Kedai Buku Banyak Tutup, Kepada Siapa Harus Kita Tuding Jari Telunjuk?

Baru-baru ini telah tular satu ciapan berkenaan penutupan beberapa cawangan rangkaian kedai buku yang agak besar di Malaysia. Ciapan tersebut juga berjaya menarik perhatian ramai pihak untuk memberi pandangan masing-masing.
Ada yang menyalahkan penerbit yang menjual buku terlalu murah sehinggakan kedai buku melingkup. Tak kurang juga yang menyatakan bahawa pameran buku serta aktivti dagangan buku dengan harga yang terlalu murah juga menjadi asbab kepada kelembapan industri perbukuan di Malaysia.

Sebagai seorang yang pernah menerbitkan novel dan pernah menjual tulisan melalui kedai-kedai buku, berita seperti ini sangatlah mengharukan dan membimbangkan. Semenjak dari itu, saya bermula terfikir, di mana silapnya akan industri buku di Malaysia.

Tidak dinafikan buku bukanlah satu perkara yang penting buat masa ini terutama apabila dunia dilanda musibah. Ada yang menyatakan dengan nilai RM20 untuk sebuah buku, lebih baik mereka membelanjakan wang tersebut untuk membeli makanan tengah hari atau keperluan harian.

Bagaimanapun, jika pemikiran ini terus dipersetujui dan tiada mana-mana pihak cuba untuk menyangkal dengan tindakan maka amatlah saya takut sekiranya suatu hari nanti buku hanya dijadikan sebagai satu alat perhiasan di media sosial sahaja. Malah, pada satu tahap mungkin kita semua akan teruja dan pelik apabila melihat ada yang memegang buku di tempat awam biarpun perkara itulah yang wajar berlaku di mana-mana.

Jadi, melalui artikel ini saya mahu berkongsi beberapa idea mengenai kelembapan industri buku negara. Suka saya ingatkan, segala isi yang dilontarkan adalah berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang penulis selama lapan tahun.

1. Sokongan Yang Muram Daripada Pihak Kerajaan

Saya sendiri tidak faham mengapa kerajaan seperti kurang dalam perkara hal-hal berkaitan buku di negara ini. Lihat sahajalah bagaimana kempen Kota Buku Dunia Kuala Lumpur 2020, hambar dan hampir tidak kedengaran apa-apa terutama sekali selepas tampuk pemerintahan bertukar tangan. Walhal, pengiktirafan ini sangatlah besar dan bandar-bandar besar dunia sentiasa berlumba-lumba untuk menerima title ini.

Sejujurnya, bantuan pihak kerajaan sangatlah memainkan peranan yang sangat besar dalam memajukan industri buku di negara ini. Suntikan dana dan bantuan daripada kerajaan mampu mengubah lanskap industri ini daripada pelbagai sudut. Sebagai contoh, bantuan baucar buku yang pernah disalurkan sangatlah membantu semua pihak yang terlibat dalam industri ini.

Setuju atau tidak kita perlui akui bahawa dengan nilai baucar RM250, ekosistem dan rantaian industri buku berkembang dengan agak hebat. Kita dapat lihat generasi muda membelanjakan baucar tersebut untuk membeli buku yang mereka suka. Malah, kita juga nampak kedai-kedai buku meriah dengan pelbagai jenis buku yang diterbitkan.
Perkara yang paling hebat yang dapat kita rasa melalui bantuan ini adalah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Melalui laman sesawang klibf.my jumlah pengunjung di antara tahun 2013 hingga 2015 menunjukkan peningkatan. Selepas dari itu, jumlah pengunjung terus berkurangan. Secara kasarnya, bolehlah dikatakan bantuan kerajaan itu membantu dan membuka mata kepada generasi muda untuk membeli buku dan menanam minat membaca.

Maka, seharusnya pihak kerajaan tidak perlu takut untuk menyalurkan bantuan ini kepada rakyat. Usah risau untuk membijakkan rakyat kerana usaha ini tidak akan membuatkan negara kita rugi. Malah, dengan cara ini kita akan melahirkan lebih ramai generasi muda yang berilmu dan berfikiran kritis.

Cadangan saya kepada pihak kerajaan tidak lain dan tidak bukan adalah dengan menyalurkan bantuan kepada setiap rakyat untuk membeli buku. Jangan diberi bantuan berbentuk dana atau geran kepada badan atau organisasi buku kerana dengan cara ini sering kali mereka yang berada di ceruk kampung tidak merasa akan bantuan yang diberikan. Kembalikan baucar buku agar setiap rakyat diberi peluang untuk membeli dan membaca buku.

2. Kurang Toleransi Daripada Kedai Buku

Agak berat untuk saya menulis perkara ini. Namun, sangatlah saya kesal sekiranya saya tidak melontarkan perkara ini.
Sejujurnya, rangkaian kedai buku sangatlah membantu penjualan buku di Malaysia. Bukan itu sahaja, kedai-kedai buku juga membuatkan sesebuah buku itu sampai kepada pembaca di seluruh negara. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pengusaha kedai buku terutama sekali kedai buku yang pernah menjual buku saya.

