Penularan wabak 2019-nCoV (novel koronavirus) yang berasal dari Wuhan, China kini sudah diletakkan di tahap darurat kesihatan global. Ia berlaku apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meletakkan wabak ini sebagai Public Health Event of International Concern (PHEIC) dan menuntut kerjasama antarabangsa dalam mengatasi krisis ini. Walaupun Wuhan adalah ground zero, namun kita harus akui (2019-nCoV) kini adalah ancaman global apa lagi mengambil kira data semasa yang menunjukkan berlaku sebanyak 11,992 kes di 27 negara dengan kadar kematian seramai 259 jiwa (1 Februari 2020).
WHO telah menjelaskan bahawa darurat kesihatan global diumumkan bukan dengan tujuan untuk menyekat perjalanan atau perdagangan antarabangsa. Sebaliknya, darurat ini adalah untuk menggembleng usaha komuniti antarabangsa dalam melindungi negara-negara dengan sistem kesihatan yang lemah (negara mundur seperti di Afrika contohnya), serta pada masa yang sama berusaha menghasilkan vaksin, ubatan dan melaksanakan langkah-langkah bagi membendung penularan wabak 2019-nCoV.
Lantaran menyahut saranan WHO ini, peranan Malaysia sebagai sebahagian dari komuniti antarabangsa dan juga hubungan akrab Malaysia-China, antara langkah yang diambil oleh kerajaan dan juga pihak swasta ialah untuk menyumbang sebanyak 18 juta sarungan tangan getah (rubber gloves) kegunaan perubatan kepada China. Sumbangan ini sebenarnya dapat membantu China mengatasi wabak 2019-nCoV tetapi sayangnya, ia dijadikan isu politik dan pertikaian pendapat oleh sesetengah pihak.
Kenapa Sarung Tangan?
Kerana ia antara peralatan yang sangat diperlukan oleh sebuah negara yang sedang berdepan wabak penyakit berjangkit. Sarung tangan perubatan berguna bukan sahaja di hospital atau klinik ketika mengendalikan pesakit tetapi juga di kawasan luar apabila petugas perubatan perlu menggunakannya untuk memindahkan pesakit ke pusat rawatan atau dalam kes yang lebih sadis apabila para petugas perlu memindahkan mangsa yang telah meninggal dunia. Mengambil kira wabak 2019-nCoV yang terbukti berupaya untuk human-to-human transmission atau berjangkit dari seorang manusia kepada manusia yang lain, sarung tangan adalah antara alatan perlindungan asas yang sangat penting.
Membekalkan China dengan sarung tangan tersebut dapat membantu mengekang penularan wabak 2019-nCoV, baik di dalam negara itu sendiri ataupun di peringkat global. Ia bukanlah vaksin atau ubatan yang boleh mencegah dan membasmi virus tersebut, namun ia adalah satu kaedah membendung asas.
Mungkin ramai yang tidak tahu, Malaysia adalah peneraju dunia dalam industri sarung tangan getah, baik sebagai pembuat dan juga pengeksport produk ini. Eksport sarung tangan getah mencapai nilai RM17.74 bilion pada tahun 2018 manakala untuk 2019 ianya dijangka meningkat hingga RM18.2 bilion. Malaysia secara purata menghasilkan sekitar 60% dari bekalan sarung tangan getah dunia.
Sumbangan 18 juta sarung tangan perubatan oleh Malaysia bukanlah dengan pembelian oleh kerajaan dari para syarikat pembuat, sebaliknya didermakan secara ikhlas oleh syarikat-syarikat sarung tangan getah itu sendiri. Syarikat-syarikat ini adalah syarikat tempatan antaranya Top Glove, Kossan, Supermax, Hartalega dan beberapa lagi yang menggaji pekerja tempatan dan mempunyai pasaran besar di China. Menyumbang 18 juta sarung tangan adalah satu cara untuk syarikat tersebut membantu rakan niaga mereka sendiri, selain secara tidak langsung meletakkan produk Malaysia di barisan hadapan krisis kesihatan dunia.
Bukankah Malaysia Lebih Memerlukan?
Antara isu yang dibangkitkan sesetengah pihak adalah, sumbangan 18 juta sarung tangan kepada China tidak kena pada tempatnya kerana Malaysia lebih memerlukan demi berdepan dengan wabak 2019-nCoV.
Walaupun kekhuatiran ini ada asasnya, namun adalah penting untuk kita lihat isu ini dari perspektif semasa. Setakat artikel ini ditulis, kes 2019-nCoV di Malaysia adalah sebanyak 8 kes tanpa kematian. Kesemua kes ini melibatkan warganegara China yang datang ke negara kita, dan mereka telah pun ditempatkan di hospital untuk proses isolation, pemantauan dan rawatan susulan.
