Khutbah Aidilfitri: Antara Dua Darjat

SAUDARA SAUDARI,

Ada sebuah negeri. Ketika mula-mula tanahnya diancam wabak jahat, masyarakatnya menyambut dengan bilasan kopi Dalgona sambil menepuk-nepuk dada berbangga puja-pujian melambung dikirim negeri-negeri yang memerhati.

Kebanggaan ini terlalu besar ertinya dan sukar ditolak. Kalau ‘mat saleh’ pun sudah merendahkan ego ketuanannya untuk memuji, itu maksudnya apa? Sudah tentu, Negeri ini tinggi martabatnya.

Barangkali, inilah rahmahnya bila yang mengepalai Negeri adalah seorang abah mithali.

Walaupun beliau sendiri mengaku tidak dipilih rakyat, itu bukanlah masalah besar. Bagi rakyat kebanyakan, asalkan yang memerintah sebangsa dan seagama, tidak ada apa yang menghalang mereka untuk tunduk, ruku’ sujud dan syukur.

Bersama abah, barisan menteri cerdik dan pandai buat kelakar bekerja bersama. Pandai buat kelakar adalah kriteria yang sangat penting ya, saudari saudari. Lebih-lebih lagi disaat umat kengerian diusik wabak, kelakar para menteri sekurang-kurangnya dapat menghiburkan umat.

Negeri ini juga diberkahi dengan orang-orang kaya Negeri dan juga kaum kerabat kayangan. Mereka ini sudahlah kaya (sampai kiamat), baik pekerti dan akhlak, bersifat rendah diri, berjiwa rakyat dan paling penting, terpelihara auratnya.

Maka rakyatnya, walau sedikit risau, masih tetap tersenyum tenang. Di bawah payung pemerintahan, mereka tidak perlu membayar hutang bulanan rumah. Kebajikan semua, termasuklah sekecil kecil peniaga bernama Makcik Kiah dijamin langit dan bumi.

Saudara saudari,

Wabak jahat ini bukan sekadar mengancam kesihatan dan nyawa.

Setiap hari, wabak mencarik-carik kain yang menyembunyikan dosa. Bau-bauan selingkuh dan kecurangan terhidu busuk sekali. Ketidakadilan perlahan-lahan bangun melihatkan wajahnya.

Kita sedang bercakap tentang ratusan ribu yang kehilangan pekerjaan tertinggi dalam sejarah Negeri. Kita sedang menangisi situasi kemiskinan mega; yang dahulunya sudah miskin kini menjadi super miskin, yang dahulunya mencatur lauk pauk dalam pinggan kini berkongsi semangkuk megi kembang anak beranak. Kita sedang meresah keciciran pendidikan dikalangan anak-anak. Kita sedang menulusuri keadaan Negeri mereka yang porak peranda.

Jadi apa yang berdosanya? Di mana yang dicakapkan tadi tentang keselingkuhan, kecurangan dan ketidakadilan?

Saudara saudari,

Sebelum wabak menyergah, ketidakadilan ekonomi dan jurang kaya miskin sudah wujud bertahun lamanya di Negeri itu. Tetapi sayangnya ia dibungkam. Mata-mata umat dibutakan. Sehinggakan mereka merasakan kekayaan yang dimiliki kelas pemerintah, elit dan kayangan adalah kerana kerja keras.

Wajib kita akui, walau sebak rasanya, wabak, selain membawa bencana maha dahsyat, ia juga rahmat.

Ketika ada yang menyembunyikan air mata anaknya tidak dapat belajar kerana akses Internet dan keperluan seperti laptop tidak mampu ditunaikan, anak orang kaya senang belajar dalam bilik berhawa dingin. Ketika umat bertarung antara hidup dan mati, ada permaisuri yang sinis. Ketika si terdesak sesak nafas menerima kompaun beribu, elitis mengangkat nikah, berbulan madu, bertahnik menunjukkan betapa kebalnya mereka terhadap hukum Negeri.

Apa yang Abah, para menteri jenaka dan ahli politik lakukan saat situasi menjadi kelam kelibut?

Mereka kalut berebut kuasa. Mereka kalut menutupi kain yang terselakkan. Mereka kalut menuduh itu ini. Mereka kalut menggerakkan jentera meniupkan semangat ketuanan kaum, ketuanan agama untuk mengalih perhatian umat.

Dalam hura hara Negeri, Abah, para Menteri jenaka, ahli politik, elit kaya dan kerabat kayangan, rumah mereka masih tersergam besar. Makanan berlimpah ruah. Status mereka sentiasa terjamin dan kekayaan makin bertambah.

Apakah Negeri ini definasi keadilan buat kita? Bukankah ini perseteruan kelas? Beza antara dua darjat?

Saudara saudari,

Harus kita ambil ikhtibar daripada kisah ini sekarang. Jauhi pemikiran acuh tidak acuh dan gagal mengambil sikap.

Kita bukannya dengki dengan kekayaan kelas pemerintah, orang politik, elit kaya atau kerabat kayangan.

Tetapi kita wajib benci apabila kekayaan mereka memperhambakan umat kebanyakan. Kita marahkan jurang kaya miskin dan kehidupan dua darjat.

Sedarlah, apabila kekayaan sekelompok kecil mendominasi hidup kebanyakan, maka banyak mulut akan terbungkam, banyak mata dibutakan, banyak pemikiran dimandulkan dan akan keadilan hanya tinggal pada perkataan.

Kini, kita mesti menyiapkan matlamat; menyediakan peluang dan kesempatan buat semua tanpa batasan kaum, kewarganegaraan, agama dan gender adalah bahagian-bahagian melawan perang antara dua darjat.

Marilah saudara-saudari bersama kita mengambil tanggungjawab ini. Meminjam kata-kata arkitek revolusi Iran,

“Jiwa yang tercerahkan adalah orang yang sedar akan keadaan manusia pada waktunya dan latar belakang sejarah dan sosial, dan yang kesedarannya pasti dan semestinya memberinya rasa tanggungjawab sosial.”

Selamat berhari raya saudara saudari. Ingatlah, bahawasanya hari raya yang sebenar-benarnya adalah hari apabila kita sudah tercerahkan dan tidak ada apa lagi yang dapat memberhentikan gelojak kita dari mencipta dunia tanpa darjat.

Komen