Kelewatan LCS Mendedahkan Negara Kepada Risiko Ancaman

Malaysia adalah sebuah negara yang terbahagi dua: Semenanjung Malaysia atau Tanah Melayu, dan Malaysia Timur atau Sabah dan Sarawak. Di antara dua bahagian ini adalah Laut China Selatan, yang sebahagian besarnya berada di bawah pentadbiran negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam. Laut China Selatan juga merupakan titik tuntutan bertindih Kepulauan Spratly melibatkan enam negara termasuk Malaysia.

Sebarang pergerakan laut antara dua bahagian Malaysia ini perlu melalui wilayah maritim negara jiran, khususnya Indonesia. Cabaran ini dirumitkan lagi dengan situasi di mana pusat kuasa kerajaan terletak di Semenanjung Malaysia tetapi bahagian yang paling terdedah pada risiko ancaman adalah Malaysia Timur di mana berlakunya banyak pertindihan tuntutan.

Justeru tugas melindungi kedaulatan negara bukanlah sesuatu yang mudah. Tugas mengawal perairan negara terletak di bahu Tentera Laut Diraja Malaysia, dengan tugas-tugas sampingan dibantu oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin. Tugasan besar TLDM ini meliputi seluruh 4,675 kilometer pesisir pantai Malaysia, yang jauh lebih panjang berbanding pesisir pantai Thailand atau Vietnam walaupun dua negara ini mempunyai keluasan lebih besar dari Malaysia.

Dengan mengambil kira semua senario di atas, ternyata Malaysia adalah sebuah negara maritim. Selaku sebuah negara maritim, angkatan laut memainkan peranan yang lebih besar berbanding angkatan darat atau udara.

Malahan, perkembangan mutakhir beberapa dekad lalu telah memberikan kita petanda bahawa sebarang konflik atau perang yang mungkin berlaku akan bersifat konvensional dan tertumput di kawasan maritim. Sebagai contoh, pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013 berlaku dengan penyusupan pengganas melalui jalan laut yang menguasai kawasan pesisir pantai timur Sabah. Negara ini tidak lagi berdepan ancaman perang gerila sepertimana ketika menentang pengganas komunis di hutan puluhan tahun dulu.

Namun sayang, hakikat negara ini sebuah negara maritim dan betapa pentingnya peranan angkatan laut dalam melindungi negara tidak terpancar dalam realiti sebenar.

Isu kapal tempur pesisir (littoral combat ship, LCS) yang melanda baru-baru ini sebenarnya telah meletakkan kedudukan TLDM dalam keadaan serba kekurangan. Keperluan LCS sebagai aset baharu TLDM telah diutarakan sejak lebih 10 tahun lalu. Apatah lagi selepas kerajaan membatalkan hasrat pembinaan tambahan dua kapal frigat kelas Lekiu bagi melengkapi dua kapal sedia ada (KD Lekiu dan KD Jebat).

Perancangan asal pembinaan LCS adalah 6 buah kapal frigat halimunan kelas Maharaja Lela dengan kapal pertama dijangka memulakan perkhidmatan pada tahun 2019. Kapal seterusnya akan disiapkan berselang 6 bulan kemudian dan TLDM dijangka bakal memiliki semua 6 kapal kelas Maharaja Lela pada tahun 2023.

Pun begitu, dengan 2022 sudah melewati separuh tahun tidak ada satu kapal pun yang telah disiapkan oleh pihak kontraktor, Boustead Naval Shipyard.

Isu LCS ini sebenarnya adalah ulangan kepada isu sama yang pernah berlaku dalam kes pembinaan OPV kelas Kedah yang turut berdepan masalah kelewatan dan tambahan kos. Dari 27 kapal OPV yang dirancang untuk pembinaan, hanya 6 buah kapal berjaya disiapkan, jauh dari memenuhi keperluan TLDM bagi melaksanakan tugas mengawasi perairan negara.

Kini dalam isu LCS, sekali lagi TLDM berdepan dengan masalah kekurangan aset bagi melaksanakan tugas sekaligus meletakkan angkatan laut kita ketinggalan di belakang berbanding negara serantau.

Ya, lupakan tentang menyaingi China yang semakin kerap menghantar kapal perang mereka mencerobohi perairan negara. Realitinya kita pada hari ini tidak mampu menyaingi negara jiran yang lain dari segi aset ketenteraan laut.

Singapura sebagai contoh, telah pun lengkap memiliki 6 buah kapal frigat kelas Formidable seawal tahun 2009. Satu kapal dibina di Perancis dan baki lagi 5 kapal dibina di Singapura tanpa sebarang isu kelewatan atau salah guna peruntukan kewangan.

Indonesia pula memiliki dua frigat moden kelas Martadinata yang menggunakan model SIGMA dari Belanda yang juga menjadi pilihan utama TLDM sebelum ‘dipaksa’ menerima pakai model Gowind oleh kerajaan dan pihak BNS. Ini adalah tambahan kepada 4 kapal korvet kelas Diponegoro yang juga menggunakan model SIGMA walaupun berskala lebih kecil.

Harus diingat, Singapura dan Indonesia adalah dua negara yang mempunyai isu tuntutan bertindih dengan Malaysia.

Sebuah lagi negara jiran iaitu Filipina yang juga mempunyai tuntutan, kali ini ke atas Sabah juga telah pun mempunyai dua kapal frigat moden kelas Jose Rizal sejak 2021, kedua-dua kapal dibina di Korea Selatan. Begitu juga dengan Thailand yang telah dilengkapi dengan sebuah frigat moden halimunan iaitu HTMS Bhumibol Adulyadej, juga dibina di Korea Selatan.

Vietnam yang bersempadan maritim dengan Malaysia dan juga mempunyai tuntutan bertindih di Kepulauan Spratly juga telah dilengkapi dengan 4 buah kapal frigat moden buatan Rusia dari kelas Gepard, dengan kemungkinan lagi 2 buah kapal akan dibina.

Kelengkapan yang wujud di kalangan angkatan laut negara serantau ini nyata sekali meletakkan TLDM dalam keadaan serba kekurangan. Kapal perang terbesar, terlengkap dan termoden milik TLDM ada dua frigat kelas Lekiu yang boleh dikira agak lapuk berbanding aset milik negara serantau lain. Bagaimana mungkin TLDM boleh melindungi dua bahagian Malaysia yang terpisah oleh Laut China Selatan atau mengawasi 4,675 kilometer pesisir pantai dengan jumlah kapal perang yang jauh dari mencukupi?

Tiada siapa boleh menafikan kelewatan LCS mendedahkan negara kepada risiko ancaman, bukan sahaja dari China bahkan mungkin juga dari negara jiran. Ia jauh lebih merbahaya dari isu-isu yang pernah dimainkan sebelum ini, seperti isu abu mayat Chin Peng dibawa pulang atau pengiktirafan ICERD dan Statut Rom yang pernah menggegar negara.

Siapa pun dalang yang menjadi punca kelewatan LCS dan sejumlah RM6 bilion dibelanjakan tanpa hasil, perlulah dibawa ke muka pengadilan kerana mereka inilah pengkhianat negara yang sebenar.

Komen