Keluar Dari Dikotomi Palsu, Ke Arah Tindakan Afirmatif Yang Adil

Satu masalah dalam masyarakat kita adalah kita selalu terperangkap dalam satu tahap wacana. Kita tidak ‘level up’. Wacana kita tidak berkembang, tidak berevolusi. Dari dulu lagi kita debat pasal DEB dan kita dengar hujah-hujah yang sama sahaja. Aku tidak menafikan sesetengah isu seperti hubungan antara kaum akan sentiasa relevan di Malaysia, tetapi cara kita menangani dan berdiskusi tentang isu tersebut sepatutnya lebih matang dari dulu. Jika sesuatu wacana hanya terbantut di tahap yang sama sahaja, maknanya kita tiada kemajuan langsung. Kita ambil salah satu isu tersebut, iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Seperti liga bola sepak, sampai saja musim tertentu pada setiap tahun, mesti ada debat mengenai DEB. Ada pihak yang mempersoalkannya, ada pihak yang mempertahankannya. Kita dengar alasan yang sama setiap tahun.

Yang menyokong berkata: DEB membantu orang Melayu dan Bumiputera, DEB hak keistimewaan orang Melayu, tanpa DEB Melayu habis.

Yang membangkang pula berhujah: implementasi DEB disalahgunakan, DEB hanya memberi kekayaan kepada golongan yang kecil, DEB tidak adil.

Aku tidak setuju sepenuhnya dengan kedua-dua kem dan aku ingin menjelaskan kenapa. Untuk melihat sesuatu isu dengan lebih jelas, kita perlu mendalaminya menjangkaui retorik, red herring dan strawman. DEB merupakan satu tindakan afirmatif (affirmative action). Tindakan afirmatif di mana-mana negara pun mencetuskan kontroversi. Di Amerika misalnya, ada sesetengah universiti yang mempunyai kuota kemasukan pelajar Caucasian, African American, Asian-Hispanic American dan pelajar antarabangsa atas alasan diversiti. Sudah beberapa kali universiti disaman oleh pelajar yang gagal masuk kerana tindakan afirmatif!

Contohnya, Abigail Fisher memfailkan kes sehingga Supreme Court dan mendakwa tindakan afirmatif tidak adil dan menyebabkan dia gagal masuk University of Texas. Mengikut peguamnya, kuota tersebut memberi tempat kepada pelajar minoriti yang kurang berkelayakan berbanding Abigail Fisher dan oleh itu, ia merupakan satu ketidakadilan apabila University of Texas menafikan tempat untuk Abigail Fisher dan memberi tempatnya kepada golongan minoriti yang kurang berkelayakan.

Pada tahun 2014, beberapa pelajar Asian/Asian Americans menyaman Harvard University apabila mereka gagal diberi kemasukan. Mereka percaya sistem kuota mengurangkan tempat mereka yang layak masuk dan sebaliknya memberi tempat untuk pelajar dari kelompok lain atas alasan diversiti.

Bukan sahaja kuota, malah program kebajikan (welfare) juga merupakan satu bentuk tindakan afirmatif. Di Amerika, ada program food stamp. Program kebajikan pun mengundang kontroversi di Amerika. Ada pihak yang mendakwa ia tidak adil untuk mencukai golongan kaya dan pertengahan dan menggunakan duit itu untuk kebajikan orang miskin dan gelandangan.

Jika tindakan afirmatif itu sendiri sudah mengundang kontroversi, apatah lagi kalau ia dicampur dengan perkauman?

Jika tindakan afirmatif itu sendiri sudah mengundang kontroversi, apatah lagi kalau ia dicampur dengan perkauman?

