SIAPA Karl Marx? Karl Marx merupakan seorang yang pakar dalam bidang sains sosial dan juga sejarah. Dia juga merupakan seorang ahli pemikir yang sangat berpengaruh pada abad ke 19. Lebih hebat lagi, sebahagian besar daripada masyarakat dunia mengkaji dan mempelajari idea yang dilontarkan oleh Marx ini. Tidak kurang juga ada negara yang terus mengharamkan idea-ideanya dari dibincangkan dan dipelajari. Sebenarnya apa yang membuatkan Marx ini berpengaruh?
Latar Belakang
Dilahirkan dalam keluarga kelas menengah, pada 5 Mei 1818 di Trier, Sungai Moselle di Prusia, Jerman. Ayahnya iaitu Henrich Marx merupakan seorang peguam. Ibunya pula bernama Henrietta seorang warganegara Belanda. Mendapat pendidikan di Friedrich Wilhelm Gymnasium, selama 5 tahun dan memperoleh ijazah pada tahun 1835 ketika berusia 17 tahun. Setelah tamat pengajian, Marx menyambung pelajarannya di University of Bonn dalam bidang Undang-undang. Di sini, Marx telah bertemu, berkenalan dan bertunang dengan Jenny Von Westphalen pada tahun 1814. Berlaku krisis ketika pertunangan ini hendak dijalankan kerana umur Marx terlalu
muda pada ketika itu menyebabkan ibu bapa Marx menghalang. Tetapi Marx berjaya menyelesaikan isu ini lalu bertunang ketika dia berusia 18 tahun.
Marx berhenti dari akademi Bon setelah setahun di sana untuk menyambung pelajarannya di Universiti Berlin pada tahun 1836. Pada ketika ini juga Marx telah menyertai Hegelianisme dan menjadi ahli kepada pergerakan pemuda Hegelian. Pada tahun 1841 pula, Marx telah dianugerahkan gelaran Doktor Falsafah (Ph.D) di Jena. Beliau memperoleh anugerah ini kerana menghasilkan karya Diffrence Between Democritean dan Epicurean Natural Philosophy. Karl Marx kemudiannya berpindah ke Perancis dan telah mengedit Deutsch-Franzosische Jahrbucher yang telah menjadi jambatan buat sosialisme Perancis dan Hagelian Jerman yang radikal.
Pada tahun 1845, Karl Marx telah dibuang dari Perancis, lalu beliau berpindah ke Brussel dan menetap di sana sehingga tahun 1848. Di sana beliau telah mengasaskan parti German Workers dan aktif dalam liga komunis. Akibat terlampau radikal, Marx dibuang dari Brussel lalu berpindah ke Cologne dan menjadi editor untuk sebuah akbar pada Jun 1848. Pada tahun berikutnya Marx sekali lagi dibuang kerja kerana syarikat akhbar tempat dia bekerja telah ditindas oleh kerajaan Prusia. Oleh itu, beliau kembali semula ke Perancis tetapi tidak bertahan lama kerana pada bulan Mei 1849, beliau sekali lagi dibuang dari Perancis. Karl Marx meninggal dunia pada tahun 1883 akibat penyakit Bronchitis. Karl Marx dikebumikan di Perkuburan Highgate, London bersama tokoh ternama yang lain seperti Michael Faraday.
Karya-Karya Yang Dihasilkan Oleh Marx
Dalam hidupnya, Karl Marx telah banyak menulis karya sama ada secara bersendirian atau bersama rakannya Friedrich Engels. Antara karya penting yang pernah dihasilkan ialah Critique of Hegel’s Philosophy of Right (1843), The Holy Family (1845), Theses on Feuerbach (1845), 1844 Manuscripts, The German Ideology (1845), The Communist Manifesto (1848), Critique of the Gotha Program (1875), dan Capital (1867-1894). Kebanyakan penulisan yang dihasilkan oleh Marx adalah berkait rapat dengan kapitalisme iaitu jenis ekonomi yang mendominasi dunia barat. Marx mempunyai perspektif yang tajam tentang ekonomi kapitalisme. Oleh itu dia telah menggariskan beberapa masalah berkaitan ekonomi kapitalisme.
1. Pekerjaan Moden Ter “alienasi”
Pekerjaan sebenarnya boleh jadi salah satu sumber pada kegembiraan manusia. Tetapi untuk memenuhi makna pekerjaan itu, menurut Marx manusia perlu “lihat diri mereka sendiri pada objek yang telah dicipta”. Contohnya cuba kita bayangkan sebuah kerusi jati. Kerusi tersebut nampak kukuh, terperinci dan elegan. Daripada contoh tadi kita boleh lihat macam mana buruh boleh keluarkan sifat-sifat yang baik dalam diri mereka lalu dijelmakan dalam bentuk objek.
Tapi sifat ini sangatlah rare dalam dunia moden kini. Sebab utamanya adalah pekerjaan dunia moden ini menekankan kepada pengkhususan kerja. Pengkhususan kerja ini tidak dinafikan boleh jadikan ekonomi lebih efisien. Tetapi pengkhususan kerja ini juga akan menyebabkan pekerja tidak boleh menghasilkan produk yang ikhlas dari dalam dirinya untuk memenuhi keperluan kemanusiaan yang sebenar. Untuk itu Marx katakan pekerjaan moden ini terarah kepada pengasingan (alienation) atau bahasa Jerman disebut enfremdung.
