Kematangan Demokrasi Di Perak

SAYA masih ingat Disember 2020, bila diberitahu akan ada perubahan politik yang besar di Perak. Tidak lama selepas itu, pada 5 Disember 2020 Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu meletakkan jawatan selepas tewas dalam undian usul keyakinan majoriti ahli dewan terhadap Menteri Besar (undi percaya).

Jalan ke arah undi percaya tersebut dirangka berhari-hari sebelum itu, dan ia melibatkan rundingan sulit antara BN dan PH sebagai dua blok politik tanpa pengetahuan PN (dan Peja). ADUN Pengkalan Batu (BN) membawa usul undi percaya dan pada sesi pembentangan belanjawan negeri, ADUN Temengor (BN) dan Pasir Pinji (PH) meminta agar usul disegerakan.

Peristiwa ini sebenarnya adalah titik tolak pada permulaan kerjasama antara BN dan PH di Perak. Selepas Peja meletakkan jawatan, Saarani Mohamad dari BN menjadi MB seterusnya dan satu MOU dicapai antara blok pembangkang dan kerajaan bagi menjamin peruntukan kepada kawasan DUN pembangkang, sesuatu yang sangat penting ketika pandemik Covid-19.

Kerana itu selepas PRU15 dan DUN Perak tergantung, usaha PN untuk menubuhkan kerajaan negeri agak sukar walaupun mereka sudah mempunyai 26 kerusi dan perlukan hanya lagi 4 untuk majoriti mudah. Pelawaan PN kepada BN untuk bersama tidak mendapat sambutan.

Sebaliknya, PH berjaya membawa BN ke meja rundingan hasil dari kerjasama dua blok ini yang telah bermula sejak 2020. Dengan PH mempunyai 24 kerusi dan BN 9 kerusi, gabungan keduanya mudah sahaja mencapai majoriti 33 kerusi yang diperlukan.

Perak adalah swing state. Saya sendiri pernah tulis hal ini tidak lama dahulu bagaimana dari 59 kerusi DUN yang ada, mencapai angka majoriti 30 adalah sesuatu yang sangat sukar oleh mana-mana blok politik dalam senario hari ini.

Situasi ini difahami oleh BN dan juga PH. Dan kedua blok politik ini juga sedar di negeri Perak, politik pelampau perkauman dan keagamaan tiada tempat. Negeri ini tidak boleh diserahkan kepada mereka yang akan menggugat keharmonian pelbagai kaum dan agama yang sudah lama wujud di Perak, seperti makan cakoi di Restoran New Holly Wood contohnya.

Lantaran itu, kesepakatan segera dicapai antara BN dan PH untuk mewujudkan kerajaan bersama di negeri Perak. Dan urusan ini dipermudahkan dengan penglibatan istana yang sangat arif selok-belok perlembagaan dan politik. Bukannya PN tidak dijemput terlebih dahulu ke istana bagi membuktikan mereka mempunyai majoriti yang cukup.

Cuma dalam menyusun langkah, perlu ada tolak ansur. Walaupun BN hanya mempunyai 9 kerusi, PH bagaimanapun berbesar hari untuk menyerahkan jawatan MB kepada BN. Ianya diisi oleh Saarani Mohamad yang merupakan mantan MB sebelum PRU15 sekaligus mewujudkan kesinambungan pentadbiran melalui pengalaman beliau.

Memberikan jawatan MB kepada BN, khususnya UMNO juga adalah satu respon positif kepada mereka yang meragui PH selama ini dengan kepercayaan ianya dikuasai DAP. Ia langsung menutup ruang kepada mana-mana pelampau perkauman dan keagamaan yang meniup api ekstremisme yang mengancam keharmonian dan perpaduan rakyat negeri Perak.

Perak kini sudah mempunyai kerajaan negeri yang boleh bekerja untuk rakyat. Perbezaan fahaman politik diketepikan dengan segera supaya sebuah kerajaan berfungsi boleh diwujudkan tanpa perlu berlengah.

Kematangan demokrasi di Perak ini sewajarnya dicontohi di peringkat kerajaan pusat. Khususnya kepada ahli parlimen dari mana-mana parti politik yang masih berkira-kira dengan dogmatik sempit dan merisikokan negara ini jatuh kepada puak pelampau kaum dan agama.

Menubuhkan sebuah kerajaan campuran atau perpaduan bukanlah mudah, lebih-lebih lagi di negara kita yang belum biasa dengan senario politik sebegini. Sebab itu dari semalam apa yang berlaku di Perak ini mendapat pelbagai reaksi berbeza dari segenap lapisan rakyat, khususnya melibatkan akar umbi parti terlibat.

Di kalangan PH, rata-rata reaksi penyokong parti adalah terkawal. Kebanyakannya dapat memahami keperluan untuk mewujudkan kerajaan campuran selepas DUN Perak tergantung. Ada sedikit suara-suara kecewa apabila jawatan MB diberikan kepada BN, tetapi ianya dapat diredakan selepas pencerahan diberikan.