Kem pertama bukan sahaja menganggap DEB ini satu tindakan afirmatif, malah lebih dari itu, mereka menganggap DEB satu hak dan pengiktirafan terhadap ketuanan Melayu atau Malay superiority. Mereka mengambil sebahagian dari Artikel 153 tentang kedudukan istimewa orang Bumiputera sebagai justifikasi semua layanan istimewa untuk Bumiputera. Logiknya, ini Tanah Melayu dan sebelum kemerdekaan, wakil-wakil setiap kaum telah bersetuju mereka satu bentuk ‘kontrak sosial’ dimana Melayu diangkat ke satu kedudukan yang istimewa dan lebih tinggi, dan bukan Melayu diberi kerakyatan.

Dalam erti kata lain, DEB bukan sekadar soal ketidaksamarataan ekonomi untuk mereka, tetapi racial superiority yang dijustifikasikan dengan sebahagian dari Artikel 153 (fokus esei ini bukan Artikel 153 dan oleh itu kita tidak akan bincang selanjutnya. Setakat ini pandangan aku mirip penjelasan peguam Azhar Azizan, atau lebih dikenali sebagai Art Harun, mengenai Artikel 153. Boleh cari penjelasannya dekat Google atau YouTube). Oleh itu, aku tidak dapat bersetuju dengan kem ini.

Kem lagi satu pula menolak tindakan afirmatif. Majoriti kem ini adalah bukan Bumiputera yang telah merasai ‘backlash’ dari DEB dalam bentuk diskriminasi kaum. Oleh itu mereka melihat diri sebagai mangsa dan menolak tindakan afirmatif. Keadaan ini diburukkan apabila kem pertama melaungkan retorik berbau perkauman dan makin membuatkan kem kedua menjadi defensif.

Ia telah menjadi satu lingkaran berbahaya (vicious cycle) dimana semakin kuat kem pertama mempertahankan DEB atas alasan perkauman, semakin kuat kem kedua akan menentang DEB atas alasan perkauman.

Kem kedua terikut dengan rentak kem pertama, tapi mungkin juga ada golongan dalam kem kedua yang benar-benar menolak segala bentuk DEB. Mereka mengangkat meritokrasi, tetapi kadang-kala terlebih angkat meritokrasi sehingga membutakan realiti. Apabila mereka melihat diri sebagai mangsa, kebanyakan dari mereka gagal melihat orang lain juga sebagai mangsa. Mereka tidak mengiktiraf ketidaksamarataan ekonomi, menolak tindakan afirmatif dan berpegang pada konsep meritokrasi.

Katakanlah kalau kita mengikut meritokrasi 100%, pelajar sekolah di bandar yang mampu mengikuti tuisyen barangkali akan mendapat keputusan yang lebih cemerlang berbanding pelajar sekolah di kampung yang bukan sahaja tidak mampu mengikuti tuisyen, malah bekerja sambilan untuk menolong ibubapanya. Kalau ikut 100% meritokrasi, boleh jadi bahawa biasiswa kerajaan semua bagi kepada pelajar elit di bandar sahaja. Meritokrasi tidak adil apabila tiada ‘level playing field’. Bagi aku, tindakan afirmatif itu perlu bagi memastikan peluang sama rata dan keadilan dalam masyarakat. Oleh itu, aku tidak dapat bersetuju dengan kem kedua.

Jadi apa yang aku percaya? Aku yakin pada tindakan afirmatif yang dapat memberi peluang kepada golongan yang memerlukannya dan menjurus ke arah pembentukan Malaysia yang lebih adil, tetapi bukan dalam bentuk atau atas alasan perkauman. Jika tiada tindakan afirmatif, jurang antara yang kaya dengan yang miskin akan menjadi luas seperti Singapura dan Hong Kong. Walaupun ada yang mengidolakan kemajuan Singapura, aku rasa kita tidak patut mencontohi Singapura dimana kekayaan hanya dinikmati segelintir rakyat dan kebanyakan rakyat terperangkap dalam low-middle income, inflasi dan harga perumahan yang melambung.

Aku sokong tindakan afirmatif atas prinsip keadilan dan bukannya kerana sebarang kontrak sosial atau pengiktirafan superioritas mana-mana pihak.

