Di Hari Wanita ini, saya berkongsi sedikit tulisan umum saya mengenai feminisme dalam kerangka pemikiran John Stuart Mill.
Tulisan ini juga melihat bagaimana seorang lagi pemikir feminisme liberal, Susan Moller Okin melihat pandangan Mill tentang feminisme.
Jika tulisan ini sedikit panjang, maafkan saya.
Diharapkan ia memberi manfaat kepada kita semua.
Mill memiliki pandangan jelas dan konkrit mengenai peranan wanita dalam masyarakat dan apa yang diutarakan Mill pada tahun 1869 itu dilihat bertentangan dengan nilai dan kefahaman masyarakat pada ketika itu mengenai peranan wanita.
Pada bahagian pengenalan bukunya, The Subjection of Women, Mill dengan tegas menyatakan pendirian dan menggariskan prinsip yang dipegangnya mengenai kedudukan wanita melalui ungkapan seperti berikut:
“That the principle which regulates the existing social relations between the two sexes—the legal subordination of one sex to the other—is wrong in itself, and now one of the chief hindrances to human improvement ; and that it ought to be replaced by a principle of perfect equality, admitting no power or privilege on the one side, nor disability on the other.”
Melalui pandangan ini kita dapat memahami bagaimana Mill menentang tindakan memperkecil peranan wanita dalam masyarakat dan ia disifatkan beliau sebagai mampu menghindarkan kemajuan daripada menghampiri masyarakat.
Mill dalam pandangan ini turut bertegas bahawa struktur penindasan dan tidak adil seperti ini wajar digantikan dengan prinsip-prinsip lebih baik dalam mencerminkan kesaksamaan yang sempurna dengan tiada apa-apa keistimewaan wajar diberikan kepada mana-mana pihak dan dalam masa sama tiada keperluan untuk mewujudkan kedudukan yang cela buat suatu pihak yang lain.
Apa yang diungkap Mill ini dianggap sebagai permulaan kepada pendekatan feminisme liberal yang lebih menyeluruh dan lebih penting ia datang dari seorang lelaki. Ini memberikan pengertian bahawa isu kesaksamaan gender bukanlah sebuah perjuangan sepihak yang menjadi milik wanita sahaja.
Asas ini juga meletakkan bahawa feminisme liberal bukan berasaskan asas nama wanita sahaja, namun penting untuk dimartabatkan dengan nilai-nilai kemanusiaan dan keadilan yang wajar dipatuhi.
Okin menyifatkan Mill sebagai satu-satunya filasuf politik liberal yang menggariskan secara jelas prinsip-prinsip liberal yang wajar diaplikasikan terhadap wanita.
Filasuf liberalism sebelum itu termasuk John Locke dan Thomas Hobbes tidak memberikan pengertian jelas mengenai kedudukan liberalisme dalam menilai wanita. Ini meletakkan perbincangan liberalisme sebelum itu tidak mencapai kehendak yang menyeluruh dan wanita masih dilihat tidak berupaya dan tidak memiliki peranan besar dalam kerajaan dan negara.
Pengecilan peranan wanita dalam pandangan liberalisme sebelum itu, memberikan kefahaman bahawa belum wujud kesediaan untuk melihat wanita sebagai sebahagian entiti utama masyarakat, sebaliknya ia menjadi sub kepada sebuah sistem yang besar.
Walaupun John Locke dikenali sebagai bapa kepada liberalisme dan Thomas Hobbes membincangkan tentang kedudukan semua manusia adalah sama secara semula jadi, namun kerangka perbincangan masih didominasi dari sudut pandang lelaki.
Menurut Mill tujuan utama institusi sosial dan politik adalah untuk membangunkan potensi manusia ke satu peringkat lebih baik dan untuk itu, beliau jelas tidak bersetuju dengan mana-mana pandangan yang bersikap prejudis dan merendah-rendahkan martabat wanita dalam setiap aspek kehidupan.
Berpaksikan kepada pandangan positif terhadap keperluan sesebuah institusi sosial, kita dapat melihat bagaimana Mill berupaya memberikan pengertian lebih baik terhadap peranan wanita dalam semua institusi berkenaan. Ini juga merupakan sesuatu yang tidak dbahaskan dengan mendalam melalui filasuf liberalisme sebelumnya.
Menurut Okin yang meneliti secara menyeluruh pandangan Mill mengenai hak wanita dan liberalisme, Mill sering meletakkan wanita sebagai landasan dalam menilai sesebuah sistem falsafah dan sejarah masyarakat. Ini melihatkan bahawa Mill memandang tinggi peranan wanita dalam institusi sosial dan politik.
Berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh filasuf liberalisme sebelumnya, Mill jelas dalam keadaan ini meletakkan kedudukan wanita sebagai sebuah ciri-ciri utama dalam menentukan kemajuan sesebuah masyarakat atau negara. Penilaian terhadap bagaimana wanita diposisikan oleh sesebuah kerajaan menjadi penentu sama ada ia sebuah kerajaan yang adil atau tidak.
Menurut Okin lagi, Mill melalui tulisannya di dalam Essay on Government tidak bersetuju dengan pandangan untuk mengecualikan wanita daripada mengundi dengan semata-mata alasan kepentingan mereka dalam hak memilih itu telah pun dipelihara oleh lelaki yang bertindak sebagai ketua keluarga.
Di sini Mill berjaya meletakkan pandangan baru berkaitan hak seseorang wanita dalam keluarga yang selama ini dinafikan oleh peranan terlalu dominan lelaki yang dikatakan sebagai ketua keluarga. Berdasarkan apa yang dinyatakan Mill ini, kita dapat memahami bahawa terdapat pengasingan hak yang jelas dalam individu di mana seseorang individu tidak wajar menjalankan hak bagi pihak individu lain, apatah lain atas nama gender.
Okin ketika membincangkan mengenai sikap feminisme yang muncul dalam diri Mill menyifatkan beliau sering berhubung baik dengan kumpulan-kumpulan wanita yang memiliki pemikiran bertentangan dengan keadaan wanita pada zaman berkenaan.
Di samping itu, Mill juga dilihat mempunyai hubungan rapat dengan wanita-wanita yang menderita secara langsung daripada diskriminasi yang berlaku, termasuk dari aspek undang-undang perkahwinan yang mencengkam dan penafian terhadap hak pendidikan.
Sikap terbuka Mill dalam berhubung rapat dengan kelompok wanita pada masa berkenaan memberikan pengukuhan terhadap pendiriannya terhadap kepentingan kesaksamaan terhadap wanita dalam institusi sosial dan politik.
Ini juga memberi gambaran bahawa Mill merupakan filasuf liberalisme yang mengambil berat secara nyata dengan nasib kelompok yang dipinggirkan serta mampu membina hubungan kukuh dengan mereka bagi membina manifestasi idea yang lebih matang dan menyeluruh. Sikap seperti ini membuatkan beliau dihargai dalam konteks perjuangan wanita.
Mill merupakan filasuf liberalisme yang berpegang kuat kepada norma-norma asas perkembangan manusia. Beliau memiliki pemikiran yang konstruktif tentang reaksi dan psikologi manusia dan beliau melihat manusia memiliki peluang perkembangan yang dinamik. Menurut Okin, Mill berpandangan manusia bukan seperti mesin yang mempunyai model dan manual tersendiri.
Dalam aspek kemajuan manusia ini, Mill amat yakin bahawa kemajuan moral dan intelektual amat penting sebagai paksi kepada kebahagiaan manusia. Dua elemen ini merupakan gabungan terpenting dalam memelihara kesejahteraan dan penafian terhadapnya akan menghumban manusia ke kancah lebih buruk dan memberi kesan tak terjangka terhadap perkembangan negara.
Berkaitan dengan hal ini, Mill seperti dihuraikan Okin melihat ketaksamaan dalam hak perundangan dan fungsi sosial hanya semata-mata kerana perbezaan jantina merupakan penyebab utama sesebuah masyarakat mengalami kemunduran dan kemerosotan moral, sosial dan intelektual.
Di sini kita melihat bagaimana Mill mempamerkan ketegasan dalam menolak pandangan serong terhadap wanita. Mill memberikan kedudukan yang baik buat wanita, sejajar dengan keupayaan manusia dalam sistem sosial yang lebih adil dan berpaksikan kebebasan individu. Ia melihatkan bagaimana pengukuhan terhadap kesaksamaan gender akan membantu meningkatkan tahap kemajuan sesebuah negara.
Sebagai seorang filasuf liberalisme, Mill mementingkan kebebasan individu dan seperti dijelaskan Okin Mill mengutamakan kebebasan individu sebagai sesuatu yang utama dan penting buat manusia selepas makanan dan pakaian. Mill berpegang kepada prinsip bahawa satu-satunya tujuan kuasa digunakan dengan tepat dalam sesebuah masyarakat bertamadun yang bertentangan dengan kehendak individu adalah demi mengelakkan keburukan menimpa orang lain.
