Akhirnya Mahiaddin Yassin meletakkan jawatan Perdana Menteri dan era kerajaan Perikatan Nasional (PN) berakhir. Pemerintahan PN bermula dari 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021, menjadikannya kerajaan terpendek memerintah berserta Mahiaddin yang mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah, 533 hari semuanya atau bersamaan 1 tahun, 5 bulan dan 15 hari.
Kini persoalan yang bermain di kalangan semua rakyat Malaysia adalah, siapakah yang bakal menggantikan Mahiaddin selaku Perdana Menteri dan blok parti manakah yang bakal membentuk kerajaan?
Dalam komposisi Dewan Rakyat kini, sukar untuk kita menduga siapa. Ini berikutan hampir tiada satu parti atau gabungan parti yang mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan. Parlimen kita pada masa ini terdiri dari 20 parti politik dengan tiada satu pun mempunyai majoriti. Dirangkum dalam gabungan parti sedia ada, iaitu PN, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pakatan Harapan (PH); masih juga jelas tiada mana-mana gabungan yang mampu mencapai majoriti mudah.
Lantaran apa yang perlu dilakukan ialah kesemua parti politik ini perlu mencari rakan sekutu bagi membentuk kerajaan yang baharu. Konsep kerajaan sebegini dinamakan Kerajaan Gabungan.
Idea Kerajaan Gabungan bukanlah sesuatu yang asing. Ia pernah dilakukan (walaupun dalam skala kecil) pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) melalui kerjasama PH dan parti WARISAN. Ia digunakan sekali lagi pasca Langkah Sheraton, apabila parti-parti terlibat membentuk kerajaan yang kemudiannya termuktamad dalam bentuk gabungan PN yang disokong secara confidence and supply oleh BN dan GPS.
Jelas, idea ini sudah pernah diguna pakai dan masih boleh dijadikan asas untuk membentu kerajaan baharu selepas ini.
Keperluan Kerajaan Gabungan sebenarnya jauh lebih utama kini, apabila mengambil kira bahawa Malaysia kini sedang berdepan krisis pandemik. Benar, ketiadaan majoriti mudah oleh mana-mana parti atau gabungan parti menjadi asas utama Kerajaan Gabungan perlu dilaksanakan. Tetapi keperluan berdepan pandemik menuntut perlunya pendekatan Whole-of-Nation. Pendekatan ini hanya boleh dicapai melalui konsep Kerajaan Gabungan yang melibatkan hampir semua parti politik yang berada di dalam Dewan Rakyat.
Kita perlu belajar dari apa yang pernah dilakukan di United Kingdom ketika Perang Dunia Ke-2. Winston Churchill selaku Perdana Menteri ketika itu mengambil pendekatan menubuhkan sebuah Kerajaan Gabungan yang melibatkan kesemua parti-parti politik dalam parlimen. Ia menyaksikan bagaimana parti Konservatif menerima kemasukan parti Buruh dan Liberal di dalam kerajaan serta melantik pemimpin-pemimpin parti itu ke jawatan menteri kabinet.
Perlunya Churchill menubuhkan Kerajaan Gabungan adalah bagi memastikan pendekatan Whole-of-Nation diguna pakai dalam berdepan perang. Ia memastikan United Kingdom mempunyai kerajaan yang bersatu teguh serta tidak digugat oleh perbezaan atau persaingan politik. Sebuah kerajaan yang bersatu teguh dapat menterjemahkan idea yang sama kepada rakyat untuk kekal bersatu dalam usaha perang.
Senario yang sama boleh diguna pakai dalam situasi Malaysia hari ini. Walau kita bukan dalam peperangan ketenteraan, tidak dinafikan kita kini sedang berperang dalam pandemik. Jauh lebih sukar, musuh yang kita perangi tidak boleh dilihat dengan mata kasar, bahkan pula ia menyerang tanpa prejudis tanpa mengira siapa kita, tua atau muda, dewasa atau anak-anak, miskin atau kaya dan sebagainya.
Bagaimana mungkin kita bisa menang dalam perang halimunan begini?
Jawapannya adalah kita perlu bersatu teguh. Dan bersatu teguh ini perlu dimulakan dari atas dengan memiliki satu Kerajaan Gabungan yang melibatkan semua parti politik sedia ada.
Konsep Kerajaan Gabungan ini selain melibatkan semua parti, ia juga perlu seimbang tanpa unsur pemusatan kuasa. Dalam erti kata lain andainya jawatan Perdana Menteri disandang wakil rakyat dari UMNO, maka Timbalan Perdana Menteri mungkin dari PKR. Begitu juga dengan jawatan menteri-menteri kanan seperti Kewangan, Pertahanan dan Dalam Negeri; yang mungkin boleh diisi oleh wakil rakyat dari DAP, WARISAN atau PAS sebagai contoh. Yang mustahak adalah memastikan kerajaan yang ada nanti adalah sebuah kerajaan yang menyatukan semua parti politik dan tidak terdedah kepada sebarang percubaan digugat oleh mana-mana gerakan politik.
Sejauh mana Kerajaan Gabungan ini perlu ada?
Selagi pandemik Covid-19 masih belum berjaya diatasi sepenuhnya dan PRU boleh diadakan dengan selamat. Seperti mana yang pernah berlaku di United Kingdom, Kerajaan Gabungan Churchill beroperasi sehingga tamat perang dan pilihan raya dapat diadakan.
Idea Kerajaan Gabungan ini walaupun nampak seperti luar biasa, tetapi ia adalah solusi terbaik buat masa kini. Ketiadaan majoriti dan krisis pandemik adalah dua faktor utama kenapa Kerajaan Gabungan sangat diperlukan dan kenapa ia perlu diberi perhatian utama oleh kesemua pihak yang terlibat demi membela nasib rakyat.
Erviana Beverley berasal dari Sabah dan menulis tentang hal-hal wanita yang tidak kurang pentingnya berbanding hal-hal lelaki.