Tahukah anda, kerajaan mempunyai stokpail beras yang disimpan untuk keperluan mendesak dan bersifat kecemasan?
Yang Berhormat Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam perbahasan di Dewan Negara pada 25 September 2023 telah memaklumkan tentang kedudukan stok beras negara pada masa kini.
Kedudukan stok bekalan beras negara adalah sebanyak 900,000 tan metrik.
Jumlah ini terdiri dari 650,000 tan metrik stok dagangan yang digunakan bagi menampung keperluan domestik.
Manakala baki 250,000 tan metrik pula adalah stokpail kerajaan yang disimpan untuk keperluan mendesak dan bersifat kecemasan.
Kedua-dua stok dagangan dan stokpail kerajaan ini adalah mencukupi untuk menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan.
Walaupun ada isu kekurangan Beras Putih Tempatan (BPT) di pasaran, namun secara keseluruhan bekalan beras sebenarnya masih mencukupi.
Justeru tidak ada keperluan mendesak dan bersifat kecemasan untuk menggunakan stokpail kerajaan yang berjumlah 250,000 tan metrik.
Kerajaan kini sedang giat melaksanakan langkah-langkah intervensi bagi memastikan bekalan beras khususnya BPT adalah mencukupi di pasaran.
Kerjasama pengilang untuk tidak menyorok bekalan dan pembeli untuk tidak melakukan pembelian panik adalah perlu bagi memastikan bekalan beras di pasaran domestik tidak terjejas.