Kebobrokan Bola Sepak Malaysia

Rasanya masih baru seperti semalam kita dikejutkan dengan berita bahawa pembinaan Akademi Mokhtad Dahari (AMD) di Pahang yang menelan belanja RM85 juta telah dibuat secara direct nego.

Tak salah nak direct nego kalau kontraktor yang dapat projek itu memang pakar dalam bidangnya dan telah membina berpuluh akademi bola sepak. Tapi selepas kita tengok padang bola yang lebih mirip kepada padang golf, memang kita semua terpaksa sepakat mengangkat jari tengah ke atas penipuan terbesar dalam ketamadunan bola sepak dunia iaitu NFDP.

Ya, aku sedari awal lagi memang tak pernah percaya pada NFDP sebab bagi aku ianya adalah solusi jangka pendek dan syok sendiri, tak jauh beza dengan projek Barcelona 1992 atau skuad Piala Dunia Remaja 1997. Malahan menteri yang membawa usul NFDP ini pun track record-nya bercelaru kerana pernah terlibat dalam program realiti MyTeam, satu lagi usaha bola sepak yang syok sendiri. Malaysia ini bila dalam hal bola sepak memang suka buat benda yang bukan-bukan, macam Mencari Ramli sedangkan kita lupa satu-satunya Ramli yang boleh dibanggakan dan dibawa ke pasaran antarabangsa adalah burger Ramly.

Berbuih dah mulut aku cakap bahawa kalau kita nak maju dalam bola sepak macam Jepun (tak perlu sembang tahap Argentina atau Perancis lagi), kita jalankan dan mainkan bola sepak kita ikut acuan negara bola sepak maju yang lain. Benda ini bukan sains roket.

Tapi kita degil nak ikut juga acuan sendiri. Sudahlah acuan tu tak boleh pakai, kita hancurkan lagi dengan gejala politik, kronisme dan akhir sekali barah paling mudarat iaitu rasuah. Benda ini memang dah lama berlaku dalam bola sepak kita, bukan baru bermula dengan NFDP. Tengok sajalah betapa sakitnya setiap pasukan negeri dalam liga kita.

Masalahnya jadi lebih teruk apabila NFDP ini jika dilihat dari struktur adalah satu program pembangunan akar umbi. Kalau dari akar lagi sudah terkena barah politik, kronisme dan rasuah maka semua dahan, ranting, pucuk, daun, bunga dan buah hasilnya pastilah sampah. Letaklah 100 Lim Teong Kim pun sebagai jurulatih, hasilnya masih tetap sampah.

Jadi kesimpulan yang aku boleh buat apabila membicarakan kenapa bola sepak kita masih berada di tahap bangang adalah dua:

1. Kita suka buat benda syok sendiri.
2. Dan semua benda syok sendiri yang dibuat mesti kita nak libatkan dengan politik, kronisme dan rasuah.

Bila membincangkan pembangunan bola sepak, aku suka melihat Jepun sebagai negara contoh utama (dan mereka baru sahaja menjuarai AFC U-16). Bukan sebab Dasar Pandang Ke Timur oleh Mahathir Mohamad tetapi kerana satu masa dahulu bila Jepun hendak belajar ilmu pembangunan bola sepak, mereka menimba ilmu dari Malaysia.

Bezanya, Jepun bijak mengikut arus perubahan global dan mereka beretika dengan tidak melibatkan unsur politik, kronisme atau rasuah. Semua kelab bola mereka yang merupakan milik kilang atau perniagaan dan ketinggalan zaman diubah menjadi kelab profesional mengikut acuan kelab bola Eropah, kemudian mereka mewujudkan liga bola sepak profesional mereka dan tak sampai 10 tahun selepas itu layak ke Piala Dunia.

Kita? Hmm kita masih lagi nak main bola ikut negeri, presiden persatuan berubah ikut parti politik mana yang memerintah negeri dan pasukan bola dijadikan projek politik mengkayakan kroni. Kalau ada pasukan yang boleh naik pun terpaksa berharap pada ihsan anak raja. Ada anak raja Jepun menyibuk hal bola sepak deme?

Tak cukup dengan itu, di segenap lapisan bola sepak kita tanamkan unsur rasuah yang membarah dalam sistem bola sepak kita yang ketinggalan zaman dan syok sendiri tadi.

Jepun sejak layak ke Piala Dunia 1998 kini sudah bermain dalam enam edisi Piala Dunia. Kita pula masih lagi katak bawah tempurung. Dan bukan dalam sukan bola sepak saja mereka meninggalkan kita jauh di belakang sebenarnya.

Aku tak pasti kalau Menteri Belia dan Sukan sekarang atau mantannya dulu sedar atau tidak. Dalam sukan lain pun Jepun sudah mula menunjukkan peningkatan berbanding kita. Di mana kita dulu jaguh dalam sukan tersebut, tapi kini mudah disaingi Jepun.

Sebagai contoh, satu masa dahulu Jepun bukannya handal bermain badminton sedangkan kita, tolak tepi China dan Indonesia, jauh lebih handal. Dah berapa Piala Thomas kita julang sedangkan Jepun sekali pun tidak. Tapi apa jadi pada tahun 2014? Ya, kita diajar oleh Jepun.

Satu lagi contoh, dan ini baru sangat berlaku adalah dalam sukan hoki. Hoki Jepun kalau nak dikira satu masa dahulu bukanlah setaraf dengan hoki Malaysia yang sudah banyak kali ke Piala Dunia dan merangkul pingat dalam hoki Sukan Asia. Tapi dalam Sukan Asia 2018, di saat kita yakin mampu menjadi juara, sekali lagi kita diajar oleh Jepun yang datang entah dari mana.

Bola sepak, badminton dan hoki. Tiga sukan yang kita sebenarnya makin ketinggalan berbanding Jepun.

Tak perlu pening kepala sangat fikir kenapa. Tanya terus pada Jepun, masa mereka nak buka akademi sukan ada tak main direct nego bagi projek pada ahli politik dan kroni atau ada hulur under table tak?

Jadi kenapalah kita nak hairan hasil NFDP dan AMD kita main bola tak ke mana.

Komen