Ke Mana Hala Tuju Badminton Kita?

Badminton merupakan sukan yang tidak pernah menghampakan negara. Saban waktu kita melihat badminton akan muncul penyelamat di acara-acara sukan utama yang disertai Malaysia seperti Olimpik dan Sukan Asia.

Kita masih ingat bagaimana pingat pertama negara di Olimpik adalah sumbangan daripada sukan ini melalui gandingan Razif Sidek dan Jailani Sidek di Olimpik Barcelona pada tahun 1992.

Walaupun kilauan pertama itu adalah gangsa, namun ia sudah cukup memberikan kebanggaan dan sinar buat kita semua.

Namun begitu selepas era kehebatan Piala Thomas 1992, Malaysia seakan-akan hilang punca dan arah dalam membangunkan pemain-pemain berkualiti tinggi. Walaupun pada hakikatnya kita tidak kering daripada melahirkan pemain-pemain berbakat besar, namun ketekalan mereka untuk kekal dalam tempoh lebih lama sering menjadi persoalan besar.

Kita cukup bertuah memiliki Lee Chong Wei yang pada satu ketika berjuang habis-habisan di gelanggang dengan semangat tinggi untuk memberikan yang terbaik buat negara. Namun sehingga ke hujung kariernya Chong Wei juga tidak berjaya merangkul gelaran Olimpik dan Kejohanan Dunia.

Ia bukanlah salah Chong Wei, kerana kita mengerti bagaimana beliau merupakan pemain yang serba lengkap, namun program pembangunan yang tidak menjadi telah menyebabkan kita gagal melahirkan pemain yang memiliki kecekalan, semangat dan kualiti seperti Chong Wei, atau sekurang-kurangnya menjadi pemain nombor dua dan nombor tiga yang memiliki peranan seimbang dan kekuatan setara.

Kita lihat ketika di era kehebatan Chong Wei, beliau sentiasa dilihat berseteru di gelanggang bersama-sama Lin Dan dan di saat itu muncul pula Chen Long yang memiliki kekuatan hampir sama dengan Lin Dan dan kemudian menjadi pencabar hebat Chong Wei.

Buktinya pada Olimpik di Rio pada 2016, Chong Wei berdepan saingan hebat kedua-dua pemain ini dan akhirnya tewas kepada Chen Long. Dalam kategori perseorangan, jelas Chong Wei berseorangan dan tidak mempunyai pemain-pemain yang boleh dijadikan pelapis atau sandaran jika Chong Wei tidak berjaya melakukannya.

Suatu ketika kita pernah mempunyai jaguh harapan, Zulfadli Zulkiffli. Beliau pernah menjadi Juara Remaja Dunia pada tahun 2011 dan lebih hebat pada ketika itu beliau menewaskan Viktor Axelsen dari Denmark.

Namun setelah memasuki saingan peringkat profesional dan lebih tinggi, Zulfadli gagal mengekalkan kekuatan seperti ditampilkan ketika remaja. Berbeza dengan apa yang dilalui Axelsen. Jaguh Denmark itu kini menjadi pemain utama negaranya dan pernah menduduki ranking pertama dunia pada tahun 2017, mendapat pingat gangsa di Olimpik Rio 2016, menjadi Juara Dunia pada Kejohanan Dunia di Glasgow pada tahun 2017 di Glasgow dan membantu Denmark menjadi juara Piala Thomas pada tahun 2016. Axelsen kini berusia 26 tahun dan menduduki ranking ketiga dunia. Perjalanan kariernya masih jauh dan beliau sudah mengecapi pelbagai kejayaan utama.

Sudah beberapa kali kita menghasilkan jaguh segera yang tidak sempat matang dalam permainan dan kejayaan. Ini termasuklah sebelum ini pemain seperti Hafiz Hashim yang pernah mengecapi kejayaan All England dan kemudian tidak lagi mencapai prestasi sewajarnya.

Begitu juga dengan nama-nama seperti Chong Wei Feng, Liew Daren dan Arif Latif yang kadangkala nampak memberikan harapan, namun tiada konsistensi dalam persembahan mereka dan menjadi penyebab utama mereka gagal menempatkan diri dalam saingan utama.

Kini saingan sukan badminton jelas sudah terbuka dan ia bukan lagi tertumpu kepada negara dominan seperti Indonesia dan China. Sebaliknya negara-negara yang dahulu dilihat sebagai negara kerdil telah bangkit dan membuktikan kekuatan mereka. Antara yang paling mencuri tumpuan ialah Jepun.

Jepun memiliki barisan terkuat kini diketuai pemain nombor satu dunia, Kento Momota. Jika dilihat pada senario terkini, tiada sesiapa yang mampu menyaingi Momota buat masa ini dan di atas kertas pingat emas Olimpik Tokyo 2020 sudah tentu bakal menjadi milik beliau.

Selain Momota, seorang lagi pemain yang sering menghadirkan kejutan buat pasukan Jepun ialah Kenta Nishimoto yang kini berada di ranking ke-10 dunia.

Saingan beregu lelaki juga menyaksikan Jepun menjadi lawan yang hebat apabila dua pasangannya Takeshi Kamura/Keigo Sonoda dan Hiroyuki Endo/Yuta Watanabe menduduki tangga ketiga dan kelima dunia.

Penguasaan Jepun dalam badminton dunia juga dilihat begitu lengkap apabila dalam saingan wanita juga menyaksikan mereka menguasai takhta. Pemain perseorangan mereka, Nozomi Okuhara kini menduduki ranking kedua dunia.

Kedudukan sukan badminton kini berada pada tahap membimbangkan dan kita lihat pada saingan kejohanan terbuka setiap minggu menyaksikan pemain kita sukar mencari tempat ke perlawanan akhir. Walaupun baru-baru ini beregu negara Ong Yew Sin/Teo Ee Yi berjaya muncul juara Thailand Masters.

Jelas dalam keadaan semasa, badminton negara memerlukan rombakan struktur yang menyeluruh dan ia bukan sekadar melibatkan soal pertukaran jurulatih, namun pembangunan di peringkat bawahan sewajarnya dipergiat dengan lebih besar.

Proses pencarian bakat memerlukan penelitian yang baik serta dibentuk berasaskan kepada kerangka pembangunan yang memiliki sasaran jelas. Pelantikan Misbun Sidek baru-baru ini sebagai Pengarah Teknikal skuad remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) merupakan langkah tepat bagi melaksanakan saringan lebih baik dalam menyediakan bakat-bakat terbaru badminton Malaysia.

Kita sudah tiada masa kerana selepas Lee Chong Wei, kita hanya ada Lee Zi Jia yang belum mampu membuktikan penguasaannya di pentas utama. Pendedahan pemain remaja ke saingan lebih besar mampu membentuk kekuatan kepada diri mereka untuk menjadi pemain yang lebih bersedia dengan badminton dunia yang semakin terbuka.

Kita tidak boleh terlalu perlahan dalam memberikan pendedahan kepada pemain muda. Seawal usia 16 tahun mereka sewajarnya sudah beraksi di kejohanan terbuka utama dan peluang seperti ini wajar dibuka dengan lebih baik. Kita tidak mahu apabila pemain mencapai usia 20 tahun baru kita mahu berjinak-jinak mahu memberikan mereka pentas yang besar.

Sememangnya kita harus belajar dari Jepun dan Korea dan cubalah bertanya kepada Korea bagaimana pemain perseorangan wanita mereka, An Se-young boleh menduduki ranking kesembilan dunia dan umurnya kini hanya 17 tahun.

Apa pencapaian pemain berusia 17 tahun kita?

Komen