Krisis Produktiviti Negara Akibat Krisis Pendidikan

PADA 18 Julai 2022, Berita Harian menerbitkan sebuah laporan bertajuk; “5.8% rakyat Malaysia tidak pernah bersekolah,”.

5.8% daripada jumlah rakyat Malaysia adalah bersamaan dengan 1.9 juta orang pada hari ini. Laporan ini menyatakan ianya adalah hasil kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019 dan menjadi maklumat utama yang disalurkan kepada UNESCO sebelum diterbitkan di dalam Laporan Daya Saing Global 2019 oleh World Economic Forum (WEF).

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa sekitar 72.1% daripada rakyat negara ini juga memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas SPM.

72.1% ini adalah sebuah peratusan yang besar.

Adakah ini bermakna jika seramai 416,416 calon yang mendaftar menduduki SPM pada 2019, hanya sekitar 116,181 orang sahaja melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi? Ataupun jika seramai 410,105 calon yang mendaftar SPM pada 2020, hanya sekitar 114,420 sahaja yang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi?

Jumlah terkumpul sejak 2019 hingga 2021 untuk mereka yang memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran lebih tinggi selepas SPM adalah 888,976 orang. Ke mana agaknya semua anak-anak ini pergi jika tidak melanjutkan pelajaran?

70,455 Cicir SPM 2021

Jika nombor-nombor diatas tidak cukup menakutkan, mari lihat analisis peperiksaan SPM untuk tahun 2021.

Pertama, seramai 1655 calon telah  mencatatkan markah semua G.

Kedua, seramai 24,941 atau 6.2% calon yang telah mendaftar tidak menduduki peperiksaan SPM ini. Mereka tidak hadir sama sekali untuk menduduki peperiksaan ini.

Ketiga, seramai 45,514 atau 11.91% calon pula tidak layak mendapat sijil sama ada kerana tidak lulus matapelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

Kesemua 70,455 calon ini dikategorikan sebagai cicir SPM yang membawa maksud mereka tidak boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya sama ada kerana tidak hadir peperiksaan tersebut mahupun kerana tidak layak mendapatkan sijil.

Ini bermakna hampir 18.11% sama ada tidak hadir mahupun tidak layak mendapat sijil. Daripada setiap 100 orang yang mendaftar peperiksaan SPM ini, 18 orang keciciran.

Walaupun kita semua maklum peperiksaan SPM 2021 ini dilaksanakan pada tahun yang mencabar akibat tekanan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan ramai calon hanya belajar dari dalam talian berbanding pembelajaran bersemuka, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia tidak mendedahkan maklumat seperti apakah demografi 70,455 calon ini dan latar belakang sosial dan ekonomi mereka? Berapa peratus dari 70,455 calon ini yang tergolong sebagai warga miskin, B40 dan warga pedalaman? Serta adakah trend ini menunjukkan kegagalan pembelajaran dalam talian untuk warga miskin, B40 dan pedalaman?

211,556 Pelajar Cicir SPM Sejak 2019

Kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada 21 Jun 2022 bahawa ‘Calon Tak Hadir SPM Bukan Perkara Baharu’ sepertimana dilaporkan oleh Malaysiakini, Sinar Harian dan Berita Harian dan beberapa agensi media yang lain memberikan gambaran bahawa isu keciciran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seolah-olahnya adalah suatu kebiasaan yang tidak perlu diberikan perhatian.

Gambaran yang merbahaya ini boleh memberi signal yang kurang sihat kepada masyarakat seolah-olah keciciran SPM itu bukan suatu masalah yang perlu ditangani dan diselesaikan. Hakikatnya gambaran ini juga menimbulkan persoalan, apakah langkah yang telah diambil oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengelakkan senario yang berlanjutan dari tahun ke tahun ini daripada berulang?

Berdasarkan Laporan Analisis Keputusan SPM dari tiga tahun yang lalu iaitu SPM 2019, SPM 2020 & SPM 2021 yang boleh dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sendiri, daripada 416,416 calon yang mendaftar pada 2019, seramai 26,918 atau 6.46% calon tidak hadir untuk menduduki peperiksaan tersebut. Pada tahun 2020 pula, daripada 410,105 calon yang mendaftar, seramai 19,211 atau 4.79% calon tidak hadir.

Dalam masa yang sama, seramai 51,725 atau 13.28% calon tidak berjaya mendapatkan sijil SPM pada tahun 2019 dan seramai 43,235 atau 11.32% calon tidak berjaya mendapatkan sijil SPM pada tahun 2020.

Persoalannya, peratusan yang konsisten untuk calon yang mendaftar tetapi tidak hadir sejak tiga tahun lepas (6.46% untuk 2019, 4.79% untuk 2020, 6.13% untuk 2021) serta peratusan yang konsisten untuk calon yang gagal mendapatkan sijil sejak tiga tahun lepas (13.28% untuk 2019, 11.32% untuk 2020, 11.92% untuk 2021) ini memberi gambaran bahawa krisis pendidikan nasional berada pada situasi yang merbahaya untuk pertumbuhan negara di masa depan.

Sejak 2019 sahaja, seramai 211,556 calon peperiksaan SPM dikategorikan sebagai keciciran sama ada kerana tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut mahupun kerana gagal mendapatkan sijil kerana tidak berjaya lulus subjek Bahasa Melayu ataupun Sejarah.

1.1 Juta Risiko Hilang Pendapatan Seumur Hidup

Kesemua nombor-nombor yang kita bicarakan di atas adalah serpihan kecil krisis pendidikan yang akan memberi kesan kepada produktiviti negara dalam masa terdekat.

Dalam masa 3 tahun sahaja sejak 2019 hingga 2021, negara hilang lebih dari 888,976 modal insan yang sepatutnya menyambung pengajian mereka sama ada dalam bidang kemahiran ataupun ke peringkat yang lebih tinggi.

Mengambilkira purata pengajian lepasan SPM sekitar 3 tahun, dengan ini negara akan kehilangan sumber utama modal insan seawal tahun 2025.

Dalam masa yang sama, kedua golongan iaitu 211,556 pelajar cicir SPM sejak 2019 serta 888,976 pelajar yang tidak meneruskan pengajian selepas SPM sejak 2019 atau jumlah besarnya iaitu 1.1 juta individu semuanya berisiko untuk hilang pendapatan seumur hidup mereka.

Mereka ini semua berpotensi untuk meneruskan pengajian dan meningkatkan kemahiran untuk membolehkan mereka mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi di masa hadapan, namun tercicir semata-mata kerana krisis pendidikan yang kita hadapi kini.

Akibatnya oleh kerana tercicir dari sistem pendidikan dan tidak memiliki sebarang kemahiran, mereka ini semua terpaksa mencari makan dengan kadar upah yang sangat rendah. Kadar upah yang rendah akan menjejaskan kualiti kehidupan. Ini semua dalam masa yang sama akan menerbitkan krisis produktiviti negara dalam jangka masa panjang di masa hadapan.

Komen