Bagaimanapun, terdapat segelintir kedai buku yang cuba mengambil kesempatan terhadap rumah penerbitan. Sebagai contoh, kedai buku mengambil stok melalui rumah penerbitan dengan cara konsainan (bayar mengikut jumlah buku yang telah dijual) dan sekiranya tidak terjual, pihak kedai buku boleh memulangkan semula buku-buku tersebut.

Namun, apa yang memeritkan adalah peratusan yang diambil oleh kedai buku yang agak tinggi iaitu sebanyak 60% daripada harga jualan buku .

Persoalan yang bermain di minda saya adalah bagaimana rumah penerbitan mahu memastikan akaun mereka boleh bertahan biarpun tiada tunai usai barang atau stok diambil. Malah, apa yang harus dilakukan oleh rumah penerbitan seandainya buku tidak terjual melalui kedai-kedai buku dan dipulangkan semula kepada mereka?

Disebabkan ini jugalah pihak penerbit terpaksa menjual buku dengan harga yang murah. Ramai yang melihat cara ini membunuh kedai buku. Tetapi jika tidak dilakukan sedemikian, bagaimana rumah penerbit mahu meneruskan perniagaan? Buku tidak terjual, ruang simpanan diperlukan tetapi tunai tiada dalam tangan.

Mungkin, bagi sesetengah peniaga mereka merasakan ini lumrah dan biasa dalam liga perniagaan. Namun, bagi membantu sesebuah industri yang memerlukan bantuan, seharunya sifat toleransi perlu dijadikan asas. Tidak salah rasanya jika kedai-kedai buku memberi peluang kepada rumah penerbitan untuk menjual produk mereka dengan membeli stok dengan peratusan yang rendah.

Selain itu, pihak kedai buku juga boleh bekerjasama dengan rumah penerbitan untuk memasarkan buku dengan lebih progresif. Antaranya, pihak kedai buku yang sudah ternama mungkin boleh memberi slot rak buku paling hadapan dan menonjol di kedai buku tanpa sebarang bayaran. Bukan itu sahaja, kedai buku dan rumah penerbitan juga boleh merancang aktiviti-aktiviti yang dapat menghubungkan di antara pembaca dan buku. Jika perkara ini sudah dilakukan, sekalung tahniah dan terima kasih saya ucapkan.

3. Tanggapan Masyarakat Akan Buku Tidak Lagi Menjamin Masa Hadapan

Perkara ini kita dapat lihat bagaimana para remaja dan sesetengah ibu bapa yang berlumba-lumba mahu menjadikan anak mereka sebagai selebriti media sosial. Sehinggakan ada yang sanggup membaling mercun kepada orang kurang upaya, buat cabaran yang tidak masuk akal, berhenti belajar untuk menyertai pertandingan realiti dan pelbagai perkara lagi demi menarik perhatian ramai.

Masyarakat sekarang melihat media sosial sebagai masa depan mereka. Selepas ramai memberi perhatian dan mengikut mereka maka bolehlah mereka menjana pendapatan melalui akaun tersebut.

Buku tidak lagi menjadi sumber rujukan utama dalam sesuatu perkara. Bebenang di Twitter, perkongsian daripada selebriti media sosial dan ilmu-ilmu daripada so called influencer lebih menarik perhatian pada masa kini.

Perkara ini juga menjadi asbab mengapa industri buku di Malaysia kian merudum. Kepercayaan terhadap bahan bacaan mampu memberi ilmu semakin hari semakin pudar.

Jika anda bertanya saya akan siapa yang harus bertanggungjawab dalam hal ini, jawapan saya, diri sendiri. Membaca adalah satu amalan yang tidak boleh dipaksa oleh sesiapa. Jika membaca dalam keadaan terpaksa, amalan ini tidak menjadi seronok dan akhirnya membuatkan diri rasa terseksa.

Namun, galakan dan dorongan daripada masyarakat sekiling dan setempat boleh membangkitkan keghairahan terhadap sifat membaca. Seandainya sesebuah masyarakat menyuburkan amalan membaca, semestinya anak muda juga akan wujud rasa membaca.

Secara kesimpulannya, semua pihak harus memainkan peranan dalam menyelamatkan industri buku negara.

Sekiranya kita tidak bertindak mulai sekarang maka usahlah kita terkejut apabila buku hanya dipandang sebagai satu perkara antik. Malah, sampai satu tahap, apabila budaya membaca tidak lagi ada pada jiwa masyarakat, usahlah kita tersentak apabila kebenakan masyarakat kita terus menebal.

Baca lah kesemua buku tanpa sebarang prejudis dan dengan hati yang terbuka. Setelah membaca, nilailah dengan minda yang waras dan bertindaklah dengan penuh kemanusiaan. Hadamlah setiap kata-kata dengan harapan bahawa bait-bait kata itu akan membentuk kita menjadi manusia yang baik.

Sekali lagi saya ingatkan bahawa segala idea ini adalah berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang penulis alternatif bersama beberapa buah rumah penerbitan. Sekiranya terdapat pergelinciran idea, ayuhlah kita berbincang dengan minda yang terbuka. Diharapkan dengan cara ini sedikit sebanyak dapat membentuk industri buku negara kita ke arah yang lebih baik dan akhirnya mewujudkan masyarakat yang berperikemanusiaan secara lahiriah dan jasmani.

Komen