Kisah Sehari Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan

Dalam mana-mana pentadbiran kerajaan, perancangan dan komunikasi adalah dua elemen penting bila melaksanakan satu-satu tindakan drastik, seperti darurat, perintah berkurung, larangan perjalanan atau dalam konteks Malaysia sekarang, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tanpa perancangan dan komunikasi, langkah seperti PKP yang asalnya bertujuan untuk memutuskan rangkain jangkitan COVID-19 dan juga meratakan lengkungan (flatten the curve) tidak akan berhasil. Sebaliknya ia akan hanya mencetuskan panik di kalangan rakyat, yang seterusnya membawa kepada kesan bertentangan seperti penularan wabak yang lebih luas dan tidak terkawal.

Sayang sekali, jika dinilai situasi yang berlaku di dalam negara dalam tempoh sehari sebelum bermulanya penguatkuasaan PKP, atau mudahnya sebaik sahaja selepas ucapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam 16 Mac 2020, maka jelaslah dua elemen penting tadi gagal digunakan sebaiknya.

Tiada perancangan, tiada komunikasi.

Petanda awal terlihat jelas selepas ucapan Perdana Menteri pada 16 Mac, yang asalnya dijadualkan lebih awal tetapi ditunda hingga jam 10 malam, waktu yang sebenarnya bukan lagi waktu puncak seperti pada pukul 8 atau 9 malam. Sebaik sahaja ucapan yang mengumumkan pelaksanaan PKP dan enam perkara penting di dalamnya, lebih banyak persoalan bermain di fikiran rakyat dan juga pihak media. Tetapi oleh kerana ucapan yang disampaikan agak lewat, sebarang pertanyaan susulan terpaksa ditunda hingga ke esok hari sama seperti sebelumnya ketika kes COVID-19 memuncak pada hari Ahad dan Menteri Kesihatan hanya boleh menjawab, tunggu mesyuarat esok pada hari Isnin.

Dari jam 10 malam sehingga 8 pagi, waktu dimana kebanyakan pejabat kerajaan mula beroperasi, rakyat terpaksa menunggu 10 jam untuk mendapatkan kepastian. Dalam kata lain, mereka masuk tidur malam sebelumnya dengan seribu pertanyaan dan harapan esok pagi akan ada perancangan dan komunikasi yang lebih jelas dari kerajaan.

Harap itu tinggal harapan.

Apa yang kita tahu, pada pukul 8 pagi sebahagian rakyat masih bersesak menuju ke tempat kerja sementara sebahagian yang lain mungkin bersesak di pasar membeli barang keperluan sebagai persediaan PKP esoknya. Tidak ada apa-apa komunikasi dari kerajaan tentang perancangan mereka, melainkan mengulang apa yang telah diucapkan malam sebelumnya.

Dalam sela masa antara pukul 8 pagi sehingga mungkin 10 pagi, kebanyakan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) mula mendapat arahan dari pentadbiran universiti tentang keperluan mengosongkan kolej kediaman mereka kerana kuliah telah digantung dan universiti diarah tutup. Ketiadaan tempat untuk menginap, para pelajar ini membuat keputusan untuk pulang ke kampung halaman dan majoriti darinya terpaksa menggunakan khidmat pengangkutan awam seperti bas dan tren.

Tiada sebarang pengumuman dari Menteri Pendidikan Tinggi.

Pada pukul 10 pagi itu juga, kebanyakan pasar raya mula beroperasi dan menerima kunjungan luar biasa dari pembeli yang melakukan panic buying kerana takut mereka akan keputusan barang keperluan sepanjang tempoh dua minggu PKP. Dalam sekelip mata, barangan basah habis dibolot seperti sayur-mayur, ikan, ayam dan telur. Usai barangan basah kosong dari raknya, tumpuan pembeli beralih kepada barangan kering seperti mi segera, roti, biskut, sardin dalam tin dan apa sahaja barangan yang dikira dapat melapik perut sepanjang tempoh dua minggu.

Tiada sebarang pengumuman dari Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Menjelang 12 tengah hari, panic buying yang bermula awal tadi menjadi lebih kronik apabila mereka yang bekerja mencuri masa untuk membeli di pasar raya juga. Pada masa yang sama, gerombolan pergerakan pelajar IPT yang mudik ke kampung mula membanjiri hab pengangkutan seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS), KL Sentral dan sebagainya. Pergerakan massa ini tidak dijangka, dan syarikat kereta api serta bas tidak bersedia dengan tiket secukupnya untuk semua penumpang. Kesesakan perlahan-lahan sudah bermula.