Di sudut ini, Mill menekannya hal berkaitan aturan dan keperluan untuk mengekalkannya. Dalam pandangan liberalisme Mill, masih terdapat keperluan untuk kuasa digunakan pada sesuatu takat yang bertentangan dengan kehendak individu, namun ia hanya dengan tujuan mengukuhkan aturan dan menjauhi tingkah laku buruk manusia terhadap manusia yang lain. Dalam hal ini, ia secara tepat bersangkutan dengan langkah-langkah pencegahan jenayah.
Menurut Okin, Mill menjulang prinsip kebebasan dan penentuan nasib sendiri buat wanita dan dalam hal ini Mill menentang sebarang kesenjangan yang berlaku terhadap undang-undang perkahwinan dan diskriminasi buruk yang melanda wanita dalam bidang pekerjaan dan pendidikan. Bagi Mill, pengukuhan terhadap kebebasan wanita akan memberi kebahagiaan kepada wanita itu sendiri dan mengelakkan mereka daripada bergantung nasib kepada seseorang yang lain.
Di saat Mill mengemukakan hujah-hujah yang berkaitan dengan liberal feminisme, wanita pada ketika itu tidak mempunyai ruang dan peluang untuk berada dalam pasaran kerja, melainkan sebagai buruh tidak berkemahiran. Ketika itu, wanita hanya menjadi isteri dan terikat secara perundangan untuk kekal patuh terhadap suami dan tidak memperoleh akses untuk memiliki harta.
Dari sudut akses dan kesaksamaan peluang pekerjaan, Mill melihat wujud kepentingan yang mendesak untuk apa jua kerjaya untuk lelaki, turut dibuka peluang yang sama untuk wanita.
Dari aspek perkahwinan pula, Mill melihat perkahwinan harus didasari dengan kontrak yang bebas dan perkahwinan tidak boleh mempunyai sebarang motif penindasan, sebaliknya wajar berteraskan kepada kasih sayang dan rasa hormat. Bagi Mill perkahwinan bukanlah alasan untuk menafikan kebebasan seseorang, melainkan dengan tujuan sah untuk melindungi daripada perkara buruk.
Pembebasan wajar seorang wanita bagi Mill adalah penting untuk kemajuan masyarakat secara menyeluruh. Ini kerana beliau beranggapan, wanita yang terpelajar dan berkerjaya mempunyai keupayaan membentuk pemikiran lebih baik dan matang dan ini seterusnya memberi kesan kepada hubungan gender yang lebih terurus. Menurut Mill, wanita yang terpelihara dari sudut intelektual akan memberikan persaingan setara dan sihat kepada lelaki dan akhirnya mengukuhkan perkembangan idea seseorang lelaki.
Menurut Mill lagi, seorang lelaki yang hidup bertahun-tahun dengan wanita yang tidak berkembang dari sudut pemikiran, akibat ketidakseimbangan gender akan melumpuhkan perkembangan psikologi dan intelektual seseorang lelaki.
Satu hal yang menarik dalam idea-idea feminisme liberal yang dibawa Mill, beliau tidak percaya kepada kesenjangan semula jadi yang berlaku antara lelaki dan wanita, kecuali dari sudut kekuatan fizikal. Mill menegaskan tiada sesiapa yang tahu keadaan lelaki dan wanita secara semula jadi kerana apa yang dilihat kini adalah dalam kerangka hubungan semasa antara satu sama lain yang sudah pun ditandai dengan dominasi lelaki.
Dalam aspek moral, seperti dijelaskan Okin, Mill menentang usaha membezakan piawaian moral antara lelaki dan perempuan dan menurut Mill ia hanya alasan untuk memaksa kepatuhan wanita kepada sistem nilai yang berorientasikan lelaki.
Dalam aspek pentadbiran dan kuasa pula, Mill melihat hak politik seperti hak mengundi mampu merangsang pemikiran dan kuasa wanita dan ini secara langsung bakal memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurut Okin, walaupun Mill menolak sistem patriarki, namun Mill masih melihat keluarga sebagai tunjang kemanusiaan. Mill berpandangan bahawa kehidupan berkeluarga bukan sesuatu yang menakutkan jika ia berpaksikan kepada kesaksamaan politik dan sosial antara lelaki serta wanita.
Daniyal Kadir adalah seorang penjawat awam yang juga rajin mengulas tentang seni perfileman. Beliau juga merupakan penulis buku Membedah P. Ramlee selain kerap muncul dalam acara bicara perfileman, baik sebagai panelis atau moderator. Di masa lapang, Daniyal juga terlibat dalam pembikinan filem pendek.