Kisah Seorang Mantan SUA Menteri

Gempita di media sosial tentang tulisan seorang mantan setiausaha akhbar (SUA) kepada mantan Menteri Pendidikan tentang pengalamannya ketika di dalam kementerian. Dikisahkan tentang cabaran-cabaran yang dihadapinya sewaktu menjalankan tugas sepanjang beberapa bulan perkhidmatannya bersama YB Menteri.

Sebagai permulaan, saya cuba untuk menjawab satu persatu isu yang dibangkitkan dalam tulisan beliau sekadar apa yang saya tahu. Harus diingat jawapan saya ini dalam keadaan disadvantage, kerana saya bukan orang kementerian maka selok-belok maklumat atau rahsia tidak ada di dalam kocek saya.

Persoalan Isu

Isu pertama yang dibangkitkan ialah tentang bagaimana peruntukan untuk Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) dan Perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) telah dipotong oleh Kementerian Kewangan (MOF). Ditulis oleh beliau bagaimana tindakan MOF ini menjejaskan 1,382 syarikat serta mengakibatkan 10,406 pekerja hilang pekerjaan dan rata-rata mereka ini dari kelompok B40.

Walaupun tidak dinafikan tindakan MOF itu memberikan kesan yang besar kepada pekerja kontrak, harus juga difahami tindakan ini diambil kerana keperluan kerajaan untuk berjimat cermat. Ini bukan kes duit kerajaan disonglap atau disalah guna, tetapi sebenarnya adalah tindakan normal untuk menjimatkan kos operasi dan pentadbiran. Ya, ia situasi yang rumit apabila kementerian perlu memilih antara terus berbelanja besar untuk khidmat tersebut atau memotong perbelanjaan kerana mahu berjimat dan pada masa sama menjejaskan peluang kerja rakyat.

Isu seterusnya yang disentuh ialah penutupan beberapa agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Antara yang disebut ialah Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM). Sedangkan penutupan ITBM dibuat selepas melalui proses rasionalisasi dan diputuskan ianya tidak penting. Hakikatnya di Malaysia kita ada sekian banyak agensi kerajaan yang bertindih skop serta bidang tugas apabila melibatkan industri buku. Selain ITBM wujud juga agensi lain seperti Perbadanan Kota Buku (PKB) atau Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang fungsinya hampir sama di antara mereka.

Saya sendiri pernah menulis tentang perlunya ITBM ditutup atau dikembalikan kepada fungsi yang asal (Melihat ITBM Bekerja) dan tulisan saya ini diakui sendiri oleh tim media Menteri Pendidikan ketika itu. Kenapa kini selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan perkara seperti 96% pekerja ITBM adalah orang Melayu perlu disebut-sebut ibarat ianya merampas hak istimewa Melayu?

Isu penutupan Institut Pendidikan Guru (IPG) juga turut dibangkitkan seolah ianya satu niat jahat MOF untuk merencatkan pendidikan negara. Walhal jika kita rajin melihat kembali pada sejarah lalu, rancangan penutupan IPG sudah bermula sejak di zaman Najib Razak menjadi Perdana Menteri apabila dalam Bajet 2017 beliau sendiri mencadangkan 9 buah IPG ditutup.

Susulan pembentangan bajet tersebut, mantan SUA jugalah yang memuat naik status Facebook memberikan saranan bahawa kesemua 27 IPG sebaiknya ditutup, biar pun beliau sendiri adalah produk lulusan IPG. Mantan SUA juga pernah berhujah bahawa elaun yang diberikan kepada penuntut IPG perlu ditarik balik kerana ianya tidak membawa sebarang faedah kepada negara. Ini semua ditulis beliau sendiri pada tahun 2016 ketika zaman kerajaan Barisan Nasional (BN).

Di sebalik semua kekusutan yang timbul atas langkah penjimatan oleh MOF tadi, mantan SUA kemudian memilih pula untuk menyerang balas dengan mempertikaikan perbelanjaan oleh MOF untuk perkara lain. Antara yang dikritik ialah pemberian dana berjumlah RM60 juta oleh MOF kepada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Sememangnya pemberian dana ini menjadi isu yang dimainkan banyak pihak, tetapi kita tidak boleh mengabaikan fakta bahawa kerajaan terikat dengan komitmen tahunan kepada UTAR untuk menyediakan geran sepadan bernilai RM60 juta. Ini adalah perjanjian yang telah wujud sejak zaman  BN apabila kerajaan bersetuju memberikan geran sepadan ini kepada UTAR yang merupakan usaha salah satu parti komponen BN iaitu MCA. Apa yang dibuat oleh MOF dalam era PH adalah untuk menghormati perjanjian sedia ada.