Pengasingan adalah rasa yang saling tak berhubung antara apa yang kita buat sepanjang hari dengan siapa kita sebenarnya dan apa yang secara idealnya kita boleh sumbangkan kepada benda-benda wujud.
2. Pekerjaan Moden Tidak Selamat
Konsep ekonomi kapitalis menyebabkan tersingkirnya keperluan tenaga manusia. Penggunaan tenaga manusia dalam produksi akan menyebabkan peningkatan kos. Jadi sebagai langkah penjimatan para kapitalis menggantikan tenaga manusia ini dengan teknologi. Tetapi Marx tahu dalam diri setiap manusia mereka tidak mahu diri mereka dilepaskan sewenang-wenangnya kerana manusia takut kepada ketidakpedulian.
Namun, komunisme bukanlah hanya teori ekonomi dengan hanya mengambil kira sudut emosi cuma Marx menjelaskan bahawa manusia dari dalam lubuk hatinya mahu diri mereka dihargai juga berguna di dunia, oleh itu, mereka tidak mahu dilepaskan sesuka hati. Jadi penggantian manusia ini akan menyebabkan psikologi (emosi) manusia terganggu selain dari ekonomi mereka. Sebab itu kapitalisme bukanlah satu ekonomi yang selamat.
3. Pekerja Dibayar Rendah, Kapitalis Makin Kaya
Poin ketiga ini paling terang dan jelas kenapa Marx melawan sistem ekonomi kapitalis. Marx percaya yang kapitalis ini sedaya upaya mengecilkan gaji para pekerja demi untuk mencapai keuntungan yang lebih tinggi. Marx menggelarkan kaedah ini sebagai ‘primitive accumulation’ di mana kapitalis melihat keuntungan sebagai ganjaran terhadap kepintaran dan bakat teknologi mereka, tetapi Marx bersungguh-sungguh membantah kenyataan ini dengan mengatakan keuntungan itu seperti merompak dan apa yang dicuri itu adalah bakat dan kerja keras buruh. Marx berkeras mengatakan bahawa kapitalis itu bertindak dengan mengupah seorang pekerja supaya melakukan sesuatu yang boleh dijual kepada orang lain dengan harga yang lebih tinggi dari upah. Makna lain keuntungan bagi kapitalis adalah pengeksploitasian.
4. Kapitalisme Sangat Tidak Stabil
Marx menyatakan sistem kapitalis ini dikategorikan sebagai sistem yang mempunyai pelbagai krisis. Krisis itu umpama wabak dalam sistem kapitalis. Kesemua krisis ini berlaku disebabkan oleh faktor yang sangat pelik iaitu penghasilan produk yang terlampau banyak, lebih banyak daripada apa yang manusia perlukan. Krisis kapitalis ini merupakan satu krisis lambakan produk. Kalau dulu manusia dihimpit krisis kekurangan produk, apabila masuk kapitalis berlaku pula lebihan produk. Pengeluaran produk daripada kilang dan sistem ekonomi ini sangatlah efisien sehingga setiap manusia dalam dunia ini boleh menikmati rumah, kereta, kemudahan kepada sekolah dan juga hospital.
Marx sebenarnya marah dan kecewa apabila berlaku perkara sebegitu sebab sebahagian daripada kita perlu bekerja disebabkan oleh ekonomi moden yang produktif, tapi dunia moden juga menganggap tidak bekerja itu bukanlah satu kebebasan. Tapi sebenarnya, tidak bekerja itu merupakan satu kebebasan. Kalau dah produk dan sistem efisien kenapa perlu kerja?
Ada beberapa sebab kenapa tidak bekerja itu bukanlah satu perkara yang tidak baik. Dengan tidak bekerja, kita boleh buat sesuatu benda dengan lebih efisien. Tidak semua daripada kita diperlukan untuk bekerja dalam lombong arang, bukan? Jadi dalam kes ini kita sepatutnya menjadikan masa lapang itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Tambah Marx lagi sepatutnya perlu ada pengagihan semula keuntungan dari syarikat-syarikat yang besar itu kepada semua orang. Inilah yang sepatutnya yang berlaku. Bukan makin menekan manusia hasilkan produk berlebihan. Bila berlebihan tidak ada permintaan, apabila tiada permintaan, pekerja pula dibuang. Ini gila!
