Kisah Cinta Tidak Biasa Para Filsuf

“To be alone is the fate of all great minds.” (Bersendiri merupakan takdir hidup para pemikir terhebat.)
Arthur Schopenhauer [1788–1860]

Setiap tahun, tanggal 14 Februari, seluruh manusia di dunia akan merayakan Hari Valentine/Hari Kekasih. Pada hari tersebut, setiap pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta akan meraikan pasangan mereka. Namun, dalam membicarakan soal cinta, ternyata ia merupakan satu topik yang agak sukar daripada sudut pandang seorang filsuf.

Filsuf dianggap sebagai manusia yang paling bijaksana, dan segala buah pemikiran mereka hidup abadi sehingga kini. Namun, terlepas daripada buah pemikiran mereka, mereka memiliki kisah cinta yang sangat tidak biasa. Seringkali, para filsuf turut digelar sebagai seorang yang gagal dalam percintaan. Berikut merupakan antara kisah cinta tidak biasa beberapa filsuf dunia:

SØREN KIERKEGAARD (1813-1855) & REGINE OLSEN (1822–1904)

Søren Kierkegaard merupakan seorang filsuf Denmark yang dianggap sebagai pengasas kepada idea eksistensialisme. Kierkeegard memiliki kisah cinta yang sangat tidak biasa dalam hidupnya. Alkisahnya, Kierkeegard telah jatuh hati kepada seorang perempuan bernama Regine Olsen (1822-1904). Kedua-duanya saling mencintai, lalu Kierkeegard melamar Olsen. Namun, Kierkegaard merupakan seorang filsuf yang dikatakan sering dihantui oleh perasaan melankolia (melancholia). Beliau sering mengalami kemurungan, kadangkala diikuti dengan rasa sedih yang keterlaluan. Akibatnya, Kierkeegard sering merasai kekhuatiran yang mendalam, dan merasa bimbang yang dirinya tidak mampu memberi kebahagiaan kepada Olsen.

Tidak lama kemudian, Kierkeegard memutuskan pertunangannya dengan Olsen, dan memilih untuk membujang sehingga ke akhir hayatnya, sedang Olsen hidup bahagia bersama orang lain. Kierkeegard meluahkan ideanya tentang perempuan, cinta dan perkahwinan dalam dua karya agungnya: Either/Or: A Fragment of Life (Sama Ada/Atau: Sebuah Fragmen Kehidupan) serta Fear & Trembling (Ketakutan & Kegeletaran).

FRIEDRICH NIETZSCHE (1844-1900) & LOU SALOMÉ (1861–1937)

Friderich Nietzsche adalah seorang filsuf eksistensialis Jerman. Antara buah pemikirannya yang terkenal adalah ungkapan “Tuhan sudah mati” (God is dead/Gott ist tot). Tidak hanya pemikirannya, Nietzsche turut mempunyai kisah cinta yang tidak biasa. Nietzsche jatuh cinta pada seorang wanita intelektual bernama Lou Andreas-Salomé (1861-1937). Sayang sekali, cinta Nietzsche pada Salomé justeru bertepuk sebelah tangan. Tiga kali lamaran Nietzsche telah ditolak mentah-mentah oleh Salomé, yang kemudiannya berkahwin dengan seorang penulis bernama Paul Rée.

Tragedi cinta tersebut terjadi ketika Nietzsche menderita kemurungan yang sangat serius. Setelah cintanya ditolak, Nietzsche lebih suka hidup menyendiri bersama ibu dan adik perempuannya, sehinggalah beliau meninggal pada tahun 1900. Namun, Nietzsche mampu melahirkan pelbagai karya besar lewat pengalaman menyakitkan yang beliau alami, meskipun karya beliau mempunyai unsur-unsur misoginistik apabila berkata tentang perempuan, cinta dan perkahwinan.

JEAN-PAUL SARTRE (1905-1980) & SIMONE DE BEAUVOIR (1908-1986)

Jean-Paul Sartre adalah filsuf eksistensialis kiri Perancis pada pertengahan abad ke-20. Kekasih Sartre adalah filsuf feminis Perancis, Simone de Beauvoir (1908-1986). Sartre fokus kepada eksistensialisme manusia secara umum, manakala de Beauvoir memilih feminisme-eksistensialisme. Kedua-duanya telah berpacaran sejak tahun 1929 melalui perhubungan yang berbeza dengan norma sosial manusia.

Kedua-duanya saling mengikat perhubungan terbuka dalam hubungan asmara mereka. Mereka tinggal bersama, saling bertukar-tukar fikiran dan mencintai satu sama lain, namun memilih untuk tidak berkahwin, sehinggalah kedua-duanya meninggal dunia. Dalam hubungan mereka, mereka saling bertoleransi dalam berhubungan dengan orang lain. Hal ini tidak lepas daripada pemikiran mereka tentang keperluan seksual manusia.

MARTIN HEIDEGGER (1889-1976) & HANNAH ARENDT (1906-1975)

Kisah cinta Martin Heidegger, seorang filsuf Jerman berhaluan kanan-jauh (far-right) dengan Hannah Arendt (1906-1975), mungkin menjadi kisah cinta filsuf yang paling tidak biasa. Heidegger merupakan pensyarah kepada Arendt, ketika Arendt menuntut ilmu di Universiti Marburg. Ketika itu, Heidegger telahpun berkahwin dan menjadi salah seorang pensyarah yang kuat menyokong Parti Nazi pimpinan Adolf Hitler (1889-1945), sementara Arendt merupakan seorang mahasiswi yang amat mengagumi Heidegger lewat idea-idea falsafahnya.

Saat Hitler berkuasa di Jerman pada tahun 1933, Heidegger dilantik sebagai rektor di Universiti Freiburg, dan sering menyeru kepada penghapusan kaum Yahudi dan golongan minoriti di Jerman. Lebih malang lagi, Heidegger sama sekali tidak merasa belas kasihan terhadap Arendt yang berketurunan Yahudi. Ini membuatkan Arendt melarikan diri ke Amerika bersama keluarganya untuk menyelamatkan diri daripada kekejaman Nazi dan menetap di sana sehinggalah beliau meninggal dunia.

ISAAC NEWTON (1643-1727)

Isaac Newton adalah seorang saintis dan filsuf yang paling berpengaruh sepanjang masa. Pelbagai ilmu pengetahuan moden lahir daripada pemikiran-pemikirannya. Namun, di sebalik segala kehebatan beliau, Newton pernah memiliki sebuah kisah cinta yang tidak biasa pada masa mudanya. Ketika berusia 19 tahun, Newton jatuh cinta dengan seorang gadis bernama Anne Storer, anak tiri kepada pemilik farmasi yang juga merupakan tuan rumah sewa tempat Newton tinggal. Namun, kesibukan Newton dalam mencari ilmu pengetahuan membuatkan hubungannya dengan Storer putus di tengah jalan. Akhirnya, Newton memilih untuk membujang sehingga ke akhir hayatnya, sedang Storer berkahwin dengan orang lain.

Deretan filsuf di atas tercatat sebagai manusia-manusia hebat dalam sejarah dunia, namun dalam soal cinta dan perhubungan, terkadang kisah cinta mereka tidak sejajar dengan kehebatan mereka. Bagaimana dengan kisah cinta anda?

“Hope, in reality, is the most of all evils, because it prolongs the torments of man.” (Harapan, secara realitinya, adalah sesuatu yang paling jahat, kerana ia memanjangkan penderitaan manusia.)
Friedrich Nietzsche (1844–1900)

(Artikel tulisan saudara Adieka Amirul ini asalnya diterbitkan di Medium)

Komen