Tiada sebarang pengumuman dari Menteri Pengangkutan.

Selepas 12 tengah hari, realiti PKP selama dua minggu mula menghantui kebanyakan kelas pekerja. Majikan sudah mula membuat keputusan, dan banyak darinya memberi kata putus cuti selama dua minggu itu tidak bergaji. Bukan semua salah majikan. Ada segelintir majikan kecil yang bisnesnya juga kecil memang tidak mampu menanggung gaji pekerja selama dua minggu di saat perniagaan juga ditutup dua minggu lamanya. Perbalahan mula tercetus di antara pekerja dan majikan.

Tiada sebarang pengumuman dari Menteri Sumber Manusia.

Dalam kekalutan itu, muncul pula masalah baru di kalangan ibu bapa yang ada anak kecil. Dengan rumah pengasuh, taska, tadika dan pusat asuhan ditutup selama dua minggu, ibu bapa yang terpaksa bekerja sepanjang dua minggu tempoh PKP kini buntu mencari penjaga anak mereka.

Tiada sebarang pengumuman dari Menteri Wanita.

Di seberang tambak, rakyat Malaysia yang membanting tulang mencari rezeki di negara jiran Singapura mendapat maklum dari majikan. Kebanyakannya diberi pilihan, cuti tanpa gaji dua minggu atau terus bekerja di Singapura sepanjang PKP berkuat kuasa dengan bermalam di negara republik itu. Majoriti memilih untuk terus bekerja lalu diberi pilihan untuk pulang sebentar mendapatkan pakaian dan keperluan selama dua minggu. Sekali lagi, pergerakan massa tercetus di antara dua penghujung tambak kerana rakyat mengejar masa.

Tiada sebarang pengumuman dari Menteri Luar Negara.

Lewat petang, suasana panik menyelubungi seluruh negara. Keadan menjadi tidak menentu dan di saat itu muncul Menteri Kesihatan mengumumkan tentang statistik semasa COVID-19, sambil dibantu oleh Ketua Pengarah Kesihatan yang di dalam koceknya penuh data buat menolong menteri menjawab soalan wartawan.

Tiada sebarang pengumuman penting oleh Menteri Kesihatan.

Apabila malam menjelma, usai Maghrib realiti panik dan huru-hara yang tercetus mula mengejutkan kita semua, termasuklah di pihak kerajaan. Bekalan di pasar raya kehabisan, ramai pekerja yang kini bakan keputusan pendapatan selama dua minggu, para pelajar masih sangkut di TBS dan KL Sentral mencari tiket yang kehabisan sementara pekerja Malaysia di Singapura sedang kelam-kabut berusaha masuk ke negara kota itu sebelum tamat tempoh.

Muncul pihak polis memberi maklum sebarang pergerakan merentas negeri perlu mendapat izin polis melalui borang permohonan.

Habis semua balai polis diserbu, mulanya oleh pelajar tanpa tempat tinggal yang mahu pulang ke kampung, kemudian oleh ibu bapa pelajar tersebut yang mahu merentas negeri malam itu juga mengambil anak mereka yang terkandas tanpa tiket untuk pulang ke kampung.

Segala huru-hara ini berlaku tanpa sebarang respon dari kerajaan.

Dan ketika masa hampir tamat, ketika rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura hampir menamatkan perjalanan kaki 4 jam mereka untuk masuk ke negara republik tempat mencari rezeki sambil beratur di dalam terowong, barulah ada suara-suara dari menteri.

Menteri Pendidikan Tinggi memberitahu pelajar IPT boleh saja diam di kolej kediaman. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberi jaminan bekalan makanan cukup dan pasar raya akan kekal dibuka. Menteri Dalam Negeri memberi maklum tidak perlu izin polis jika mahu bergerak rentas sempadan.

Lain-lain menteri, masih diam.

Tetapi, semua itu berlaku ketika waktu mula kuat kuasa PKP hampir tiba. Selepas rakyat bermatian, bersesak, berpusu dan berpeluh kerana tiadanya perancangan dan komunikasi dari kerajaan.

Dan ketika hampir 12 tengah malam masuk ke tarikh 18 Mac 2020 baru kita sedar, suasana panik yang berlaku ini adalah sama yang pernah berlaku di Itali, sebelum puluhan ribu rakyatnya positif COVID-19 dan ribuan maut kerana COVID-19.

Sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan, kita tampaknya sudah gagal.

Komen