Kita Semua Gagal

Kita berdiri teguh di belakang kerajaan untuk memerangi Covid-19. Kadang-kadang, kita persoalkan sesuatu (mungkin secara sindiran) bukan kerana kita tidak mahu menjadi ‘team-player’ tetapi kita berharap agar sesuatu itu dilaksanakan secara efisyen dan efektif serta bukan hanya kitar-semula tindakan yang tidak berhasil.

Kita telah berdepan dengan Covid-19 selama 16 bulan iaitu sejak kes pertama Covid-19 dikesan di Malaysia pada 25 Januari 2020 yang melibatkan 3 orang rakyat negara China yang memasuki Malaysia dari Singapura. Tidak dinafikan, krisis ini adalah bersifat dinamik dan memerlukan sedikit perubahan pada SOP dari semasa ke semasa. Walaubagaimanapun, tulang belakang pengurusan krisis ini haruslah diperkukuhkan dari semasa ke semasa dan bukannya semakin lemah menanti rebah.

Sejak dari tahun lepas, saya telah nyatakan bahawa krisis ini bukanlah krisis kesihatan semata-mata sebaliknya ia turut melibatkan krisis ekonomi dan sosial.

Untuk benar-benar menangani pandemik ini, kita memerlukan kerjasama erat antara pemerintah dan rakyat.

Sayangnya, sehingga ke hari ini, kita masih belum mampu menyatukan rakyat kita untuk sama-sama merasai semangat patriotik dan rasa cinta terhadap negara demi membebaskan negara dari pandemik.

Rakyat marhaen menyalahkan kerajaan, industri perkilangan dan pembinaan atau golongan kayangan tetapi pada masa yang sama turut membanjiri pusat membeli-belah atau menyambut perayaan secara besar-besaran hingga menyebabkan penularan wabak dengan sangat teruk.

Malah, sehingga ke hari ini juga negara kita dilanda krisis politik yang tidak juga tiba ke penamatnya. Ia adalah satu mala petaka buat negara kerana kita mempunyai jumlah ahli parlimen yang sangat ramai tetapi tidak boleh sama-sama memerah idea bagi memikirkan solusi demi kepentingan rakyat. Malah, rakyat juga hilang kepercayaan dengan perlantikan sebegitu ramai menteri dan timbalan menteri yang dilihat tidak memainkan peranan besar dalam menangani pandemik.

Saya juga melihat betapa kerajaan tidak memandang serius untuk mengekang berita palsu atau dakyah anti vaksin atau teori konspirasi yang secara terang-terangan menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap pandemik dan vaksin terhakis. Ini belum dikira strategi vaksinasi kebangsaan yang kurang efisien disebabkan pelbagai faktor yang sebenarnya boleh diperbaiki dari semasa ke semasa. Contohnya adalah isu logistik, tempat pemberian vaksin dan sistem My Sejahtera. Malah, kita seharusnya perlu mempercepatkan fasa vaksinasi dan memberi vaksin kepada seramai mungkin penduduk (sekurang-kurangnya dos pertama) dengan segera.

Selain itu, sampai bila kita mahu terus mengamalkan strategi refleks sentak lutut untuk semua permasalahan yang timbul. Kita memerlukan strategi yang menghasilkan keputusan secara mapan.

Setelah lebih setahun berdepan dengan krisis, rakyat sendiri termasuk saya masih terasa bingung dengan pelbagai istilah yang diwujudkan kerajaan. Pengisytiharan lock down penuh kali ini ini juga mengelirukan apabila ia diisytihar melalui pdf bahawa kerajaan akan melaksanakan total lock down di mana semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan essential. Apa bezanya ia dengan PKP yang kita laksanakan sekarang.

Malah, strategi ekonomi dan bantuan rakyat hanya akan diisytiharkan kemudiannya. Adakah ini bermaksud rakyat harus menanti ketibaan fail-fail pdf yang mendatang?

Umum mengetahui, sektor ekonomi besar seperti kilang-kilang dan industri adalah punca utama pandemik berlaku. Kes tetap tidak akan turun jika kesemua poket rakyat yang terdiri daripada peniaga kecil dibocorkan memandangkan sumber kluster masih ada. Sekiranya pekerja-pekerja kilang ini membentuk jangkitan dalam bubble mereka sendiri, ia mungkin boleh dipertimbangkan lagi. Tetapi, mereka juga berinteraksi dengan orang ramai termasuk keluarga, menyebarkan penyakit kepada orang ramai dan menyebabkan contact rapat mereka mendapat penyakit teruk lalu dimasukkan ke unit rawatan rapi. Kesemua ini hanyalah diibaratkan seperti kitaran kejam yang tidak berhenti berpusing.

Hal yang sama adalah seperti kluster benteng yang pernah melanda beberapa penjara di Malaysia. Dari luar, ia hanya melibatkan banduan dan kelihatan terkawal. Tetapi pada hakikatnya, kita terlupa bahawa ia melibatkan bulatan yang lebih luas dan terdiri daripada staf dan keluarga staf penjara, pihak polis serta badan kehakiman. Individu-individu dalam bulatan ini turut menjangkiti individu lain dan perkara yang sama juga berlaku dengan kluster industri perindustrian.

Negara kita juga sedang berdepan dengan krisis yang lebih besar iaitu krisis kemanusiaan. Di Sabah sendiri, kita ada masalah rakyat tanpa kewarganegaraan dan pendatang tanpa izin yang turut menjadi beban sistem kesihatan dan ekonomi negara kita. Apa solusi kepada masalah ini? Mengabaikan mereka ketika pandemik turut membawa kepada krisis kemanusiaan, kehabisan wang dan makanan hingga berpotensi menyebabkan peningkatan kadar jenayah.

Rakyat kita juga semakin terbeban. Saya sendiri sedih melihat perniagaan rakan-rakan hancur satu demi satu. Apa mekanisme untuk membantu mereka?

Hari ini, kita bersedih dengan nasib rakyat Palestin yang dibantai orang Israel. Keyboard warrior kita turut megah menyerang laman sesawang milik Israel. Tapi, adakah kita punya rasa sayang terhadap negara kita dan kaum marginal tertindas kesan daripada pandemik ini?

Hari ini, kita semua sudah gagal dalam melawan pandemik ini. Tidak ada istilah kerajaan gagal, golongan kayangan dan rakyat tidak patuh SOP. Terimalah hakikat bahawa kita semua gagal. Tetapi kegagalan bukan bererti lesen untuk menyerah kalah. Sebaliknya ia adalah satu semboyan yang menandakan bahawa kita harus kembali bangkit, membetulkan barisan dan terus berjuang dengan strategi lebih berkesan untuk memenangi perang melawan pandemik ini.

Komen