sudah sampai sambutan ulang tahun ke-51, apakah Malaysia masih tidak mampu memberi hak mengundi kepada anak muda? Saya tidak fikir ini alasan yang baik daripada Rais Yatim, seorang pemimpin yang sudah berada lama dalam arena politik negara.
Bak kata Liew Chin Tong, Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP;
“Negara ini adalah amanah dan pinjaman, yang akan kita pulangkan kepada mereka (anak muda).”
Jika semua pemimpin parti politik dan rakyat menyedari akan hakikat hak demokratik pemuda hari ini, tentunya isu melengahkan pelaksanaan undi 18 tidak timbul.
Hakikatnya, anak muda tidak ketinggalan diuji dengan krisis pandemik. Jika mereka tidak diberikan hak untuk mengundi sekarang, maka sukar buat anak muda untuk memilih pemimpin yang mampu melaksanakan aspirasi mereka untuk mencipta peluang ekonomi dan kehidupan yang lebih baik pasca pandemik Covid-19.
Anak muda, sama ada secara individu, parti politik dan organisasi perlu bergerak sehaluan dalam menuntut hak demokratik mereka daripada pemerintah. Selagi hak anak muda dinafikan, selagi itulah politik Malaysia kekal ditakuk politik lama yang gagal mengambil kira keluh-kesah rakyat, khususnya nasib anak muda yang kian mencabar.
Fakhrurrazi Rashid berkelulusan Kajian Politik dan Pemerintahan di UNIMAS, Sarawak. Orang panggil Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia. Bapa muda kepada Aleesa yang peduli dengan nasib generasi akan datang. Menulis untuk mengganggu pemikiran orang supaya berfikir dan mengkritik.