Hari ini 10 Oktober adalah Hari Kesihatan Mental Sedunia.
Hari Kesihatan Mental Sedunia pertama kali diraikan pada 10 Oktober 1992 atas inisiatif Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Richard Hunter. Ia mendapat sokongan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam usaha mewujudkan pemahaman global terhadap isu kesihatan mental, antaranya pendidikan, kesedaran dan advokasi dalam melawan stigma sosial yang acapkali dikaitkan dengan kesihatan mental.
Stigma sosial sememangnya satu halangan besar dalam memupuk masyarakat untuk melihat kesihatan mental sebagai lebih dari kesimpulan mudah iaitu ‘gila’. Meletakkan label ‘gila’ terhadap individu akan hanya menutup peluang untuk pesakit mental mendapatkan perubatan dan sokongan yang perlu untuk pulih dari masalah kesihatan mental mereka.
Kita haru menyedari bahawa masalah kesihatan mental boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ada banyak faktor yang menjerumus kepada masalah kesihatan mental; biologikal seperti genetik, pengalaman hidup melibatkan trauma atau penderaan dan juga sejarah keluarga berkait masalah mental. Ia boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur, dari kanak-kanak hingga remaja dan dewasa. Masalah mental menjejaskan pemikiran, perasaan dan kelakuan individu yang terlibat.
Isu kesihatan mental menjadi lebih kritikal sejak tercetusnya pandemik Covid-19. Tekanan yang melampau, situasi terpencil dari sokongan sosial dalam bentuk keluarga atau rakan dan kerisauan terhadap ancaman Covid-19 menjerumus ramai individu ke ambang masalah kesihatan mental. Di Malaysia sahaja, kes kesihatan mental dilaporkan meningkat sejak bermulanya pandemik Covid-19 dan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kemudian membawa kepada permasalahan ekonomi dan sosial kebanyakan rakyat Malaysia.
Tidak menghairankan, impak dari masalah mental ini dapat dilihat dalam peningkatan kes bunuh diri pada tahun 2020 yang berjumlah 631 kes berbanding hanya 609 kes pada tahun sebelumnya. Lebih merisaukan, untuk tahun 2021 sahaja sebanyak 638 kes bunuh diri telah dilaporkan sehingga Julai 2021. Terjemahan dari peningkatan kes bunuh diri yang selari dengan tempoh pandemik cukup untuk membuktikan bahawa kesihatan mental menjadi satu isu pokok yang kritikal kesan dari Covid-19.
Oleh itu adalah penting untuk kita melihat masalah kesihatan mental bukan sekadar kesan sampingan akibat Covid-19, tetapi sebagai satu isu besar yang boleh menjejaskan sebahagian besar rakyat Malaysia.
Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, usaha-usaha perlu dibuat untuk memupuk kesedaran berkenaan kesihatan mental dan pada masa yang sama menggandakan sokongan psikososial dan penjagaan mental dalam waktu pandemik.
Masyarakat perlu dididik tentang langkah-langkah asas dalam mengatasi masalah mental khususnya yang berkaitan dengan stres atau tekanan berkait Covid-19. Antara tindakan yang boleh diambil ialah dengan langkah positif seperti menjauhkan diri dari menonton atau membaca hal-hal berkaitan pandemik, menjaga tubuh badan seperti melakukan aktiviti senaman, pemakanan sihat serta rehat dan tidur yang cukup, melakukan sesuatu yang menyeronokkan atau berlainan dari rutin harian dan sentiasalah berhubungan dengan keluarga, rakan atau mendapatkan sokongan dari organisasi komuniti atau keagamaan.
Kerajaan juga perlu melipat gandakan usaha untuk mewujudkan sokongan kesihatan mental dan psikososial yang tersedia dan mudah diakses oleh orang awam. Pertambahan pegawai psikologi kaunseling di semua peringkat pusat kesihatan dan latihan kepada first responders seperti unit paramedik, polis atau bomba dalam berurusan dengan mereka yang mengalami masalah kesihatan mental adalah penting bagi memenuhi peningkatan kes masalah mental dan bunuh diri. Pada masa sama, usaha perlu dibuat bagi dekriminalisasi cubaan bunuh diri dengan memansuhkan Sekysen 309 di bawah Kanun Keseksaan yang menyabitkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah.
Masyarakat juga memainkan peranan yang besar dalam membantu mengatasi masalah kesihatan mental khususnya dalam lingkungan masing-masing. Sentiasa peka dan ambil tahu keadaan semasa ahli keluarga, jiran dan rakan kita. Perhatikan tanda-tanda awal masalah kesihatan mental seperti kemurungan, perubahan sikap atau tingkah laku serta perasaan putus asa atau keinginan bunuh diri yang boleh dikesan awal jika kita cakna. Luang masa untuk berkomunikasi dan dengari permasalahan mereka, tunjukkan sikap empati dan jangan memperlekehkan individu yang berdepan masalah kesihatan mental. Apa yang penting, berikan sokongan sosial dan galakkan individu tersebut untuk mendapatkan bantuan profesional bagi mengatasi masalah kesihatan mental mereka.
Perlu kita sedari walaupun ancaman Covid-19 adalah jauh lebih besar dan merbahaya, tetapi pada masa sama perhatian juga perlu diberikan dalam masalah kesihatan mental yang meningkat sepanjang pandemik ini.
Erviana Beverley berasal dari Sabah dan menulis tentang hal-hal wanita yang tidak kurang pentingnya berbanding hal-hal lelaki.