Dunia dikejutkan dengan berita kembalinya Afghanistan ke tangan Taliban pada 15 Ogos 2021, selepas Presiden Ashraf Ghani mengumumkan melalui Facebook bahawa beliau telah melarikan diri ke luar negara. Susulan itu pintu kota Kabul telah terbuka untuk dimasuki oleh Taliban tanpa sebarang tentangan dari tentera kerajaan Afghanistan.
Akan tetapi apa yang lebih mengejutkan adalah bagaimana proses penaklukan kembali Afghanistan berlaku dengan begitu cepat. Umum tahu bahawa Taliban telah kehilangan kuasa 20 tahun lamanya dan ini juga tempoh masa yang ada buat kerajaan baharu Afghanistan (pasca penaklukan NATO yang dikepalai Amerika Syarikat) membina kembali negara yang dirobek perang. Namun apa yang dibina selama 20 tahun lamanya musnah dalam tempoh 3 bulan sejak Taliban melancarkan gerakan ofensif susulan pengunduran angkatan tentera Amerika Syarikat dan NATO.
Taliban Dan Emiriah Afghanistan Pertama
Taliban pernah menguasai Afghanistan dari tahun 1996 hingga 2001. Era pemerintahan pertama mereka yang dinamakan Emiriah Islam Afghanistan diingati sebagai satu era di mana Afghanistan mengamalkan polisi pengasingan dengan Taliban memerintah secara autokratik, mirip seperti Korea Utara.
Tindakan itu membuatkan Afghanistan dilabel sebagai pariah state. Pemerintahan Taliban adalah bersandarkan takrifan Islam yang fundamentalis dan ekstremis. Undang-undang yang kononnya berasaskan shariah bagaimanapun terlalu menindas manakala hukuman pula dilaksanakan tanpa melalui proses perundangan yang sepatutnya. Golongan minoriti dan wanita adalah kelompok paling tertekan di zaman ini, wanita contohnya dinafikan hak untuk bersekolah atau bekerja dan pemakaian burqa dikuatkuasakan tanpa sebarang ruang toleransi.
Pemerintahan Taliban ini kemudiannya menjadikan Afghanistan syurga untuk kumpulan-kumpulan fundamentalis atau ektremis Islam berlindung. Al-Qaeda antara kumpulan militan yang mendapat manfaat dari polisi pengasingan dan autokrasi Taliban. Tidak lama untuk Afghanistan kemudiannya menjadi negara pengeksport terorisme. Seranagn-serangan teroris oleh Al-Qaeda lewat 1990-an berlaku di waktu Taliban memerintah Afghanistan, kemuncaknya adalah pada Serangan 9/11 yang menumbangkan World Trade Center di New York dan memusnahkan Pentagon di Washington D.C.
Kebobrokan Republik Islam Afghanistan
Susulan Serangan 9/11, Amerika Syarikat melalui NATO telah menggunakan Artikel 5 untuk melancarkan serangan ke atas Emiriah Islam Afghanistan, menggunakan preteks bahawa negara dikuasai Taliban ini melindungi organisasi teroris seperti Al-Qaeda.
Serangan NATO ke atas Afghanistan dibuat dengan sokongan dari Pakatan Utara, satu-satunya kumpulan penentang berfungsi yang menolak pemerintahan Taliban. NATO dan Pakatan Utara mencapai objektif seperti menafikan kuasa pemerintahan Taliban ke atas Afghanistan dan melumpuhkan keupayaan terorisme Al-Qaeda tetapi gagal dalam menghapuskan sepenuhnya pergerakan Taliban.
Dengan vakum kuasa yang timbul, usaha dibuat untuk mengembalikan mandat pemerintahan kepada kerajaan Afghanistan yang sah melalui proses demokrasi dan ini berjaya dicapai pada tahun 2004 dengan terbentuknya kerajaan Republik Islam Afghanistan di bawah pimpinan Hamid Karzai.
Namun walaupun diangkat melalui proses demokrasi, kerajaan baharu ini dicemari kebobrokan seperti korupsi dan salah guna kuasa. Keadaan semakin meruncing di bawah Presiden Ashraf Ghani, apabila kerajaan dituduh banyak menyeleweng dana awam dan bersekongkol dengan hulubalang perang yang terlibat dalam perdagangan candu. Wang-wang pelaburan yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan negara masuk ke poket ahli politik. Kesannya walaupun 20 tahun Afghanistan bebas dari Taliban, negara masih mundur dan nasib hidup rakyat majoritinya bukanlah semakin baik.
Situasi ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan rakyat Afghanistan, khususnya di kawasan luar bandar yang tidak mendapat limpahan kemajuan dan kemewahan seperti di kawasan bandar.
Kebangkitan Emiriah Islam Afghanistan Kedua
Kebobrokan kerajaan ini menyuburkan kebangkitan semula Taliban yang selama 20 tahun hampir tersisih. Apabila Amerika Syarikat dan NATO mengumumkan pengunduran tentera tanpa syarat pada Mei 2021, Taliban mengambil peluang ini untuk melancarkan serangan ke atas kerajaan Republik Islam Afghanistan.
Kemaraan Taliban adalah pantas dan mengejutkan kebanyakan pihak termasuk Amerika Syarikat dan NATO, yang mensasarkan pengunduran sepenuhnya tentera mereka pada 31 Ogos 2021. Ini disebalik fakta bahawa tentera kerajaan dikatakan berjumlah sekitar 300,000 anggota dilengkapi persenjataan dari Amerika Syarikat dan NATO.
Namun hakikat yang sebenarnya adalah, angka 300,000 ini diragui kerana amalan rasuah yang berleluasa memungkinkan wujudnya ghost soldier atau tentera hantu. Tidak mustahil bilangan tentera ini sengaja diperbesarkan untuk membolehkan pemimpin tentera menuntut duit gaji tentera hantu tadi.
Beberapa pemimpin tentera (yang sebenarnya merupakan hulubalang perang dan pedagang candu) juga dengan mudah berpaling tadah lalu menyokong Taliban. Beberapa laporan muncul mendakwa ada jeneral yang dengan mudah menyerahkan kelengkapan senjata kepada tentera Taliban yang memasuki wilayah mereka. Sebilangan besar askar kerajaan juga dengan mudah menyerah atau lari meninggalkan tugas dari berdepan dengan tentera Taliban.
Faktor-faktor ini memudahkan kemaraan Taliban, yang sedikit sebanyak mendapat sokongan rakyat Afghanistan yang sudah muak dengan kerajaan sedia ada. Masa 20 tahun yang ada untuk membina sebuah negara demokratik dan moden telah dipersiakan dengan korupsi dan penyelewengan, yang berkesudahan dengan Afghanistan kembali ke tangan Taliban.
Kini yang menjadi persoalan, apakah nasib rakyat dan negara Afghanistan berada dalam era Emiriah Islam Afghanistan Kedua di bawah pemerintahan Taliban ini?
Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.