ISU Lesbian Gay Bisexual Transgender (LGBT) merupakan isu yang sangat sensitif di Malaysia kerana majoriti rakyat di negara kita beragama Islam. Apabila perbincangan yang melibatkan tajuk LGBT dilihat sebagai ‘dosa besar’ dalam kalangan masyarakat, kita akan mengalami krisis ketidakfahaman masyarakat tentang keperluan yang dimiliki oleh golongan LGBT. Sebagai seorang yang beragama Islam, saya percaya para sarjana telah mengajarkan kita bahawa LGBT adalah satu dosa besar dan dilaknat oleh Tuhan. Namun “larangan” itu tidak sewajarnya untuk dijadikan alasan untuk menzalimi golongan ini. Krisis keengganan kita untuk memahami tekanan-tekanan yang mereka hadapi telah menyebabkan kita cenderung untuk melihat mereka dengan penuh prejudis, menghukum dan sampai tahap menyakiti mereka. Saya akan memfokuskan tulisan kali ini kepada diskriminasi yang dihadapi oleh golongan transgender atau mereka yang membawa sikap berlawanan jantina di Malaysia kerana cuma golongan ini saya pernah berbual panjang. Masih tidak berpeluang untuk berborak dengan golongan lain dalam kategori LGBT.
Golongan Transgender Juga Manusia
Golongan transgender sering dilekatkan dengan pelbagai gelaran seperti bapuk, pondan, sotong, tomboi dan pelbagai lagi gelaran yang buruk. Pemberian gelaran ini adalah manifestasi daripada kebencian dan rasa jijik yang hadir dalam hati kebanyakan kita. Saya pernah berbual dengan seorang perempuan tetapi lebih berminat untuk menjadi seorang lelaki, dia mengatakan kepada saya bahawa dia memiliki satu “naluri”, “keinginan” dan “tekanan” yang sukar dikawal sehingga menjadikan dia cenderung untuk menukar jantina, sama sepertinya sukarnya kita untuk mengawal nafsu syahwat. Untuk memastikan setiap anggota masyarakat menghentikan diskriminasi dan kecaman terhadap golongan transgender, semuanya harus bermula daripada kita. Kita harus mula mengakui kehadiran mereka dalam masyarakat, mengakui kehadiran mereka tidak bermaksud kita bersetuju dan mengiktiraf apa yang merela lakukan. Penerangan kepada anggota masyarakat perlu dilakukan agar golongan ini tidak “dibenci” dan “dijijik” semata-mata, tapi perlunya kepada proses interaksi dan layanan yang baik. Apabila kita mendiskriminasikan golongan ini, ia akan membangkitkan lagi semangat dan rasa tertindas dalam kalangan mereka, ini akan mencetuskan satu “perjuangan” yang dilandasi rasa tertindas. Selalunya perjuangan yang dilandasi dengan rasa tertindas akan bertahan lama dan meraih sokongan yang banyak daripada mereka yang merasakan diri tertindas.
Agama Dan Transgender
Agama tidak pernah menjadi tembok untuk kita berbicara soal transgender, bahkan saya berpandangan golongan yang mengaku celik agama perlu lebih banyak melakukan perbincangan berkenaan isu ini. Saya tertarik apabila Mufti Wilayah Persekutuan mendekati golongan-golongan yang dianggap “jijik” dalam masyarakat baru-baru ini, walaupun saya tidak pasti berapa ramai golongan LGBT dalam kumpulan tersebut. Figura masyarakat harus bijak dalam menyusun perkataan ketika berbicara tentang topik ini, mereka harus mengelakkan hate speech. Saya bimbang mereka tidak sedar ungkapan-ungkapan melabel dan jenaka berkenaan golongan transgender akan menjadikan masyarakat semakin jijik, tanpa sedikit pun rasa ingin mendekati atau memahami golongan ini. Saya tidak boleh bercakap tentang agama lain, tapi saya pasti agama Islam tidak mengajarkan kita untuk berkelakuan buruk seperti ini. Transgender adalah ditegah dalam agama Islam, tapi Islam mengajarkan kita untuk menasihati dan menyiasat sebelum meletakkan apa-apa hukuman. Saya ingin memuji tindakan segelintir anggota Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) apabila mereka sering mendekati dan cuba memahami golongan transgender ini. Saya pernah diberitahu golongan seperti ini diajar dengan pendekatan yang berbeza dan sesuai. Biarlah agama dilihat sebagai “penasihat” atau “pemberi peringatan” dengan kasih sayang berbanding dengan menghukum semata-mata.
Jadilah Agen Menyebarkan Kasih Sayang
Mahu tidak mahu kita harus mengakui keberadaan golongan LGBT di negara ini. Jika benar mereka dilihat sebagai “masalah”, apa “solusi” yang boleh ditawarkan oleh kita? Adakah dengan maki hamun? Atau hukuman semata-mata? Dunia ini sudah terlalu tua untuk kebencian yang melampau. Saya benar-benar terkejut apabila pada bulan Februari tahun ini saya membaca berita kematian Sameera Krishnan, seorang wanita transgender yang dibunuh secara tragis. Kita semua harus memastikan sejarah seperti ini tidak berulang lagi, saya percaya pembunuhan ini adalah disebabkan kebencian yang melampau terhadap golongan transgender. Anda mungkin berbeza dengan cara pendekatan yang saya utarakan, namun saya berharap anda bersetuju bahawa golongan ini tidak boleh disakiti dan ditindas secara membuta tuli, mereka juga manusia. Jadilah ubat dalam masyarakat, nescaya kita akan menjadi bangsa berjaya.
(Artikel ini adalah petikan dari buku Malaysia Tamat Tempoh)
Rahman Imuda adalah Yang Di Pertua Ikatan Anak Muda Tawau, Ketua Editor di Nadi Mahasiswa Malaysia dan juga ORANGKATA. Beliau telah menulis dua buku bertajuk Mahasiswa Bukan Macai Pendidikan Bukan Politik dan Malaysia Tamat Tempoh.