Keterujaan Terhadap Sistem Amerika

Banyak orang Malaysia yang teruja dengan kemenangan Joe Biden dan Kamala Harris bagi jawatan Presiden dan Naib Presiden walaupun keputusan rasmi belum diumumkan. Malah tidak kurang juga yang teruja dengan sistem pilihan raya bagi memilih kerajaan di negara kuasa besar itu.

Satu kelebihan sistem Amerika Syarikat itu adalah pengehadan tempoh jawatan presiden hanya untuk dua penggal supaya tidaklah seseorang itu memerintah berpuluh-puluh tahun lamanya hingga perubahan sukar dilakukan.

Peraturan untuk itu sudah banyak dilakukan di negara-negara republik yang mana jawatan presiden adalah sekaligus ketua negara dan ketua kerajaan seperti Amerika. Di Indonesia umpamanya Presiden Jokowi hanya boleh menyandang jawatan itu selama dua penggal. Beliau tidak boleh bertanding pada pilihan raya presiden akan datang. Indonesia membuat peraturan ini selepas Reformasi iaitu apabila melihat pemerintahan Suharto yang begitu panjang telah menjadikan rejim itu korup.

Di Filipina, had tempoh adalah satu penggal saja. Tetapi tempoh penggal itu sampai enam tahun sedangkan kebanyakan negara adalah empat atau lima tahun. Peraturan ini dibuat selepas kejatuhan Presiden Ferdinand Marcos yang memerintah berdekad-dekad lamanya.

Tetapi bagi sistem Westminster rekaan Britain, Perdana Menteri boleh memegang jawatannya selagi memenangi pilihan raya. Sebab itu Mahathir Mohamad boleh memerintah selama 22 tahun. Beliau memerintah pada zaman yang sama dengan Suharto dan Marcos serta banyak pemimpin lain yang turut memerintah dengan lama pada zaman itu.

Kalaulah ada had tempoh memerintah, maka pada tahun 1990, Mahathir perlu undur diri. Maka yang akan menjadi Perdana Menteri adalah sesiapa yang dipilih UMNO ketika itu, sama ada Tengku Razaleigh Hamzah, Musa Hitam atau Ghafar Baba.

Dalam manifesto Pakatan Harapan, telah dijanjikan bahawa tempoh pemegang jawatan Perdana Menteri adalah dua penggal. Mahathir pun setuju. Draf peraturan itu telah dibuat tetapi ia tidak sempat masuk ke Parlimen kerana kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Satu lagi ciri demokrasi Amerika Syarikat yang banyak rakyat Malaysia teruja ialah ketua kerajaan dipilih terus oleh pengundi. Di Amerika Syarikat, presidennya adalah ketua negara dan ketua kerajaan. Jadi para pengundi memilih secara langsung ketua negara dan ketua kerajaan. Sebagai ketua kerajaan, presiden akan melantik kabinet. Paling kanan ialah Setiausaha Negara. Jawatan itu seharusnya menjadikannya ketua kabinet iaitu seperti Perdana Menteri. Tetapi di Amerika, ia lebih banyak berperanan sebagai Menteri Luar kerana soal dasar luar amat penting bagi kuasa besar itu.

Hendak mengatakan pengundi Amerika Syarikat boleh memilih secara langsung presiden mereka adalah kurang tepat. Ini kerana mereka mempunyai sistem kiraan undi di peringkat negeri yang menghantar mata undi ke pusat dan Kolej Elektoral yang akhirnya memuktamadkan siapa menjadi presiden. Calon yang memperoleh undi popular terbanyak tidak semestinya menjadi presiden.

Di Indonesia dan Filipina, pengundi secara langsung turut memilih presiden mereka. Tetapi mereka juga mempunyai sistem tertentu bagi memuktamadkan jawatan itu. Di Indonesia, Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) akan mengesahkan calon yang menang hasil daripada pilihan raya presiden. Selaku bekas tanah jajahannya, Filipina mengikut sistem Amerika Syarikat.

Di dunia, sistem republik ada dua jenis. Pertama, presiden yang menjadi ketua negara dan ketua kerajaan seperti Amerika, Indonesia dan Filipina. Kedua adalah presiden hanya menjadi ketua negara dan tidak ketua kerajaan seperti India dan Singapura.

