Kemiskinan Pembelajaran Atau ‘Learning Poverty’; Situasi Malaysia

BARU-BARU ini seorang teman bertanya kepada saya apakah maksud ‘learning poverty’. Terma ini semakin popular setelah dunia dilanda pandemik Covid-19.

Tetapi terma ini sebenarnya mula digunapakai pada 2019 ketika laporan ‘Ending Learning Poverty, What Will It Take’ dikeluarkan oleh World Bank sekitar Oktober 2019. Virus korona pula hanya mula menyerang Wuhan pada Disember 2019.

Terma ini dipopularkan oleh World Bank sebagai indikasi mudah untuk mengukur tahap ‘kemiskinan pembelajaran’ di seluruh dunia. Secara mudahnya terma ‘kemiskinan pembelajaran’ ini bermaksud ‘tidak dapat membaca dan memahami teks mudah pada usia 10 tahun’. Ini bermakna jika seorang anak itu masih tidak dapat membaca & memahami teks mudah pada usia 10 tahun, dia berkemungkinan besar mengalami ‘kemiskinan pembelajaran’.

Petunjuk ini mengira dua bahagian iaitu bahagian di mana kanak-kanak yang belum mencapai kemahiran membaca minimum seperti yang diukur di sekolah serta bahagian di mana kanak-kanak yang tidak dapat membaca kerana mereka tidak bersekolah.

Retorik SDG 4

Hari ini, 53 peratus kanak-kanak di negara berpendapatan rendah dan sederhana tidak dapat membaca dan memahami karangan mudah ketika menamatkan sekolah rendah. Di negara-negara miskin bahkan tahapnya boleh mencapai 80 peratus. Ini bermakna, Sustainable Development Goals (SDG) 4 yang disebut-sebut ramai orang itu hampir pasti menjadi satu lagi retorik paling gagal dalam sejarah dunia moden.

Kemajuan dalam mengurangkan kemiskinan pembelajaran pada ketika ini terlalu lambat untuk memenuhi aspirasi SDG 4. Pada tahap peningkatan semasa, dijangkakan pada tahun 2030 kira-kira 43% kanak-kanak di seluruh dunia masih berada dalam kategori kurang belajar. Matlamat untuk memastikan semua anak-anak berumur 10 tahun di seluruh dunia dapat membaca pada tahun 2030 adalah matlamat yang sangat tidak realistik.

Inilah asas kepada pembinaan matriks ‘kemiskinan pembelajaran’ ini. Jika kanak-kanak tidak dapat membaca, semua matlamat SDG akan terjejas secara tidak langsung. Oleh yang demikian membasmi ‘kemiskinan pembelajaran’ adalah sama pentingnya seperti membasmi kemiskinan hidup, kebantutan ataupun kelaparan.

Kemiskinan Pembelajaran Di Malaysia

Di Malaysia, sebanyak 13% kanak-kanak di hujung usia persekolahan sekolah rendah mereka tidak mahir dalam membaca. Manakala sebanyak 1% dari jumlah kanak-kanak yang berumur dari 7 hingga 12 tahun pula tidak bersekolah. Bahkan penilaian berskala besar menunjukkan sebanyak 12% kanak-kanak di Malaysia tidak mencapai ‘minimum proficiency level’ (MPL) di hujung sekolah rendah pada 2017.

Sebagai perbandingan, hanya 3% kanak-kanak di United Kingdom (UK) yang tidak mahir membaca. 0% dari jumlah kanak-kanak yang berumur 7 hingga 12 tahun tidak bersekolah. Hanya 3% kanak-kanak yang tidak mencapai MPL pada 2016.

Begitu juga di Finland, hanya 3% kanak-kanak di hujung sekolah rendah yang tidak mahir membaca. 1% jumlah kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun tidak bersekolah, manakala hanya 2% kanak-kanak yang tidak mencapai MPL pada 2016.

Bahkan Singapura, negara jiran juga mencatatkan kadar ‘kemiskinan pembelajaran’ yang agak memberansangkan seperti negara maju. Hanya 3% kanak-kanak di hujung sekolah rendah mereka tidak mahir membaca. 0% kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tidak bersekolah dan hanya 3% kanak-kanak ini tidak mencapai MPL pada 2016.

Human Capital Index (HCI) Dan Defisit Modal Insan

Kemiskinan pembelajaran ini seterusnya akan membiakkan krisis pembelajaran apabila lebih ramai kanak-kanak yang sepatutnya boleh membaca, tidak boleh membaca dan meneruskan pembelajaran mereka.

Di seluruh dunia, purata skor HCI berada di paras 0.56. Ini bermakna pada usia 18 tahun, seorang anak yang dilahirkan hanya produktif pada kadar 56% sahaja kerana berada di bawah paras pendidikan yang lengkap & tahap kesihatan yang tidak memuaskan seperti dilaporkan World Bank.

Defisit modal modal insan ini terhasil akibat kualiti & kuantiti persekolahan yang terganggu, menyumbang kepada krisis pembelajaran seterusnya. Sistem pendidikan yang tidak baik akan menyebabkan kos yang besar kepada kemakmuran negara di masa depan.

Di negara miskin, 41% kekayaan adalah terhasil dari modal insan. Manakala untuk negara membangun & OECD, modal insan membina lebih dari 70% kekayaan negara.

Dah tiba masanya Malaysia mengambil serius isu ‘kemiskinan pembelajaran’ dan mula membuat pelan tindakan untuk memastikan produktiviti negara tidak terkesan dengan 13% kadar kanak-kanak yang tidak boleh membaca hari ini.

Bahkan hari ini krisis pembelajaran menjadi lebih kritikal kerana pandemik Covid-19 yang melanda dan menyebabkan lebih banyak proses pembelajaran terganggu. Semakin kritikal isu ini berterusan, semakin lebar jurang yang akan terhasil akibat kemiskinan pembelajaran ini.

Ini bermakna, kadar 13% pada tahun 2017 seperti yang dilaporkan oleh World Bank di dalam laporan mereka pada 2019 ini mungkin lebih besar hari ini. Jangkaan saya ianya boleh membesar sehingga 20% ke 30% berdasarkan jumlah penutupan sekolah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pengajaran & Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang tidak konsisten di kawasan bandar dan luar bandar.

Kemiskinan material, kemiskinan hidup dan item lain kemiskinan seperti kelaparan mungkin sebahagian besarnya telah berjaya kita atasi sejak 1970-an hingga hari ini. Tetapi nampaknya muncul kemiskinan jenis baharu yang sedang mengancam kemakmuran negara di masa depan.

Iaitu kemiskinan pembelajaran, yang kesannya akan melibatkan bukan sahaja produktiviti negara tetapi juga jumlah kekayaan negara yang bakal kita nikmati nanti.

Komen