Beberapa hari lalu kecoh di media sosial apabila berita mengenai penyahwartaan senyap-senyap Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) oleh kerajaan negeri Selangor terdedah kepada umum.
Penyahwartaan hutan tersebut, yang merupakan hutan paya gambut yang sangat jarang ditemui sampai ke pengetahuan umum selepas pendedahan dibuat oleh Exco Pelancongan Dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian dalam sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri Selangor yang mana beliau diasak bukan sahaja dari barisan pembangkang tetapi juga oleh rakan politik sendiri dalam gagasan Pakatan Harapan.
Dalam sesi sama juga, kerajaan mendapat kecaman teruk kerana keputusan untuk menyahwartakan status hutan simpan berkenaan membelakangi keputusan yang telah dibuat secara konsensus di dewan sama pada November tahun lalu yang memutuskan agar kerajaan membatalkan rancangan penyahwartaan tersebut. Asas kepada konsensus sebelum ini adalah bagi tujuan menjaga kelestarian hutan berkenaan di samping melindungi ekosistem dan biodiversiti yang terdapat di dalamnya.
Telah ternyata juga bahawa tindakan kerajaan tersebut bukan sahaja mendapat tentangan dari rakyat jelata dan ahli politik pembangkang (termasuk PAS), tetapi juga dari kalangan ahli parti sendiri yang berkongsi talian hayat politik yang sama.
Sebagai rakyat, sudah tentu saya berasa gembira kerana mereka memilih untuk melawan kebobrokan yang ditampilkan pentadbiran kerajaan negeri. Bagi saya, ini lebih baik berbanding sebahagian ahli politik yang sekadar jaguh di media sosial tapi pengecut di dewan perbahasan.
Dalam minggu yang sama juga, seusai mendengar berita tersebut, saya menghubungi kawan saya, yang kebetulan juga merupakan seorang pengusaha pertanian. Oleh kerana bidang alam sekitar dan pertanian sangat berkait rapat antara satu sama lain, perbincangan dengan beliau bagi saya adalah sesuatu yang wajar dilakukan.
Di kesempatan tersebut, kami telah bercerita panjang pasal apa, kenapa dan bagaimana keputusan tersebut diambil. Sebagai rakyat yang selalunya bersikap kritikal terhadap sebarang tindakan kerajaan, saya berminat hendak tahu apa yang berlaku di sebalik setiap penggubalan polisi dan undang-undang oleh kerajaan, misalnya siapa, kelompok mana atau bagaimana mereka meyakinkan kerajaan dan seterusnya mendapat manfaat dari keputusan yang diambil tersebut.
Walaupun ahli politik akan bermatian-matian cuba meyakinkan kita bahawa setiap keputusan politik diambil demi kepentingan rakyat, namun, seperti mana biasa, faktanya tidak sentiasa begitu. Kita tahu alasan tersebut hanyalah retorik untuk mengaburi mata rakyat dari perihal yang sebenar.
Seperti kes penyahwartaan hutan kali ini, penerima manfaatnya adalah syarikat swasta yang bernama Gabungan Indah Sdn Bhd, sebuah anak syarikat 100% milik syarikat hartanah komersial, Perdana Parkcity. Kalau syarikat swasta, memang wajarlah untuk kita berasa skeptikal kerana syarikat swasta tidak ada tanggungjawab apa pun dalam menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat, baik secara moral mahupun secara perundangan. Yang mereka wajib lakukan adalah menjana keuntungan syarikat bagi mengembalikan keuntungan berlipat ganda kepada pemodal dan pemegang saham.
Berbalik kepada perbualan antara saya dengan rakan petani tadi, kami lanjutkan perbualan tentang topik apa dan bagaimana aktiviti penebangan hutan akan menyebabkan terjadinya masalah lebih besar seperti perubahan iklim dan pemanasan global yang kemudiannya akan memberi kesan kepada aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan yang dijalankan.
Tambah beliau lagi, sekiranya tiada tindakan drastik diambil khususnya oleh pihak kerajaan untuk mengatasi masalah-masalah tersebut yang semakin meruncing kebelakangan ini, terdapat besar kemungkinan rakyat kita nanti akan mengalami masalah kekurangan makanan yang seterusnya berisiko menyebabkan rakyat mati kebuluran.
Bagi saya, apa yang diperkatakan oleh beliau sebenarnya sangat berasas. Pengurangan hasil pengeluaran makanan domestik yang disebabkan oleh masalah berkaitan alam sekitar, ditambah lagi oleh tahap keselamatan makanan negara yang rendah, sudah tentu akan menyebabkan masalah lain seperti penurunan pendapatan golongan petani, peningkatan kos dan harga makanan serta ketidakmampuan rakyat untuk mendapatkan makanan berkualiti.