Juga, hal pemberian wang berjumlah RM450 juta dalam bentuk e-wallet kepada penyedia perkhidmatan dijadikan modal untuk mendakwa MOF mengabaikan peruntukan pendidikan yang jauh lebih penting. Tetapi bukankah RM450 juta itu sebenarnya diagihkan kepada rakyat sebagai pengguna akhir, bukannya teman-teman rapat yang sebenarnya hanya penyedia platform? Niat dan matlamat program e-tunai rakyat ini jelas, memupuk masyarakat nir tunai di kalangan rakyat Malaysia tetapi dijadikan alasan kononnya ‘merampas’ peruntukan pendidikan.

Saya lihat, apa yang gagal disebut oleh mantan SUA ialah belanjawan tahunan menyediakan peruntukan terbesar kepada sektor pendidikan saban tahun. Sebanyak RM61.6 bilion untuk 2018, RM60.2 bilion untuk 2019 dan RM64.1 bilion untuk 2020 jelas membuktikan peruntukan pendidikan adalah malar dan tidaklah dipotong secara tidak masuk akal. Komitmen MOF adalah menguruskan kewangan negara dan mengagihkan peruntukan kepada setiap sektor mengikut kepentingan. Syukur, pendidikan sememangnya selalu menjadi sektor paling penting setiap kali belanjawan negara dibentangkan.

Isu-isu lain seperti apa yang dibualkan dalam mesyuarat sulit, duit ko-kurikulum yang tidak turun atau berapa warkah surat diutuskan oleh Timbalan Menteri Pendidikan ketika itu kepada Menteri Kewangan adalah lebih berbaur spekulatif dan di luar dari keupayaan saya untuk mengulas. Maka, saya abaikan ia untuk mungkin dibicarakan oleh orang lain.

Mantan SUA Yang Saya Kenal

ZF Zamir adalah rakan saya. Kami kenal lama sebelum beliau menjadi pegawai khas menteri. Tidak dinafikan, beliau adalah seorang yang lantang dan kritis khususnya dalam bidang pendidikan. Buku-buku awal tulisan beliau berkisar tentang isu pendidikan. Kelantangan beliau dalam memperjuangkan hal pendidikan pernah ditegur ketika zaman BN sewaktu ZF Zamir masih lagi seorang guru sekolah.

Beberapa minggu sebelum PRU14, ZF Zamir pernah menulis panjang lebar tentang kenapa Mahathir Mohamad bukan calon yang sesuai untuk dijadikan Perdana Menteri oleh PH. ZF Zamir seterusnya menjadi aktivis advokasi #UndiRosak sebagai protes kepada ketiadaan pilihan yang masuk akal antara BN dan PH dalam pilihan raya umum.

Tetapi hanya beberapa hari sebelum tarikh keramat 9 Mei tiba, ZF Zamir melakukan pusingan-U dan menyokong pilihan Perdana Menteri oleh PH iaitu Mahathir Mohamad. Saya antara yang paling kuat mengkritik pusingan-U tersebut kerana setelah sekian banyak artikel dan status ditulis beliau mempertikaikan Mahathir dan PH, adalah sangat menjelekkan apabila beliau tiba-tiba menjadi penyokong Mahathir.

Namun sebagai rakan, kami sentiasa terbuka untuk duduk bersembang dan memahami apa yang sebenarnya berlaku. Dan dari perbualan di kedai kopi selepas 9 Mei, ZF Zamir menerangkan pusingan-U itu perlu dibuat kerana sokongan beliau kepada Dr Maszlee Malik yang bertanding di Simpang Renggam sebagai calon Bersatu di bawah PH. Kita perlu hidup, kata beliau. Saya memahami kerana selepas bersara dari menjadi guru dan berhenti dari rumah penerbitan Thukul Cetak, ZF Zamir perlu mencari karier baru dan peluang bersama Maszlee Malik adalah sesuatu yang perlu direbut. Apa lagi mengambil kira Maszlee adalah mentor beliau sendiri.

Pasca 9 Mei apabila PH tanpa dijangka menang dan menubuhkan kerajaan, peluang yang dicari itu datang bergolek buat ZF Zamir. Beliau ditawarkan tempat di dalam tim Maszlee Malik, di dalam Kementerian Pendidikan yang sangat sesuai dengan bidang kepakaran ZF Zamir sendiri.