Kedua-dua negara itu adalah republik yang mempunyai presiden. Tetapi presiden mereka hanyalah sebagai ketua negara tetapi bukan ketua kerajaan. Ketua kerajaan adalah Perdana Menteri yang dipilih rakyat melalui sistem parlimen Westminster. Sementara presiden dipilih oleh Parlimen. Jadi sistem di India dan Singapura itu, walaupun republik tetapi seperti Raja Berperlembagaan yang diamalkan di United Kingdom, Malaysia dan Jepun. Tentunya dalam sistem raja berperlembagaan, raja yang menjadi ketua negara adalah dari keluarga monarki turun temurun. Cuma Malaysia mempunyai Majlis Raja-raja yang memilih Yang di-Pertuan Agong daripada sembilan sultan, raja dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Perlembagaan Singapura mempunyai susur-galur daripada Perlembagaan Malaysia. Ketika dalam Malaysia, ketua negerinya dipanggil Yang di-Pertua Negara. Setelah berpisah daripada Malaysia, ia dipanggil Presiden. Perlembagaan Malaysia mempunyai susur galur daripada Perlembagaan India. Ketika India baru mencapai kemerdekaan pada tahun 1947, ia belum menjadi republik. Mereka dipanggil dominion. Ini kerana ketua negara mereka ialah Raja Britain, dan wakil baginda di India ialah Gabenor Jeneral seperti yang masih diamalkan oleh Australia dan New Zealand.

Anggota-anggota Komanwel ini mengamalkan sistem Westminster British. Rakyat memilih Perdana Menteri selaku ketua kerajaan tetapi secara tidak langsung. Pengundi hanya boleh memilih Ahli Parlimen untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat. Wakil rakyat itulah yang akan memilih Perdana Menteri. Selalunya dari parti yang sama atau sekutunya. Paling hampir yang boleh pengundi memilih ialah menyokong calon yang sama parti dengan ketuanya.

Sebagai contoh di Malaysia dalam pilihan raya umum ke-14 lalu, calon Perdana Menteri yang dikemukakan oleh pihak-pihak bertanding ialah Najib Razak dari Barisan Nasional dan Mahathir Mohamad dari Pakatan Harapan. Pengundi di seluruh negara tidak boleh mengundi mereka. Hanya pengundi Pekan berpeluang mengundi Najib sementara hanya pengundi Langkawi dapat mengundi Mahathir. Paling hampir yang boleh mereka lakukan ialah mengundi calon BN dan PH supaya calon-calon Perdana Menteri pilihan mereka akan dilantik.

Kelemahan sistem ini ialah bila-bila masa saja ahli-ahli parlimen boleh melompat dan tinggalkan Perdana Menteri yang dipilih rakyat. Sebab itu rakyat Malaysia yang memilih Mahathir sebagai Perdana Menteri tiba-tiba mendapati Muhyiddin Yassin sebagai ketua kerajaan ketika penggal belum berakhir.

Perkara ini boleh juga berlaku di negara-negara lain yang mengamalkan sistem Westminister. Tetapi kebanyakan masa ia tidak berlaku kerana integriti ahli-ahli parlimen menghormati mandat rakyat dan kesetiaan pada parti.

Ada sebuah negara yang mengikut sistem Westminster tetapi mereka melakukan inovasi di mana bukan saja presiden mereka dipilih langsung oleh pengundi tetapi juga perdana menteri. Negara itu ialah Israel.

Di negara itu, presidennya adalah ketua negara yang tiada kuasa eksekutif seperti India dan Singapura. Ketua eksekutif atau kerajaan disandang oleh Perdana Menteri.

Amerika Syarikat juga asalnya mengambil sistem parlimen British ketika mula menggubal perlembagaannya tetapi ia tidak mengambil kaedah Westminster. Perlembagaan British tidak bertulis. Pengasas Amerika menggubal suatu perlembagaan baharu yang berlainan daripada British dengan turut mengambil contoh daripada negara-negara Eropah.

Ketika itu, Amerika Syarikat hanya mempunyai 13 negeri. Apabila ia berkembang ke barat meliputi bahagian selatan benua Amerika Utara, perlembagaannya berubah kepada berbentuk yang sekarang ini. Kehadiran perdagangan hamba turut mempengaruhi perlembagaan itu.

Setiap negara mempunyai sejarah dan latar belakang yang mencorak perlembagaan mereka untuk membentuk sistem pilihan raya masing-masing. Tetapi perubahan perlu dilakukan dari masa ke masa untuk memberi keadilan supaya mandat rakyat untuk pemerintahan adalah lebih murni selaras dengan semangat demokrasi.

Komen