Seperti mana yang dijelaskan dalam laporan yang diterbitkan bersama oleh Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia, yang bertajuk Climate Risk Country Profile: Malaysia (2021), musim kemarau yang panjang dan kejadian banjir yang kerap yang merupakan kesan rentetan daripada masalah perubahan iklim dan pemanasan global telah memberi kesan buruk kepada hasil pengeluaran padi, getah, kelapa sawit dan koko. Laporan juga menyebut bahawa bidang pertanian lain seperti penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serta bidang penternakan seperti penternakan ayam dan ikan juga tidak terlepas dari terkena tempias buruknya.
Penurunan hasil pertanian dan komoditi tersebut bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada ekonomi negara, tetapi juga kepada pengusaha dalam bidang-bidang berkenaan yang secara dasarnya adalah terdiri daripada masyarakat kelas bawahan. Secara ringkasnya, musim kemarau yang panjang dan kejadian banjir yang kerap berlaku akan menyebabkan petani dan penternak putus punca pendapatan, menjadi semakin miskin dan keluarga mereka terpaksa mengikat perut untuk meneruskan hidup.
Apabila hasil pengeluaran produk makanan berkurang, bekalan bahan makanan di pasaran juga akan turut berkurang. Keadaan ini akan menyebabkan harga barang makanan menjadi lebih mahal sehingga ke tahap di luar kemampuan rakyat yang berpendapatan rendah. Jadi, seperti para petani dan penternak yang terpaksa ikat perut akibat penurunan pendapatan, rakyat jelata lain yang kurang berkemampuan turut terpaksa menjalani kehidupan seharian sambil menahan rasa lapar mereka.
Laporan ini juga disokong oleh beberapa laporan dan kajian lain sebelumnya. Misalnya, berdasarkan satu kajian bersama oleh beberapa penyelidik Universiti Kebangsaan Singapura dan Universiti Teknologi Malaysia yang bertajuk Climate Change Impacts Under CIMP5 RCP Scenarios on Water Resources of the Kelantan River Basin (2014), mereka juga telah mendapati bahawa kemarau panjang pada tahun berkenaan telah menyebabkan kerugian sebanyak 22 juta Dolar AS kepada sejumlah 8,000 orang petani kecil yang terlibat dalam industri penanaman padi di kawasan berdekatan.
Dalam pada itu, memetik laporan Berita Harian yang diterbitkan pada tahun 2015, Menteri Pertanian Dan Asas Tani pada ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri, yang sekarang ini merupakan Perdana Menteri ke-9 menyatakan bahawa kejadian banjir besar yang melanda negara kita pada tahun sebelumnya telah menyebabkan sektor pertanian mengalami kerugian sebanyak hampir RM300 juta.
Menurut beliau lagi, kerugian tersebut yang memberi kesan kepada lebih kurang 15,000 petani dan penternak adalah meliputi pelbagai aspek termasuk kerugian hasil pertanian, infrastruktur perladangan dan penternakan serta aset-aset seperti jentera dan mesin di empat buah negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perak.
Segala kerugian yang terpaksa ditanggung sekiranya masalah kemarau dan banjir berlaku pada skala besar lagi pada masa hadapan dijangka akan terus mengancam usaha para petani dan penternak untuk terus bekerja keras bagi memastikan setiap rakyat di negara ini memiliki akses yang mencukupi dan berpatutan kepada sumber makanan yang berkhasiat dan berkualiti.
Bagi meneruskan usaha yang sedia ada, para petani dan penternak terpaksa melabur lebih banyak dalam sistem simpanan air dan pengairan serta teknologi penghawa dingin bagi kegunaan haiwan ternakan. Ini sudah tentu akan menambahkan beban kepada mereka, khususnya golongan petani dan penternak yang berpendapatan rendah.
Apa yang menyedihkan adalah di kala mereka berdepan cabaran seperti masalah eksploitasi orang tengah, kekurangan infrastruktur teknikal, selain polisi pertanian dan keselamatan makanan yang tidak komprehensif, cabaran perubahan iklim dan pemanasan global seolah-olah paku terakhir di keranda mereka yang sedang hidup nyawa-nyawa ikan.
Justeru itu, sebagai pihak bertanggungjawab yang memiliki kuasa, baik dari segi perundangan dan pentadbiran, kerajaan harus bertindak tegas dalam memastikan isu-isu seperti penerokaan hutan, penebangan pokok serta pencerobohan alam sekitar tidak berlaku lagi.
Agenda seperti penjagaan alam sekitar, aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan, serta penggubalan akta dan polisi yang progresif bagi membendung kesan perubahan iklim dan pemanasan global harus menjadi keutamaan. Sudah tiba masanya bagi ahli politik untuk berhenti bersandiwara dan bersikap hipokrit tentang tanggungjawab politik mereka. Cukup-cukuplah mengenyangkan perut golongan kapitalis sehingga menyebabkan rakyat marhaen mati kebuluran.
Archigós Nikólas berasal dari Sarawak dan minat menulis mengenai topik kepimpinan, keadilan dan kebebasan. Beliau percaya setiap rakyat berhak untuk mendapat akses yang lebih baik kepada informasi kritikal yang selama ini hanya berlegar di kalangan elit sahaja.