Kerajaan Ekstremis Sayap Kanan: Konflik Israel – Palestin Semakin Buntu

Istilah terrorisme sayap kanan meskipun satu fenomena yang semakin popular dalam politik di kebanyakan negara demokratik, namun pemimpin seperti Donald Trump dan Benjamin Netanyahu mustahil dan semestinya belum bersedia untuk dilabel sebagai pengganas atau ketua kelompok ekstremis. Perspektif masyarakat dunia malah mungkin masih bertanggapan bahawa pengganas haruslah berjambang, bercelak dan berasal dari negara-negara pariah atau “undemocratic” dan “uncivilized nation”.

Namun ternyata silap, kerana fenomena ekstremisme sayap kanan yang mencanak di Israel, Amerika Syarikat, negara Eropah Barat dan Asia sendiri berlaku hasil daripada proses pendemokrasian dan pilihan rakyat.

Israel sebagai contoh yang paling jelas pada tahun 2022 telah berjaya membentuk pakatan kerajaan ultra-nasionalis yang pro pencerobohan dan anti-Arab. Benjamin Netanyahu sebelum ini telah menjawat posisi sebagai Perdana Menteri Israel paling lama dan beliau sekali lagi berjaya kembali ke pejabat dengan membentuk gabungan bersama parti ultra-zionisme selepas pilihanraya dijalankan pada 1 November 2022 yang lalu. Gabungan kerajaan baru itu terdiri daripada parti ultra-orthodok Shas, United Torah Judaism, sayap kanan jauh Otzma Yehudit, Religious Zionist Party dan Noam. Malah dalam kabinet yang dibentuk, individu seperti Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich yang dikenali kerana kerap menghamburkan kenyataan berbaur kebencian terhadap Arab-Palestin sehingga Ben Gvir pernah didakwa pada tahun 2007 atas hasutan berbaur rasisme, kini telah diberikan jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran iaitu sebagai menteri pertahanan dan kewangan. Dengan gabungan parti-parti ini menjawat jawatan dalam kabinet dan membentuk majoriti dalam Knesset (parlimen Israel), justeru kuasa telah diberikan secara sah untuk mereka menggubal undang-undang dan dasar sesuai kehendak mereka.

Penulis melihat kerajaan baru di Israel ini akan mengeruhkan konflik Israel-Palestin terutamanya terhadap penduduk Palestin minoriti di Tebing Barat yang berhadapan ancaman keganasan ekstrem seperti pembersihan etnik, pengusiran dan “mob attack” yang dijalankan oleh golongan peneroka atau settler secara berleluasa di perkampungan penduduk Palestin dan dalam masa yang sama dijaga dan sengaja dibiarkan oleh penguatkuasa. Penulis sendiri menyangka semasa kepimpinan Naftali Bennet dan Yair Lapid pada 2021-2022 akan menjadi tempoh yang paling kucar-kacir dengan serangan berterusan ke atas penduduk Palestin di perkampungan Ramallah, pengusiran atau pencerobohan dan diikuti serangan ratusan roket dari Hamas. Tahun lalu sahaja, sebanyak 660 serangan telah dilakukan warga Israel terhadap penduduk Palestin, namun peratus pendakwaan terhadap pesalah adalah rendah.

Menurut NGO Yesh Din, lebih 80% daripada kes keganasan ditutup dan dibela oleh institusi tertentu dalam pentadbiran setiap tahun. Namun begitu, semenjak pentadbiran diambil alih oleh golongan pro-peneroka, beberapa siri serangan keganasan semakin meningkat. Seawal tahun 2023 lagi misalnya serangan peneroka di perkampungan Huwara telah membunuh dua orang rakyat Palestin, membakar rumah-rumah, kereta dan mencederakan hampir 400 komuniti Arab selepas berang dengan serangan individu Palestin yang membunuh warga Israel.

Keganasaan yang dilakukan golongan ekstremis Yahudi secara terang-terangan mirip filem The Purge dibiarkan oleh pihak berkuasa dan para tentera malah dilihat meraikan keganasan tersebut dengan bersama-sama menari semasa kejadian. Barisan kepimpinan kerajaan juga tidak menunjukkan sebarang keseriusan dalam isu ini malah mempamerkan sokongan dengan kenyataan yang berbaur perkauman, lalu disusuli oleh tindakan mahkamah yang memutuskan dua pesalah diringankan hukuman kepada penjara kurang tiga bulan sahaja untuk tindakan keganasan yang telah dilakukan. Hal ini mungkin tidaklah mengejutkan melihatkan kepada kecenderungan kerajaan baharu.

