Korupsi Telah Menjadi Fenomena Sistemik Di Malaysia

Perihal korupsi di negara kita sebetulnya telah tiba kepada suatu tahap fenomena. Ia bukannya sekadar berlaku secara terang-terangan, malahan sekiranya ditelusuri kes-kes yang sekadar menempuh proses pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kita akan dapati bahawa Malaysia seperti sedang menempuh masa gelapnya. Hierarki sosial yang wujud dalam masyarakat dan birokrasi di peringkat mana-mana pentadbiran sepertinya telah terbentuk sebagai suatu sistem organik yang tidak sekadar untuk memudahkan urusan korupsi itu untuk terus-menerus berlaku, malahan sepertinya telah menyebabkan mana-mana individu yang terserap ke dalam sistem tersebut seolah-olah dilihat sebagai tidak boleh mengelak daripada melakukan korupsi. Inilah penyakit moden yang sukar untuk dikikis, kerana korupsi itu sendiri telah terlindung oleh sistem itu sendiri, dan bukannya sekadar melalui perlakuan individu ataupun kelompok tertentu.

Sampai satu tahap, korupsi itu dilakukan bukan kerana bertujuan kepentingan materialistik, tapi untuk melepaskan diri daripada ancaman ke atas dirinya yang dipaksa untuk menjadi korup demi keselamatan dirinya ataupun oran sekelilingnya. Tapi, sekiranya kita teliti kes-kes yang dilaporkan dalam data-data SPRM, kita akan dapati bahawa kebanyakan pihak yang ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan adalah pihak-pihak yang sekadar berada di peringkat pegawai bawahan ataupun pertengahan, dan jarang sekali yang didakwa itu ialah pegawai-pegawai atasan yang menjadi sumber kepada korupsi itu sendiri.

Perbincangan saya dengan rakan-rakan yang melalui pengalaman bekerja dengan pegawai-pegawai atasan ini, apa yang saya dapat fahami ialah proses korupsi itu berlaku dengan menggunakan saluran yang secara perundangannnya dianggap sebagai sah dan melepasi proses pengauditan, tetapi hakikatnya proses penyaluran dana-dana itu yang kebanyakannya bertujuan politik itulah yang sebenarnya merupakan suatu bentuk korupsi. Jadi, kalau kita sembangkan perkara itu dengan rakan-rakan di meja kopi, orang biasa tidak akan melihatnya sebagai suatu bentuk korupsi, tetapi itulah sebenarnya korupsi dan ianya terlindung disebabkan saluran pendanaannya seolah-olah sah dan tidak melibatkan apa-apa tujuan buruk.

Saya datangkan di sini tiga contoh bayangan untuk kita fahamkan bagaimana realiti korupsi itu berlaku di peringkat sistemik.

  • Encik A ialah seorang pegawai atasan dalam sebuah syarikat. Dalam masa yang sama, Encik A ialah seorang ahli kepada parti politik. Untuk memastikan parti politiknya mendapat dana bukan sekadar daripada yuran ahli, maka Encik A seolah-olah membuat bukaan tender projek kepada orang luar, tapi sebenarnya dia sendiri sudah menetapkan pihak kontraktor mana yang akan mendapat projek tersebut. Pihak tersebut ialah ahli kepada partinya sendiri, dan dia berpakat dengan pihak tersebut supaya menipu resit-resit barangan supaya dapat buat tuntutan dengan nilai yang banyak daripada syarikatnya. Selepas membuat tuntutan, pihak kontraktor tersebut akan menyalurkan duit tersebut ke akaun rasmi parti politik itu, yang kemudiannya bendahari parti politik tersebut akan menyalurkan beberapa peratus daripada duit dalam akaun rasmi politik tersebut ke dalam akaun peribadinya. Secara perundangannya, transaksi ini kelihatan sah kerana saluran duit daripada akaun bank parti politik ke akaun bank Encik A dibuat atas alasan bayaran tuntutan atas suatu kerja yang telah dibuat.
  • Encik B ialah seorang wakil rakyat. Pegawai majlis perbandaran yang juga merupakan kawan kepada Encik B menetapkan agar sebarang urusan yang melibatkan perlesenan bagi menjalankan kerja di kawasannya (seperti pembinaan, perniagaan, dll) perlu mendapatkan tandatangannya sebelum mendapatkan pengesahan daripada majlis perbandaran. Jadi, Abu yang ingin mendapatkan lesen kontraktor daripada Encik B, ditetapkan syarat oleh Encik B agar memberi sebanyak 20 peratus daripada setiap dana kontraktornya kepada Encik B atas alasan, “upah perlesenan”. Encik B menggunakan sebahagian daripada “upah perlesenan 20 peratus” tersebut untuk dimasukkan ke dalam tabung parti politiknya dan sebahagian lagi untuk kegunaan peribadinya. Jadi, tindakan tersebut dianggap sebagai derma ahli kepada tabung parti politik dan upah kontraktor kepada seorang wakil rakyat.
  • Encik C ialah seorang ahli politik. Dia memiliki sebuah yayasan amal kebajikan, yang tujuan utama yayasan tersebut ialah untuk membantu anak-anak yatim. Yayasan tersebut menerima banyak derma daripada ramai usahawan. Dalam masa yang sama, yayasan tersebut turut menjalankan aktiviti perniagaan kedai runcit dengan membuka beberapa buah cawangan untuk meningkatkan hasil jualan. Melalui yayasan tersebut, Encik C menggunakan sebahagian daripada dana untuk membantu anak-anak yatim, manakala sebahagian lagi digunakan untuk tujuan kempen politik di kawasannya. Dalam masa yang sama, dia tidak kisahkan sangat tentang keuntungan atau kerugian perniagaan kedai runcitnya itu, kerana apa yang penting adalah wujudnya laporan kewangan daripada hasil jualan kedai untuk mewujudkan imbangan duga yang seimbang dalam penyata kewangan bagi tujuan audit. Dengan cara sedemikian, kegiatan politik dan peribadinya yang menggunakan dana-dana yayasan sebagai tempat penggubahan wang tidak akan terbongkar dengan mudah.