Tetapi di kalangan BN, khususnya UMNO reaksi yang diberikan adalah rasa marah dan protes. Sampai tersebar dalam Whatsapp satu video seorang penyokong membakar bendera BN kerana tidak bersetuju tindakan bergabung dengan PH di Perak. YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad turut tidak terlepas hingga dituduh pengkhianat bangsa kerana bersekongkol dengan DAP demi jawatan MB.

Inilah yang berlaku apabila penyokong parti diajar dengan kebencian sejak sekian lama. Fitnah-fitnah seperti PH membawa agenda Freemason, Yahudi atau LGBT; DAP kononnya komunis dan anti Islam atau Raja-raja Melayu akhirnya telah melahirkan penyokong yang buta tuli dan dirasuk rasa benci. Lebih teruk, kesemua fitnah dan benci itu disulami pula dengan omongan perjuangan bangsa dan agama.

Disebabkan kebencian, perkara paling pokok iaitu memastikan wujud kerajaan negeri yang stabil dan efisien langsung tidak menjadi keutamaan. DUN Perak tergantung, tetapi yang dikisahkan ialah dogmatik politik yang sempit. Maka tidak menghairankan bila bertebaran di media sosial cuplikan layar mesej Whatsapp dari Ahli Dewan Negara Negeri Perak, YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini.

Penjelasan beliau tuntas. Perikatan Nasional (PN) Perak sudah dipanggil menghadap Sultan Perak dan diminta untuk membuktikan majoriti. Tetapi PN sendiri mengakui mereka gagal memperolehi majoriti.

Tawaran kerajaan dari PN juga ada kekurangan, kerana ianya adalah kerajaan yang akan dibarisi 100% Exco Melayu Islam. Walaupun seandainya BN turut serta bersama PN, komposisi kaum dalam barisan Exco tetap tidak berubah.

Dalam situasi ini, BN dan PH yang sudah pun ada hubungan kerjasama di peringkat negeri mengisi kelompongan yang wujud. BN dan PH berupaya mencapai majoriti dan mempunyai kesefahaman untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri campuran, selain boleh memberikan tawaran barisan Exco yang berbilang bangsa dan agama, sesuai dengan demografik Perak. Agenda utama kedua-dua blok ini adalah sebuah kerajaan yang boleh bekerja untuk rakyat, khususnya dalam menyegerakan pembentangan bajet negeri sebelum musim bah melanda.

Apa yang ditawarkan BN dan PH adalah bertepatan dengan keperluan pihak Istana, sedang PN pula tidak mampu menjanjikan perkara yang sama. Malahan apa yang lebih penting, wujud tolak ansur antara dua blok politik ini. PH sendiri membuat pengorbanan besar apabila menerima syarat BN untuk diberikan jawatan MB, 3 Exco dan juga Speaker. Malahan ada yang mengatakan PH setuju untuk menggugurkan tuntutan hak milik tanah selama 999 tahun yang selama ini menjadi duri dalam daging politik negeri.

Inilah kematangan dalam berpolitik. Politik Malaysia sekarang tidak sama seperti dahulu.

Perak adalah negeri majmuk. Rakyatnya bukan Melayu sahaja, tetapi ada juga Cina, India, Orang Asli dan etnik lain. Negeri ini adalah negeri termaju ketika era kolonial British dahulu dan merupakan tempat mencari rezeki untuk pelbagai bangsa. Keharmonian kaum yang wujud sejak sekian lama perlu dipertahankan dari politik kebencian yang melampau.

Perak hari ini juga adalah negeri yang berdepan pelbagai cabaran. Ia dikenali sebagai negeri tua, kerana demografik penduduknya yang sebahagian besar terdiri dari warga emas. Tidak seperti zaman emas era kolonial British dahulu dengan bijih timah menjadi hasil utama negeri, hari ini ekonomi Perak lesu. Anak muda Perak ramai yang berhijrah ke negeri lain kerana tiada peluang pekerjaan dan kehidupan dalam negeri sendiri.

Semua ini perlu diubah. Dan perubahan ini mesti bermula dari sekarang. Kita tidak ada masa untuk bertekak hal bangsa atau agama, perbezaan politik dan sebagainya. Kita tidak boleh biar DUN Perak terus tergantung dan penubuhan kerajaan tertangguh. Kita juga tidak boleh serahkan negeri ini kepada segelintir politikus yang tamak kuasa dan menggunakan fitnah serta kebencian sebagai jalan memenangi pilihan raya.

Adalah diharap kerajaan campuran BN-PH ini akan dapat menjalankan amanah yang diberikan rakyat dengan limpah hikmah perkenan Paduka Seri Sultan Perak. Semoga Perak juga menjadi pedoman dan contoh kepada seluruh negara untuk lebih matang dalam berpolitik.

Komen