BAGAIMANA keluarga Pak Jalil menyambut tetamu bertaraf VIP di majlis pernikahan anak perempuannya?
Dan apa yang perlu dipersiapkan sebelum berlangsungnya acara yang bakal dihadiri orang-orang kenamaan, bos-bos, orang-orang kaya atau tokoh-tokoh Menteri?
Saya ada jawapannya.
Sesederhananya, yang perlu kalian persiapkan ialah segulung karpet merah, kerusi meja mewah dan layanan persis syurga. Juga dicadangkan sebuah ruang khas disediakan agar darjat mereka terang dipanah sinaran gemerlapan.
Meraikan mereka yang tinggi statusnya hukumnya harus. Tidak ada imam mahupun mufti negeri menegah layanan sebegitu. Bererti ianya tidak salah. Jauh sekali dari tercium bauan neraka. Bahkan, ia merupakan bahagian-bahagian tradisi yang sudah lama terciptakan.
Maka, anggap saja kegagalan mengutamakan kaum terhormat dalam sesebuah acara atau majlis adalah jalan songsang yang mengakibatkan kehilangan seri serta terhindar dari keberkatan. Barang mesti diingat, kejayaan sesuatu majlis bergantung kepada kebahagiaan layanan yang dinikmati kaum terhormat.
Pun dalam hal ehwal kehadiran solat berjemaah di masjid juga mesti diambil kira.
Jika dahulu sebelum wabak berpeleseran mencekik mangsa, masjid sudah mengutamakan golongan terhormat dalam kehadiran di rumah ibadah, maka apa lah salahnya di saat ini kita mengamini mereka diberikan kuota eksklusif?
Tindakan imam besar mengutamakan status sosial seseorang untuk menyelesaikan tanggungjawab fardhu adalah usaha terpuji.
Tuhan sudah tentu menunggu golongan 10% ini datang bersujud kepadaNya. Bayangkan berapa luasnya pertolongan yang akan diberi melalui manusia-manusia penting ini?
Tambahan pula, mereka banyak berjasa kepada negeri.
Kalau kita hanya mampu menghulur satu ringgit dengan tangan yang terketar-ketar masuk ke dalam tabung derma bergerak, berapa pula keping not-not mudah didermakan mereka?
Sudah banyak masjid terbina hasil dari sumbangan golongan berkasta tinggi. Sudah berlimpah ruah jasa bakti mereka mendirikan dinding-dinding sekolah tahfiz. Sebut saja apa yang tidak disumbang; dari makan-pakai anak-anak yatim sehinggalah kontribusi kepada sektor ekonomi negeri.
Jadinya, mereka berhak bersenang lenang masuk ke dalam perut masjid sambil melambai-lambai tangan. Sementara kamu yang kurang sumbangannya hanya layak beratur panjang menunggu giliran.
Jikalau selama ini kamu menerima takdir ketentuan hidup yang diasingkan kelas dalam setiap perkara dengan penuh taat, maka, kamu juga mesti redha akan terwujudnya kelas di dalam rumah Tuhan.
Iya, memang benar kata mu. Bahawa Tuhan tidak memandang taraf siapapun hambaNya. Dalam Islam tidak ada kasta. Semua orang dipandang sama rata.
Tetapi saudara, lihatlah kiri dan kanan mu. Lihatlah di utara, timur, barat dan selatan.
Apakah kamu tidak pernah menyaksikan bagaimana orang kaya dilayan sewaktu mengerjakan haji – sebuah ritual tahunan tempat manusia membersihkan hati nurani di atas tanah tanpa kelas?
Apakah matamu dibutakan, mulutmu dikunci ketika ada golongan berprivilij layak diservis lumayan kerana kekuatan harta sedangkan kamu disuruh bersabar menuruti adengan susah-payah birokrasi atas nama dugaan Tuhan di Tanah Haram?
Apakah kamu mabuk, tidak sedar diri yang amalan begini sebenarnya sudah direstui orang-orang yang lidahnya terbasahkan ayat Quran yang memegang gelaran-gelaran bijaksana hal-ehwal agama dan kamu duduk di situ membatu tanpa berkata apa-apa?
Kesamarataan adalah hal lucu dalam beragama. Sebuah cakap-cakap kosong. Sedap didengar. Mententeramkan. Namun ideanya sering tewas dan tidak termungkinkan dalam dunia nyata.
Adalah ironi kalian meribut apabila VIP tidak perlu berbaris panjang untuk bersolat sedangkan selama ini, dari detik lahir dari rahim ibu sehingga berpuluh tahun hidup, kalian mendukung kasta termasuklah dalam amalan beragama.
Apakah kamu bising-bising kerana terpaksa mengalah, atau kamu benar-benar berdendam akan ketidakadilan layanan yang memualkan?
Ini terlalu absurd dan sarkis buat saya. Saya kurang percaya apabila mulut-mulut bersuara ‘tidak adil begitu begini, agama Islam tidak menganjurkan itu, itu dan itu, blablabla..’
Melainkan kamu menyebut apa yang tertulis dalam buku ‘Muhammad SAW & Karl Marx – Tentang Masyarakat Tanpa Kelas’ dalam bab 3 yang menyebut
“Istilah masyarakat tanpa kelas di sini dapat diartikan sebagai masyarakat egaliter dalam pandangan Hasan Hanafi, yakni kehidupan masyarakat yang menempatkan semua anggota warganya pada posisi yang setara, tidak ada orang kaya dan kuat, superior dan inferior, penindas dan tertindas. Menurut Fazlur Rahman, konsep egalitarianisme ini merupakan konsep yang tidak asing dalam Islam. Ia mengatakan :
Sejak semula, Islam, melalui ajaran prinsip-prinsip moral dan berlakunya hukum dalam kenyataan, pembaharuan masyarakat merupakan bahagian dari inti anjaran Islam. Sungguh, Islam dapat dilukiskan sebagai gerakan pembaharuan sosio-ekonomi yang didukung oleh idea keagamaan dan etis tertentu yang sangat kuat berkenaan dengan Tuhan, manusia dan alamnraya… Faktor paling fundamental dan dinamis dari etika sosial dalam Islam adalah egalitarianisme semua anggota keimanan itu, tidak peduli warna kulit, ras dan status sosial atau ekonominya, adalah partisipan yang sama dalam komunitas.”
Bahawa seandainya kalian sedar akan budaya meraikan semua tanpa sempadan status sosial dan mentalkinkan keutamaan, layanan istimewa serta memberi kelebihan buat mereka yang memiliki harta dan pangkat dalam setiap perkara, baharulah saya menyambut idea akan kesamarataan dengan seluas alam.
Pada ketika itu, tidak ada seorang imam pun yang tidak kita ingkar. Tidak ada balasan neraka atau fatwa karut atau hukum-hukum yang dipertuturkan imam lewat mempertahankan sesuatu yang berlawanan dengan semangat kesamarataan dapat menghentikan usaha menghidupkan harapan mengatasi ketidaksamarataan.
Walaubagaimanapun, sekiranya marah-marah tidak dapat bersolat kerana keutamaan diberi kepada VIP padam dan kembali tenang setenang air di kali, maka ingatlah kata-kata saya ini,
‘Berhentilah menjadi hipokrit seperti Imam.’
Seorang slackers duaplohpatjam, penulis 3 buah buku terbitan penerbit ‘kiri borjuis’ Thukul Cetak dan pengendali Tengkorak Hang Podcast. Penggemar semangkuk laksa dan bukan lelaki Melayu bertengkolok kebanggaan semua.