AKU kerap menghabiskan masa di kedai mamak berhampiran Kondo Yang Penuh Dengan Melayu Berbikini aku. Hampir tiap-tiap pagi aku menunggu kehadiran rakan sekerja aku di situ. Dan seperti yang dijangkakan, hampir tiap-tiap pagi aku akan melihat banyak karenah manusia yang pelbagai-bagai ragam.
Yang paling menjengkelkan semestinya Orang Yang Perasan Berjaya Dan Suka Berborak Kuat di meja makan mamak. Kawan-kawan duduk rapat semeja pun, kena cakap kuat, biar tiga meja bersebelahan boleh dengar.
Mereka ni senang dijejaki. Selalunya lelaki, berambut pendek (kerana berambut panjang itu tanda kegagalan dan keselekehan dan tidak professional, kata mereka), berkemeja putih, bertali leher dan seluar slacks dan mempunyai telefon bimbit model baru yang tak pandai diletakkan dalam vibrate mode. (Read The Fucking Manual = RTFM) Lagi banyak panggilan yang datang, dan lagi banyak ringtone lagu hip-hop bodoh, lagi berjayalah maksudnya untuk si polan ini.
Jadi pagi tadi aku telah bersemuka dengan salah seorang yang tergolong dalam kumpulan ini. Biasalah topik yang dibincangkan kuat-kuat, seperti politik am (belum pernah mengundi pun), politik pejabat (“Kau rasa boss kita tu kalau dia bersara dia nakkan aku jadi pengganti dia tak?”), kereta (“Aku ada lobang dapat zero downpayment untuk kereta Persona baru…”), bolasepak negara luar (“Aku rasa Beckham bodohah main bola kat US.”) dan benda-benda yang remeh macam tu. Biasanya disebut kuat-kuat, dalam Bahasa Inggeris. Kemudian suka meng-usha orang, nak tengok mereka tu dengar atau pun tidak.
Kebiasaanya akan membawa kereta mewah seperti BMW, yang duitnya akan dibayar secara bulanan dengan pinjaman 10 tahun, dan biasanya akan di parking di tepi jalan, betul-betul bersebelahan meja mereka, agar semua orang di kedai mamak itu akan tahu bahawa itu kereta mereka. Aku nampak sebuah kereta BMW di sebelah mereka, jadi aku sangkakan mamat ni semua telah datang dengan kereta tersebut lah.
Nak dipendekkan cerita, memang ada sekumpulan mereka ini yang lepak di mamak tempat aku lepak, berbaju segak, makan gaji buta (sebab dah lebih pukul 10 pagi pun masih lepak kat mamak. Boss takda di pejabat ke?). Dan kebetulan pagi tadi selain dari aku, ada Mat Rempit bertopi ala Burberry dan berseluar pendek dan agak selekeh yang duduk di belakang aku, sama-sama meng-usha sekumpulan Orang Yang Perasan Berjaya Dan Suka Berborak Kuat ini, yang sama-sama mengusha Mat Rempit tadi. Kiranya saling meng-usha. Mungkin sama-sama sakit hati dan berhasad dengki. Maklumlah itu sifat orang Melayu.
Mula-mula aku sangkakan mamat bertopi tu seorang Mat Rempit, rupanya memang macam Mat Rempit pun, jadi pagi tadi memang berbulu ah untuk aku, ada dua golongan manusia yang aku tak suka duduk dekat-dekat aku.
Aku seperti biasa buat hal sendiri lah, cuba memadam ruang SMS di dalam telefon bimbit aku (banyak sangat SMS dari peminat dan kelab-kelab malam yang menghantar flyer SMS bodoh. DV8 KL/MAISON STOP SPAMMING ME!).
Rakan sekerja aku masih tak sampai lagi. Tiba-tiba aku perasan si Mat Rempit belakang aku ingin beredar. Meja depan aku masih rancak berbual kuat-kuat perihal benda yang tidak guna. Selepas selesai membayar, aku ingatkan si Mat Rempit bertopi Burberry dan berseluar pendek ni akan cari motosikal dia dan akan terus merempit laju-laju dari situ.
Tapi dengan selambanya si Mat Rempit ini telah mengeluarkan kunci kereta, membuka pintu kereta BMWnya dan terus beredar dari situ. Topi Burberry original, beb!
Orang Yang Perasan Berjaya Dan Suka Berborak Kuat terus beredar dengan kereta Proton mereka. Muka ala-ala mawas.
Tapi tak tahulah aku kalau itu kereta pinjam. Apa-apapun selepas itu aman damai betul situasi di mamak tersebut kerana Orang Yang Perasan Berjaya Dan Suka Berborak Kuat sudah pergi membawa diri. Terima kasih si Rempit BMW.
Kan bagus kalau semua Mat Rempit berwawasan beli BMW?
Tulisan Melayu Minimalis ini ada di dalam Aku Tak Peduli.