Kenapa 16?

Dalam dunia yang semakin bergantung pada skrin, di mana setiap tatalan dan perkongsian menjadi cerminan identiti, cadangan kerajaan untuk menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial bukan sekadar langkah pentadbiran, ia adalah isyarat moral tentang siapa yang kita mahu bentuk daripada generasi muda ini. Namun seperti semua dasar yang menyentuh garis halus antara kebebasan dan kawalan, ia datang dengan dilema yang rumit.

Usia 16 tahun dilihat sebagai titik wajar kerana ia menandakan peralihan penting dalam kematangan emosi dan kognitif seseorang remaja. Pada usia ini, kebanyakan pelajar sudah mampu membezakan antara realiti dan persepsi, antara perhatian dan eksploitasi.

Dua pakar psikologi senada dalam hal ini. Dr. Zubaidah Jamil @ Osman, Pensyarah Kanan, Psikologi Klinikal, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) menegaskan kesan pendedahan awal media sosial kepada kanak-kanak di bawah umur 13 tahun meliputi kebimbangan, kemurungan dan rasa harga diri yang rendah. Buli siber terhadap perkembangan psikologi kanak-kanak juga boleh mencetuskan trauma jangka panjang justeru peranan ibu bapa adalah penting bagi membentuk tabiat sihat seperti aktiviti fizikal, hobi dan interaksi keluarga.

Pandangan Dr. Zubaidah turut dikongsi oleh Dr. Nazariah Shari’e Janon, Pensyarah Kanan Psikologi Perkembangan Kanak-Kanak, Universiti Islam Malaysia. Mengikut tahap perkembangan kanak-kanak, mereka yang di bawah umur 13 tahun sebenarnya belum bersedia secara perkembangan kognitif untuk mengurus risiko dalam talian. Pendedahan kepada kandungan berbahaya boleh mengakibatkan kerentanan terhadap kandungan tidak sesuai umur seperti keganasan dan standard kecantikan tidak realistik. Media sosial juga boleh mencetuskan gangguan akademik dan hilang tumpuan kesan dari algoritma adiktif yang wujud.

Namun, dalam setiap langkah melindungi, akan muncul soalan tentang sejauh mana kita mengawal. Kritikan terhadap dasar ini bukan kecil. Ada yang bertanya, bukankah remaja juga berhak bersuara, berkongsi pandangan, membina komuniti digital mereka sendiri? Bukankah dunia digital adalah ruang pendidikan tidak formal, tempat mereka belajar, bereksperimen dan mengenal dunia luar sekolah? Membatasi akses tanpa persediaan boleh mencipta jurang baharu, antara mereka yang berteknologi tinggi dengan mereka yang terpisah oleh tembok birokrasi digital.

Tambahan pula, isu teknikal dan pelaksanaan tidak semudah kedengaran. Bagaimana hendak mengesahkan umur tanpa menjejaskan privasi? MyDigital ID mungkin jawapannya, tetapi adakah semua keluarga mampu dan bersedia menggunakannya? Bagaimana pula dengan akaun yang sudah wujud? Adakah mereka akan dipadam, atau diberi tempoh transisi? Soalan-soalan ini mesti dijawab sebelum dasar itu dikuatkuasakan, agar niat baik kerajaan tidak disalah ertikan sebagai tindakan menyekat kebebasan anak muda.

Namun, kita juga harus jujur bahawa dunia digital kini bukan lagi tempat selamat untuk kanak-kanak. Kes rogol berkumpulan di sekolah-sekolah di Melaka dan Kedah, yang turut disebarkan melalui telefon pintar membuktikan bahawa batas maya dan nyata telah kabur.

Platform media sosial bukan sahaja menjadi tempat berhubung, tetapi juga gelanggang bahaya, tempat pemangsa bersembunyi di balik avatar dan mesej peribadi.

Oleh itu, had umur 16 bukanlah dinding penjara, tetapi pagar keselamatan. Ia memberi ruang kepada sistem pendidikan dan ibu bapa menanam literasi digital dan nilai empati sebelum remaja diberi akses penuh ke dunia maya. Namun pagar itu tidak boleh dibina tanpa asas kepercayaan, bahawa kerajaan benar-benar bersedia dengan mekanisme adil, telus dan menghormati hak pengguna muda.

Akhirnya, persoalan had umur ini bukan sekadar tentang angka, tetapi tentang keseimbangan. Antara melindungi dan mempercayai. Antara mendidik dan mengawal. Dunia digital telah terlalu lama beroperasi tanpa pintu pagar. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita memasangnya. Tetapi sebelum itu, biarlah kita pastikan kuncinya tidak dikawal oleh segelintir, dan anak-anak kita masih punya ruang untuk belajar, berfikir, dan menjadi manusia bebas — walau dalam dunia yang penuh algoritma.

Komen