Nanti…
Cahaya cemerlang pasti datang,
Turun menyinar tubuh yang derita,
Aku bangun Merampas semula kepunyaanku,
Akan terus berdiri gagah semula,
Sebagaimana dulu bebas merdeka.Usman Awang, Aliran Hidup
HARI INI dapat kita saksikan pelbagai rancangan di televisyen atau di platform media sosial termasuk Youtube mengenai rancangan kemiskinan. Namakan saja dari selebriti, pempengaruh (influencer), aktivis (NGO) dan agamawan. Kelompok mereka ini hadir umpama juru selamat membawa segenggam wang untuk diberikan kepada peniaga tepi jalan, yang kematian ahli keluarga, kehilangan rumah, miskin dan berantakan. Ia umpama cendawan yang dilambakkan di pasaran. Hasil tontonan mereka juga bukan kepalang ada yang mencecah ratusan ribu malah jutaan.
Dari satu sisi ia merupakan satu cubaan yang baik untuk mempamerkan bahawa kemiskinan itu wujud dan berlanjutan. Orang yang menghadapi kemiskinan hidupnya derita serba kekurangan. Yang selalu mereka punya hanyalah perkataan sabar dan berdoa, berdoa supaya esok pagi kehidupan mereka berubah, sakit mereka sembuh, perut mereka kenyang, anak mereka pintar di sekolah. Segalanya dapat berjalan seperti kehidupan manusia normal. Malangnya, lama kelamaan tontonan ini menjadi seperti komoditi yang peranannya hanyalah untuk dijual beli.
Kelompok yang menjadikan kemiskinan sebagai konten mereka kelihatannya ketagihan seperti menghisap candu. Sanggup merentasi belukar, bukit-bukau atau paya semata-mata mahu mendapatkan kisah kehidupan kemiskinan yang dramatis. Dramatisasi yang cuba ditunjukan itu akan mengundang kepada eksploitasi. Terkadang ia seperti utopia bahawa kesulitan hidup seseorang akan berakhir dalam sesaat kerana sesuatu keajaiban (dalam bentuk memberi duit, rumah atau pemberian lain). Dalam masa yang sama pengarah video mahukan audiens atau bilangan penonton yang tinggi untuk mendapat populariti, sumbangan wang, juga keuntungan.
Kadangkala mereka tidak meminta izin pun pada yang mahu dirakam, malah ada adegan yang memalukan diri mereka. Tayangan video atau rancangan realiti seperti ini dapat dinyatakan sebagai bentuk komodifikasi kemiskinan semata, dengan mempermainkan objek tanda kemiskinan, memanfaatkan orang miskin untuk kepentingan yang bersifat komersial. Mengaut keuntungan dengan cara merepresentasikan kekurangan orang lain, mencari nama atas penderitaan orang lain dengan menyamar membantu yang miskin.
C Wright Mills seorang ahli sosiologi Amerika pernah mengkritik fenomena ini. Beliau menjelaskan:
“Pengalaman primer telah digantikan dengan komunikasi sumber sekunder seperti media cetak, radio, televisyen dan filem. Media juga amat penting untuk kekuasaan kaum elit. Media tidak hanya menyaring pengalaman realiti manusia, bahkan ikut membentuk pengalaman itu sendiri. Manusia kian tergantung pada media untuk memperolehi informasi dan kian rapuh terhadap manipulasi dan eksploitasi kalangan tertentu masyarakat yang menguasai media.”
Saya pernah bertemu dengan salah seorang mangsa kemiskinan dan pernah menjadi tumpuan kerana kemiskinannya. Untuk dua bulan yang pertama hidupnya begitu mewah umpamanya telah bertemu teko ajaib yang boleh menunaikan pelbagai permintaan. Tetapi lama kelamaan ia semakin pudar. Hidupnya kembali seperti sedia kala, ayahnya masih terlantar di rumah kerana sakit, dia masih bekerja di bawah taraf gaji minimum. Mereka yang pernah memberi perhatian dulu tidak lagi kembali malah bayang mereka saja tidak diketahui.