Awal tahun ini sahaja, Knesset telah meluluskan lagi pindaan undang-undang yang menjurus kepada pembentukan kerajaan autokratik dan fasis. Kuasa mahkamah agung dihadkan dan malah Knesset diberikan kuasa “override” terhadap sebarang keputusan hakim. Kedudukan penduduk minoriti Arab sengaja disisihkan melalui undang-undang baru yang melarang perkahwinan di antara warga Tebing Barat dan Gaza dengan rakyat Israel serta Knesset memiliki kuasa untuk membuang kerakyatan warga Palestin di Israel yang menerima sebarang bantuan kewangan daripada Palestine Authority (PA) sebagai langkah menghapuskan kelompok pengganas Palestin katanya di wilayah tersebut.

Tidak cukup itu, inisiatif tentera untuk membanteras terorisme dalam kalangan warga Palestin dilaksanakan melalui kempen “Break The Wave” pada awal Januari 2023 dengan menceroboh masuk ke Kem Jenin iaitu sebuah kem pelarian yang menempatkan warga Palestin yang dihalau ketika perang Arab-Israel 1948 berlaku. Kem yang menempatkan sekitar 11,674 pelarian ini dilindungi oleh sekumpulan penduduk tempatan yang bersenjata iaitu Jenin Brigade yang menjaga keselamatan penduduk dari serangan tentera Israel kerana mereka melihat kegagalan Palestinian Authority untuk melindungi rakyat Palestin. Serangan terkini bersifat lebih agresif sebagai alasan kem tersebut menjadi markas pengganas Palestin. Hasil serangan hendap tentera Israel, pertempuran yang berlaku telah mengorbankan 10 individu termasuklah rakyat awam Palestin. Adakah tindakan pihak berkuasa ini masih wajar dinyatakan sebagai langkah membanteras keganasan atau logiknya mereka sendiri merupakan kelompok ekstrem dan pengganas yang bertali leher?

Respon Negara Dunia Dan Dilema Two States Solution

Selepas peristiwa srangan di Huwara, Smotrich yang merupakan menteri kewangan Israel mengeluarkan kenyataan kepada media yang menunjukkan sokongannya terhadap serangan tersebut sehingga beliau kemudiannya dikecam oleh Amerika Syarikat, United Kingdoom dan negara-negara Arab yang terlibat dalam perjanjian Abraham Accord. Namun, Presiden Joe Biden kemudiannya menekankan bahawa Amerika Syarikat akan tetap terus menyokong Israel sepenuhnya dan hubungan kedua negara tersebut berada pada tahap optimum di bawah kepimpinannya. Justeru tindakan ini menimbulkan keraguan tentang sejauhmana kecaman tersebut dapat memberi peringatan kepada Israel atau ia hanya mengukuhkan kekebalan (impunity) rejim tersebut dari tindakan mana-mana negara?

Dalam konflik lebih 70 tahun antara Israel dan Palestin terdapat hanya dua solusi yang berkemungkinan mampu dicapai iaitu “One State Solution” dan “Two State Solution”. One State Solution adalah penggabungan kerajaan Israel dan Palestin untuk membentuk satu negara demokratik yang memberi hak sama rata kepada kaum Yahudi dan Arab termasuklah dalam kuasa politik. Namun idea ini hanya disokong sebahagian kumpulan berhaluan kiri manakala selebihnya menentang kerana ia dilihat akan menafikan hak salah satu kaum dan mencairkan identiti kaum masing-masing. Idea Two State Solution pula yang diangkat oleh majoriti negara dunia termasuk Malaysia melibatkan pembentukan dua kerajaan berautoriti secara berasingan iaitu kerajaan Israel dan Palestin yang dipisahkan dengan sempadan wilayah yang jelas. Justeru untuk mencapai solusi tersebut, pelbagai faktor yang mempengaruhi usaha ini termasuklah tindakan kerajaan Israel, kekuatan kerajaan Palestin dan respon masyarakat global dalam mengekang perlanggaran oleh salah satu institusi tersebut. Namun kemajuan ke arah usaha ini dilihat tidak memadai dan semakin mustahil untuk dicapai disebabkan kegagalan aktor-aktor terlibat bertindak sehingga ketidakseimbngan kekuatan atau jurang di antara kerajaan Israel-Palestin dalam aspek ketenteraan, keselamatan, politik, ekonomi dan pelbagai lagi adalah sangat tinggi.

