Kewarganegaraan: Merdekakah Wanita Malaysia?

Semalam 28 Ogos 2022, ibu-ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dan mempunyai anak kelahiran luar negara telah hadir dalam satu perhimpunan Hari Merdeka di Taman Jaya, Petaling Jaya, Selangor.

Perhimpunan mereka adalah sebagai satu simbolik bagi menuntut hak mewariskan kewarganegaraan sama rata untuk wanita Malaysia setara dengan lelaki Malaysia. Perhimpunan ini adalah anjuran Family Frontiers Malaysia, sebuah badan NGO yang berjuang untuk hak kewarganegaraan sama rata.

Perlembagaan Malaysia pada masa ini menafikan hak mewariskan kewarganegaraan oleh wanita Malaysia kepada anaknya yang lahir di luar negara hasil perkahwinan dengan warga asing.

Perlembagaan Malaysia di bawah Perkara 14 (1) (b) menyebut bahawa tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan selepas Hari Malaysia layak mendapat kewarganegaraan automatik secara kuat kuasa undang-undang sekira bapanya adalah warganegara Malaysia pada masa kelahiran itu. Dengan menyebut istilah ‘bapa’ secara khusus, ia menafikan kuasa ‘ibu’ untuk mewariskan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Perkara ini telah menimbulkan menjejaskan jutaan wanita Malaysia yang menetap di luar negara dan berkahwin dengan warga asing. Tanpa kuasa untuk mewariskan kewargenegaraan, anak hasil perkahwinan mereka perlu dilahirkan di Malaysia atau jika tidak berdepan kesukaran memohon kewarganegaraan Malaysia.

Sedangkan pada masa yang sama, individu tertentu yang beribu-bapakan bukan warga Malaysia dan tidak dilahirkan di Malaysia dengan mudah memperolehi kerakyatan Malaysia. Antaranya beberapa pemain bola sepak yang diberikan kerakyatan atas alasan naturalisasi atau pun pelakon dan penyanyi yang sesetengahnya dibuat kerana faktor politik.

Peruntukan dalam undang-undang tertinggi Malaysia yang hanya membenarkan bapa warganegara Malaysia untuk memberikan kewarganegaraan automatik kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara adalah berbentuk diskriminasi gender. Ia menafikan hak yang sama untuk ibu warganegara Malaysia memberikan perkara yang sama kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Tentu sekali, Perkara 14 (1) (b) Perlembagaan Malaysia perlu dipinda agar bersifat lebih sejagat. Namun persoalan tentang siapa empunya kuasa yang berhak meminda perlembagaan ini terus menjadi pertikaian antara tiga cabang kerajaan: eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Pihak kehakiman baru-baru ini melalui keputusan Mahkamah Rayuan telah menyatakan bahawa Parlimen, sebagai cabang perundangan perlu meminda perlembagaan berkaitan isu kewarganegaraan ini. Namun usul untuk meminda perlembagaan pula perlu datang dari pihak eksekutif, yang kemudiannya berpendirian untuk tunggu dan lihat sehingga kes tuntutan dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Seperti bola, isu kewarganegaraan ini ditendang ke sana ke mari.

Hakikatnya, kesemua tiga cabang tersebut mempunyai peranan dalam meminda perlembagaan agar ia bersifat lebih sejagat dan tidak mengandungi sebarang unsur diskriminasi. Tindakan menolak tanggungjawab ke pihak lain akan hanya melengahkan usaha bagi membasmi unsur diskriminasi gender dalam Perlembagaan Malaysia, yang merupakan undang-undang terulung di negara ini.

Perlembagaan Malaysia di bawah Perkara 8(2) sendiri menyatakan:

“Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubung dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan atau apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.”

Maka jelaslah tidak sepatutnya wujud apa-apa bentuk diskriminasi termasuklah atas alasan gender atau jantina. Setiap wanita Malaysia berhak mempunya kuasa mewariskan kewarganegaraan mereka sama seperti mana-mana lelaki Malaysia.

Adalah sukar untuk dipercayai dengan negara semakin hampir meraikan hari kemerdekaan yang ke-65, kita masih lagi dibelenggu undang-undang bersifat patriarki yang menafikan hak setaraf untuk golongan wanita.

Negara ini telah pun mempunyai Timbalan Perdana Menteri wanita (eksekutif), Ketua Hakim Negara wanita (kehakiman) dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat wanita (perundangan). Jika ketiga-tiga cabang kerajaan boleh menerima wanita menduduki antara jawatan tertinggi dalam cabang tersebut, maka apa pula alasan untuk kita melihat wanita Malaysia berada pada kedudukan lebih rendah martabatnya berbanding lelaki Malaysia?

Apalah ertinya merdeka jika wanita Malaysia tidak diberikan hak yang setaraf?

Komen