Tetapi peluang itu tidak datang dengan aman. Bukan sedikit cakap-cakap belakang yang mempertikaikan ZF Zamir kerana sebelum PRU14 beliau galak mempertikaikan Mahathir dan PH, menjadi advokat #UndiRosak dan tidak mempunyai keahlian parti Bersatu. Ada cakap-cakap itu yang sampai kepada saya. Tetapi saya nyatakan ini rezeki beliau, pendidikan adalah passion beliau dan jika tindak-tanduknya sebelum PRU14 menjadi persoalan, berlapang dadalah bahawa dua hari sebelum PRU14 saudara ZF Zamir sudah melakukan pusingan-U untuk bersama PH.

Pekung Di Dada

Saya tidak mahu mengulas tentang ZF Zamir ketika bergelar SUA menteri. Saya bukan orang media yang mungkin banyak berurusan dengan beliau dan termakan hati. Tetapi dua hari (lagi!) sebelum Dr Maszlee Malik secara ‘sukarela memulangkan jawatan Menteri Pendidikan’ saya pernah berhubung dengan ZF Zamir kerana ingin membincangkan satu usul berkenaan perpaduan di sekolah.

ZF Zamir cuba membeli masa kerana jadualnya sibuk. Saya faham. Tetapi belum sempat beliau kembali kepada saya dengan masa yang sesuai untuk janji temu, pecah berita bahawa Dr Maszlee Malik dipecat (atau disuruh pulangkan jawatan) dari menjadi Menteri Pendidikan.

Bersama itu, ZF Zamir juga kehilangan jawatan SUA beliau.

Masa selang berganti dan kerajaan PH jatuh akibat pengkhianatan dalaman sehinggalah terbitnya artikel tulisan ZF Zamir yang kononnya mendedahkan segalanya.

Saya separuh setuju dengan tulisan beliau. Setuju jika dikatakan DAP selaku parti terlalu gopoh melaksanakan perubahan tanpa memahami psiki Melayu selaku kelompok pengundi terbesar negara. Inilah silap DAP kerana merasakan ia boleh buat apa sahaja kerana ia percaya apa yang dilakukan adalah perubahan kepada sesuatu yang lebih baik. Mereka lupa, perubahan yang baik itu boleh sahaja menjadi sesuatu yang memberikan kesan negatif kepada kelompok tertentu.

Kenapa saya berpendapat sebegini? Kerana contohnya ada jelas untuk kita lihat. Dalam ZF Zamir menyalahkan DAP kerana gopoh, beliau lupa kejatuhan Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan juga adalah kerana kegopohan Maszlee dan ZF Zamir sendiri. Terlalu banyak perubahan yang cuba dibawa tetapi mereka terlupa pendidikan adalah satu institusi rigid yang sukar untuk direvolusikan dek kerana ramainya pemegang taruh dan pentingnya sektor pendidikan itu sendiri. Biar pun perubahan yang dibawa itu adalah lebih baik, seperti sarapan pagi percuma atau susunan kelas tanpa mengikut keputusan peperiksaan pelajar. Tetapi perubahan seperti inilah sebenarnya yang menjatuhkan Maszlee kerana ia mewujudkan satu hostile environment dari kelompok yang tidak mudah menerimanya.

Dan saya enggan setuju dengan tulisan ZF Zamir yang merumuskan bahawa kejatuhan PH dan kebangkitan kembali para koruptor adalah salah DAP. Bukan DAP yang melalui proses perpecahan parti dan pengkhianatan dari dalam. Tetapi sebaliknya ia berlaku dalam parti PKR dan lebih mendukacitakan oleh parti Bersatu yang secara gopoh bertindak keluar dari PH. Bersama tindakan Bersatu itu adalah Dr Maszlee Malik, yang membuat pusingan-U sehingga empat kali dalam satu hari kerana kecelaruan politik beliau.

Maka fahamlah saya dari mana ZF Zamir belajar membuat pusingan-U sebelum PRU14 dahulu.

Kesimpulan

Hingga artikel ini hampir ke hujung, saya masih tidak faham apa matlamat ZF Zamir menulis artikel terkini beliau.

Tetapi yang pasti tulisan menyalahkan DAP beliau telah mewujudkan satu lagi keretakan dalam Pakatan Harapan dan menyumbang pada naratif perkauman yang ditunggangi kelompok kononnya pejuang Melayu Islam serta percaya semuanya salah DAP. Namun yang lebih menggusarkan ia mewujudkan persoalan adakah ZF Zamir, yang buat pusingan-U dua hari sebelum PRU14, yang menjawat pangkat SUA kepada menteri dan individu yang rapat dengan Dr Maszlee Malik; mungkin sebenarnya adalah gunting dalam lipatan?

Saya cuba untuk tidak beranggapan sedemikian. Lalu saya teringat perbualan kami di kedai kopi selepas 9 Mei 2018.

Kita perlu hidup, katanya.

Komen