Apa silapnya di sini? Sudah tentu rancangan segera ini meninggalkan banyak kesan dan harus difikir ulang semula sebelum kita meraikan.
Kesan Tontonan Kemiskinan
Antara kesan fenomena ini yang pertama akan mematikan akal kritis masyarakat. Sudah tentu hal-hal yang berkaitan dengan kemanusiaan selalu membuat sesiapa saja bersimpati kerana audiens sebagai seorang manusia memiliki sensitiviti. Akan tetapi kemiskinan yang dipertontonkan pada mereka itu seperti paradoks di mana ia hanyalah untuk dikasihankan bukannya untuk dibebaskan. Ramai beranggapan bahawa sang juru selamat itu setelah memberikan hadiah dapat mengubah kehidupan si miskin itu.
Namun, masih ramai yang tidak sedar kemiskinan adalah masalah sistemik dan struktural di mana ia tidak akan selesai hanya dengan memberi wang. Wang memang penting tetapi cara mengagihkan wang secara adil juga penting. Secara kritis harus dipertanyakan bagaimana dengan pekerjaan dan bayaran gaji mereka? Apakah kemudahan untuk anak-anak mereka ke sekolah? Bagaimana sistem kesihatan? Adakah mereka perlukan insurans kerana dasar neo-liberal sedang merebak. Bagaimana pula dengan tempat tinggal mereka apakah ia memenuhi hasrat sebagai seorang manusia? Jika dasar afirmatif ini tidak ditanyakan dengan kritis bagaimana mahu menyelesaikan masalah kemiskinan?
Kedua sudah tentu yang melibatkan karakter sang juru selamat. Hari ini satu persatu telah kita baca bagaimana korupnya mereka yang kononnya mahu membantu orang miskin. Masih tidak dapat dipastikan di mana mereka perolehi sejumlah wang yang besar itu, tidak dapat dipastikan di manakah wang derma yang telah diterima adakah telah diterima dengan baik? Juga ada pula yang mengambil kesempatan memanipulasi orang lain termasuk wanita atas populariti dan kebaikan yang dilakukan. Lebih masalah lagi mereka ini dipuja dengan mengenepikan akal yang sihat mengenai tujuan dan perbuatan. Ini sangat bahaya untuk masyarakat.
Ketiga menjadikan penindasan itu lebih tersebar dan lebih bermaharajalela. Lihatlah bagaimana lambakan video juga rancangan realiti yang mahukan orang miskin melakukan itu dan ini sebelum mereka diberikan wang. Malah kadangkala ia melebihi apa yang dipersetujui semata-mata untuk dramatisasi. Tidakkah ini satu bentuk penindasan yang baru? Orang miskin memang terdesak tetapi mereka masih punya harga diri. Mereka miskin bukan kerana kehendak mereka tetapi kerana kitaran sistem yang tidak adil. Bayangkan bagaimana dasar konsumerisme, kapitalisme dan neo-liberalisme tidak dikritik alih-alih membuat klaim bahawa mereka mahu membantu orang miskin tetapi meraikan ketamakan dan keuntungan. Tidak akan ada pembebasan selagi eksploitasi masih dilakukan.
Kesimpulan
Inilah tugas yang harus kita renungkan bersama kerana sekiranya ia tidak diperbetulkan, sudah tentu akan merebak dan menjalar dalam pemikiran masyarakat. Akhirnya kemiskinan hanyalah dipandang sebagai objek untuk dikasihankan bukanlah untuk dibebaskan. Ini akan meninggalkan ruang-ruang korupsi, tidak bertanggungjawaban, dan lemah kepimpinan elit kerana tugas mereka tidak ditegur akibat kesibukan kita melihat rancangan kemiskinan yang selesai kerana diberikan hadiah.
Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.