Juga, tindakan afirmatif berasaskan kaum tidak efisien. Mungkin pada mulanya senang hendak melaksanakan tindakan afirmatif berasaskan kaum, tetapi selepas lebih dari empat dekad, polisi ini membantut objektifnya. Jika kerajaan diberi pilihan antara tindakan afirmatif berdasarkan keperluan atau tindakan afirmatif berdasarkan kaum, dan kerajaan memilih yang kedua, ia memang satu tindakan yang tidak bijak.

Katakanlah kerajaan ada 100 biskut untuk dibahagikan antara rakyat Melayu, Cina dan India. Kerajaan buat kuota bahawa 70 daripada 100 biskut mesti dipegang oleh rakyat Melayu. Boleh jadi bahawa hanya satu individu memegang 70 biskut tersebut dan kerajaan tetap boleh isytihar bahawa ini satu bentuk tindakan afirmatif yang berjaya sepertimana yang digariskan. Dan kalau ada sesuatu yang aku belajar dari Republikan di Amerika Syarikat, rakyat Amerika yang percaya trickle-down memang terpedaya oleh retorik Republikan yang dijana korporat-korporat besar. Justeru, tindakan afirmatif berasaskan kaum bukan sahaja gagal mencapai sasaran golongan yang memerlukannya, di samping peluang untuk disalahgunakan besar, malah ia memburukkan hubungan antara kaum.

Sudah sampai satu tahap di mana jurang antara individu dalam satu kaum lebih besar daripada jurang antara kaum. Kalau dulu pejuang-pejuang Melayu ingin menghalang kapitalis Cina dan British daripada menguasai ekonomi negara, sekarang musuhnya bukan lagi Cina atau British, tapi kapitalis Melayu itu sendiri. Inilah realitinya. Melayu, Cina, India dan lain-lain sudah ada golongan yang kaya dalam puak masing-masing.

Isunya sekarang ialah bagaimana kita boleh memperkayakan rakyat biasa. Ahli falsafah terkenal John Rawls ada mengatakan bahawa keadilan mengutamakan hak asasi (basic rights) individu dan mana-mana pihak tidak harus melanggar hak asasi ini. Asalkan tindakan afirmatif tidak melanggar hak asasi, ia harus dilaksanakan jika ia memberi kelebihan untuk golongan yang terpinggir dalam masyarakat (the worst off).

Aku setuju dengan Rawls. Tindakan afirmatif adalah perlu untuk membina masyarakat yang lebih adil dan manfaat tindakan afirmatif perlu sampai kepada golongan yang disasarkan, dan asalkan ia tidak melanggar hak asasi. Kalau pengkritik sering dikritik kerana hanya mengkritik, sekarang aku mencadangkan alternatif: tindakan afirmatif yang berlandaskan prinsip keadilan yang digariskan oleh Rawls di atas, dan dilaksanakan seperti pemberian BR1M iaitu berasaskan keperluan. Maksud aku bukan beri wang percuma, tetapi cara implementasinya adalah dengan membuka satu sistem aplikasi, menjemput orang ramai untuk memohon mana-mana program tindakan afirmatif yang layak, dan memeriksa kelayakan mereka berasaskan pendapatan isi rumah dan mana-mana kriteria yang relevan.

Suara yang paling kuat tidak semestinya suara kebenaran. Wacana tentang tindakan afirmatif dan DEB di Malaysia didominasi oleh dua kem yang terperangkap dalam lingkaran retorik, red herring dan strawman selama empat dekad. Kedua-dua kem tidak memiliki kebenaran sepenuhnya, tapi mereka juga tidak salah sepenuhnya. Tindakan afirmatif adalah satu keperluan untuk keadilan, tetapi bukan dalam bentuk atau atas alasan perkauman.

(Artikel ini adalah petikan dari buku Aku Kafir, Kau Siapa?)

Komen