Dengan tiga contoh tersebut, kita dapat bayangkan bagaimana sistem itu dimanipulasi bagi mewajarkan tindakan-tindakan korup. Orang biasa akan memahami sebagai suatu bentuk proses yang memudahkan untuk menjaga kebajikan masyarakat daripada terpaksa melalui proses birokrasi yang rumit dan leceh. Tetapi di sebaliknya adalah, itulah salah satu bentuk korupsi kerana (1) Menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai untuk melakukan tindakan penggubahan wang; (2) Menetapkan peraturan yang tidak munasabah demi memastikan agar urusan transaksi kewangan berada dalam proses yang sah; dan (3) Menggunakan yayasan sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti penggubahan wang.

Kesemua itu adalah korupsi yang berlaku secara sistemik. Dalam erti kata, korupsi berlaku bukan sekadar wujudnya pemberi dan penerima rasuah, tetapi lebih jauh daripada itu adalah peraturan dan sistem birokrasi yang wujud telah dimanipulasikan demi memastikan agar sebarang korupsi yang dilakukan dapat melalui saluran dan proses yang sah dalam perundangan. Sebab itulah kita dapat lihat, apabila isu korupsi yang melibatkan pegawai-pegawai atasan ini dihadapkan ke mahkamah, seringkali mereka terlepas daripada hukuman ataupun mendapatkan hukuman yang rendah. Hal ini disebabkan, sistem perundangan di negara yang bersifat “legal positivism” menyebabkan mereka memanipulasikan hujah-hujah mereka di mahkamah dengan mengatakan bahawa tindakan-tindakan korup mereka itu adalah melalui proses saluran perundangan yang sah. Jadi, berdasarkan teks perundangan dan bukti yang ada, kerja-kerja mereka tidak dianggap sebagai sebuah korupsi walaupun hakikat sebenar tindakan mereka itu sendiri adalah sebuah korupsi.

Dalam laporan C4 Center yang bertajuk Foundations And Donations: Political Financing, Corruption, And The Pursuit of Power yang disiapkan oleh Prof. Edmund Terence Gomez dan Lalitha Kunaratnam, kita dapat lihat bagaimana kes-kes korupsi berprofil tinggi ini menjalankan kegiatan korupsi mereka dengan lebih tersusun dan sistemik yang kebanyakannya menggunakan yayasan-yayasan yang ditubuhkan kononnya atas kegiatan amal demi kegunaan saluran dana politik dan tujuan peribadi. Menurut laporan tersebut, antara sebab lain  kenapa yayasan menjadi saluran utama dalam kegiatan sebegini adalah disebabkan tiada undang-undang dalam memastikan agar pendermaan kepada yayasan yang berkaitan politik didedahkan secara terbuka, dan tiada peruntukan perundangan untuk membuat pengisytiharan derma mereka secara terbuka kepada parti politik atau ahli politik. Di sini saja kita sudah dapat lihat bagaimana kelompangan besar itu wujud dalam sistem perundangan di negara kita dalam mengawal kegiatan-kegiatan korupsi ini daripada terus berleluasa.

Sebab itulah SPRM menjadi semakin sukar untuk menangkap pegawai-pegawai atasan ini kerana kerja-kerja mereka itu dilindungi oleh sistem itu sendiri. Pegawai-pegawai bawahan lebih mudah ditangkap kerana mereka tidak dilindungi oleh sistem dan kerja-kerja yang mereka lakukan atas arahan pegawai atasan itu lebih terdedah kepada jenayah korupsi secara terang-terangan sebelum tiba ke peringkat pegawai atasan tersebut yang telah melalui proses “penyuciannya”. Dalam masa yang sama, hakikat yang terpaksa ditelan ialah sesetengah pegawai tinggi pula pasti adalah berkaitan dengan parti politik atau kenalan kepada ahli politik menyebabkan urusan menjadi rumit apabila telah melibatkan urusan politik dalam kerja-kerja mereka.

Dalam hal ini, saya kira masyarakat sivil Malaysia wajar lebih tegas dalam membuat pemerhatian terhadap kegiatan korupsi yang sedang berlaku terang-terangan di hadapan mata kita ini. Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15, kita akan dapat lihat bagaimana aktiviti penggubahan wang ini berlaku dalam mendanai kegiatan-kegiatan politik secara tidak sah. Malah kita dapat lihat sekarang apabila pihak berkuasa semakin aktif melakukan siasatan dan tangkapan bukannya terhadap pelaku korupsi itu sendiri, namun sebaliknya terhadap pemberi maklumat yang mendedahkan kegiatan-kegiatan korupsi terutamanya terhadap mereka yang berprofil tinggi. Percayalah, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada tahun 2018, dan selepas kerajaan Malaysia bertukar ganti hampir tiga kali, sebetulnya masyarakat Malaysia sudah menuju kepada kematangan sebagai sebuah masyarakat sivil untuk lebih kritis terhadap segala gerak-geri ahli politik. Maka, perkara utama yang wajar diberi penekanan adalah untuk membanteras korupsi ini dengan habis-habisan kerana kita tidak mahu sejarah skandal penggubahan wang besar-besaran seperti 1MDB dan sebagainya itu berulang kembali. Korupsi benar-benar merugikan negara, dan kesannya sedang kita rasai sekarang.

Komen