Pada masa ini, dan kita harap ia berkekalan, tidak ada penularan wabak pada skala yang besar seperti di China. Kita tidak berdepan dengan situasi individu yang telah dijangkiti berada di luar atau kawasan awam. Tidak ada mangsa yang jatuh tidak sedar diri atau meninggal di tepi jalan seperti yang berlaku di China. Jumlah kes yang kecil dan keadaan yang terkawal bermakna buat masa ini sarung tangan perubatan hanya diperlukan oleh petugas perubatan.
Untuk kita yang berada di luar dengan aktiviti seharian, memadailah dengan mengenakan topeng muka serta mengamalkan penjagaan kebersihan tangan yang rutin, seperti sentiasa membasuh tangan dengan sabun serta menggunakan hand sanitiser. Tidaklah perlu sampai kita mengenakan sarung tangan dalam aktiviti seharian kerana ianya tidak perlu dan tidak praktikal.
Seandainya wabak 2019-nCoV menular hingga ke negara kita, maka keupayaan Malaysia sebagai pengeluar utama sarung tangan getah dunia setidaknya dapat memastikan kita sentiasa mempunyai bekalan yang cukup untuk berdepan krisis kesihatan sebegini. Kita berharap ia tidak sampai ke peringkat itu dan satu usaha yang boleh kita lakukan ialah membendung 2019-nCoV di China, salah satunya dengan sumbangan 18 juta sarung tangan perubatan tadi.
Perdagangan, Geopolitik Tapi Lebih Utama, Kemanusiaan
Kita boleh melihat sumbangan 18 juta sarung tangan ini dari pelbagai sudut yang positif.
Ia boleh sahaja menjadi satu usaha perdagangan jangka panjang. Meletakkan produk Malaysia di barisan hadapan krisis kesihatan dunia untuk dinilai sebagai battle proven atau tidak. Ia mungkin menjadi satu promosi secara tidak langsung bagi jenama-jenama sarung tangan buatan Malaysia dengan potensi pelanggan atau pasaran baharu apabila berakhirnya krisis ini.
Atau ini boleh sahaja dilihat sebagai satu permainan geopolitik antara Malaysia dan China. China adalah kuasa besar dunia baik dari segi politik (pemegang kuasa veto PBB), ketenteraan (angkatan bersenjata terbesar dunia) dan juga ekonomi (ekonomi kedua terbesar dunia). Menunjukkan kepada China dan dunia bahawa Malaysia walaupun sebuah negara kerdil masih berupaya menghulurkan bantuan seadanya. Secara tidak langsung kita juga dapat menunjukkan sikap Malaysia sebagai rakan yang sentiasa ada bila diperlukan. Kita mungkin tidak mampu membantu dari segi kepakaran sains atau sumbangan kewangan, tetapi setidaknya kita menggunakan kelebihan kita sebagai pengeluar utama sarung tangan getah di dunia.
Namun apa yang sebenarnya jauh lebih utama ialah faktor kemanusiaan. Ini yang sepatutnya menjadi asas utama kenapa kita perlu membantu China dengan 18 juta sarung tangan. Hal isu-isu lain seperti layanan terhadap etnik Uyghur, tuntutan bertindih di Laut China Selatan dan sebagainya patut diketepikan dalam kita menghulurkan bantuan. Kita sebagai sebuah negara mampu untuk menunjukkan pekerti yang mulia, membantu rakan dalam kesusahan dan mengenepikan perselisihan atas nama kemanusiaan.
Nipah Atau Yang Seumpamanya
Malaysia pernah dilanda wabak penyakit berjangkit virus Nipah pada tahun 1998. Dari 513 kes yang dilaporkan, sejumlah 398 berakhir dengan kematian. Ia adalah detik hitam dalam sejarah kesihatan negara, tetapi mengajar kita untuk lebih bersedia dalam berdepan krisis kesihatan sedemikian. Kejayaan kita dalam mengatasi virus Nipah tidak mungkin tercapai tanpa bantuan dari beberapa negara lain.
Adalah tidak mustahil jika satu hari nanti negara kita dilanda krisis yang sama. Mungkin oleh virus berlainan, yang novel atau baharu dan belum pernah dikenal pasti. Pada ketika itu, kita juga berkemungkinan besar memerlukan bantuan dari rakan negara lain, tidak kisah dari segi material, kepakaran atau kewangan.
Ketika wabak virus Ebola tercetus di tahun 2014, Malaysia menyumbangkan 20.9 juta sarung tangan kepada lima negara Afrika iaitu Liberia, Sierra Leone, Guinea, Congo dan Nigeria. Ini adalah kelebihan kita maka amatlah bertepatan jika kelebihan ini kita gunakan lagi untuk menghulurkan bantuan kepada China hari ini.
Pokok pangkalnya, apa yang lebih mustahak untuk kita jadikan pedoman ialah merujuk kembali pada Al-Quran dalam ayat ke-32 Surah Al-Maaidah:
“…dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.”
Lapan belas juta untuk dunia yang lebih baik, pastinya.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.