5. Kapitalisme Buruk Untuk Si Kapitalis
Marx tidak mengatakan bahawa sistem ekonomi kapitalis itu jahat, namun dia faham akan kesedihan yang selalu dialami dari perkahwinan orang-orang borjuis. Marx katakan bahawa perkahwinan itu adalah perkembangan perniagaan dan orang-orang borjuis itu hidup penuh dengan tekanan, kezaliman dan penindasan apabila duduk bersama. Mereka hidup bersama bukan sebab cinta tetapi duit. Marx percaya yang sistem ekonomi kapitalis ini memaksa semua orang untuk untuk meletakkan kepentingan ekonomi sebagai nadi dalam hidup mereka sehingga mereka tidak lagi tahu apa itu perhubungan yang ikhlas dan cinta yang mendalam. Kecenderungan psikologi ini digelarkan sebagai ‘commodity fetishism’ kerana ia akan membuatkan kita menilai pada sesuatu yang tiada nilai yang tepat. Apa yang penting duit, duit dan duit.
Marx mahukan manusia membebaskan diri mereka dari tekanan kewangan supaya manusia dapat buat pilihan yang wajar dan sihat dalam perhubungan.
Pada abad ke 20, golongan feminis bangkit memberi reaksi berkenaan dengan penindasan terhadap wanita. Mereka mengatakan sepatutnya wanita boleh bekerja dengan bebas. Tetapi Marx telah mengeluarkan jawapan yang berbeza. Keinginan golongan feminis ini hanya akan mengundang kepada perhambaan. Poinnya, wanita tidak seharusnya meniru kesengsaraan seperti yang dialami oleh pekerja lelaki, sepatutnya lelaki mahupun wanita sepatutnya perlu ada pilihan untuk meraikan masa lapang mereka daripada sibuk fikirkan tentang kerja.
Aspek yang paling penting dalam kerja Marx apabila dia mengatakan masih ada perkara yang bahaya dan sangat halus untuk difahami mewarnai idea-idea ekonomi yang sedang kita fikirkan sekarang. Ekonomi menjana “ideologi” seperti apa yang Marx selalu perkatakan. Dalam masyarakat kapitalis, orang kaya atau miskin percaya bahawa semua benda dalam dunia ini akan hanya dinilai baik sekiranya perkara itu terkait dengan ekonomi. Contohnya orang yang tidak bekerja itu tidak berguna sebab tak ada duit, Masa lapang yang digunakan tanpa bekerja itu berdosa, kita akan bahagia bila banyak harta, kalau miskin mana bahagia sebab tak boleh makan kek red velvet dan benda atau manusia yang berguna itu adalah ketika dia pandai buat duit. Nampak tak? Semua penilaian manusia itu mesti terkait dengan ekonomi? semua benda yang difikirkan ini akan memudaratkan manusia, akhirnya manusia tidak boleh menjadi manusia yang sebenar. Hidup, kerja dan kemudian mati.
Sebenarnya, satu daripada kejahatan kapitalisme itu bukanlah kerana orang atasan yang korup walaupun betul biasanya dalam hirarki manusia kelihatannya begitu. Tetapi idea kapitalis itu sendiri mengajar kita untuk jadi seorang yang selalu resah, kompetitif, gila dan penuh kepura-puraan. Kalau sistem sudah kucar kacir bagaimana kita hendak bermain bola sepak walaupun kita mempunyai pemain yang mahir dan terbaik. Jika sistem formasi dari jurulatih tidak betul, memang akan tewas. Sebab itu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sistem itu penting.
Selain dari mengenal pasti masalah dalam sistem, Marx juga menjelaskan ideal utopia masa depan yang sepatutnya berlaku. Dalam Manifesto Komunis dia menggambarkan dunia tanpa harta persendirian atau harta warisan, income tax yang mempunyai curam lulus, pengawalan bank, komunikasi dan industri pengangkutan yang berpusat serta pendidikan percuma. Marx juga meramalkan masyarakat komunis dapat memperkembangkan sifat mereka yang pelbagai. Dengan kata mudahnya dapat buat semua perkara tanpa terikat dengan duit atau sistem kerja.
Selepas Marx berhijrah ke London, dia telah diberikan tajaan daripada salah seorang rakan intelektualnya iaitu Friedrich Engels, anak pengusaha syarikat membuat kapas yang terbesar di Manchester. Engles yang telah membayar semua hutang Marx dan pastikan bukunya itu diterbitkan. Ironi, kapitalis menaja komunis?
Apa pun Marx umpama doktor, boleh kesan penyakit tetapi tidak dapat merawat. Seperti kata Marx:
“Philosophers until now have only interpreted the world in various ways, The point however is to change it”.
Kesimpulan
Semasa hayat Marx, segala kritik yang dikeluarkan seperti isu sosial, ekonomi dan politik tidak pernah dihiraukan oleh cendekiawan lain. Untuk itu bolehlah kita gelarkan dia sebagai unsung hero. Namun apabila Marx telah meninggal dunia, idea-ideanya mula meresap masuk ke dalam pergerakan sosial dengan pantas. Apa yang lagi pelik, Karl Marx ini sering dikaitkan dengan fahaman ateisme, tetapi perhatian dia terhadap keadilan dan kebenaran dengan mengupas keadaan sosioekonomi manusia supaya kehidupan manusia diperbaiki itu sangatlah bersungguh. Inilah sebabnya mengapa Marx adakalanya lebih berpengaruh dari sudut memperkatakan tentang kesamarataan berbanding para agamawan.
(Artikel ini adalah petikan dari buku Kitab Perdana Menteri)
Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.