Dalam berhadapan keganasan yang dilakukan oleh kerajaan Israel, negara dunia bersikap tidak acuh dalam menekan dan memberi amaran. Hal ini dilihat jelas sekiranya dibandingkan melalui tindakan kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang mengugut akan menghentikan pelaburannya di Gaza sekiranya Hamas tidak berhenti menyerang Israel dan begitu juga Mesir yang akan meningkatkan sekatan perairan terhadap Gaza atas tindakan Hamas. Sebaliknya apabila serangan Israel di Huwara berlaku, negara-negara Arab hanya mengecam kenyataan berbaur kebencian oleh menterinya dan tidak menyampaikan kebimbangan tentang “systemic discrmination” atau pembersihan etnik yang sedang dilakukan oleh penguatkuasa Israel.

Amerika syarikat pula di bawah kepimpinan Joe Biden, meskipun hadir dari parti progresif seperti Demokrat, keputusannya dalam dasar luar terhadap Israel dilihat tidak berubah daripada mantan presiden Donald Trump. Malah beliau cuba meneruskan dan memberi lebih sokongan terhadap rejim tersebut. Sejak 2020, Biden tidak berniat memindahkan semula kedutaan AS di Jerussalem yang jelas melanggarkan persetujuan dalam PBB, kepimpinannya terus mengiktiraf Golan Height di Syria sebagai milik Israel dan menambah dana sebanyak $1 billion kepada Israel daripada $3.8 billion jumlah dana tahunan yang telah diberi. Manakala, penambahbaikan yang dilakukan bagi pihak warga Palestin hanya dengan memberi $300 juta bantuan untuk operasi hospital di Tebing Barat.

Hal ini menjadikan Israel sebagai penerima dana terbesar AS iatu ⅔ daripada keseluruhan dana luar AS dan Presiden Biden malah menolak cadangan supaya bantuan AS kepada Israel diberikan secara bersyarat agar AS tidak terpalit sebagai pendukung tegar kerajaan “apartheid” tersebut. Keadaan berat sebelah ini yang memberi kelebihan kepada Israel untuk memiliki kekuatan ketenteraan iaitu Iron Dome dan senjata nuklearnya, mempunyai ekonomi yang lebih kukuh kerana tiada sebarang sekatan ekonomi dikenakan ke atasnya meskipun turut terlibat dengan tindakan keganasan. Keistimewaan tidak berbelah bagi terhadap Israel telah mewujudkan pertumbuhan dua negara yang tidak seimbang sehingga memberi lebih ruang untuk Israel bertindak agresif dengan dasar yang pro-penjajahan di peringkat domestik dan termasuklah menyerang negara jiran seperti Syria.

Kerajaan Palestin pula yang terpecah di dua wilayah iaitu Gaza dan Tebing Barat di bawah kepimpinan Hamas dan Palestine Libertation Organisation (PLO) masih tidak berjaya membentuk kestabilan politik sebagai sebuah parti pemerintah yang diiktiraf. Hamas diperingkat global masih dilihat sebagai pengganas yang mengupah tenteranya untuk membunuh warga Yahudi manakala PLO menerima tentangan dalaman kerana kelemahannya dalam berhadapan konfrontasi tentera dan peneroka Israel. Kelemahan ini juga yang telah memecahkan kestabilan politik negara Palestin sehingga lebih banyak kumpulan-kumpulan belia baharu yang radikal ditubuhkan untuk berhadapan pihak tentera Israel khususnya di Nablus. Ketidakwujudan kerajaan yang stabil dan sah di pihak Palestin ketika kerajaan baharu semakin radikal dalam menekan warga Palestin dibimbangi akan memberi laluan kepada one-state solution atau lebih mudah difahami sebagai penjajahan penuh Israel ke atas wilayah Palestin.

(Artikel ini adalah hasil tulisan saudari Sharifah Umairah dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Komen