Jordan, Indah Khabar Dari Rupa

KATA orang, gambaran awal keadaan sesebuah negara terletak pada keadaan lapangan terbangnya. Ketika aku sampai di Queen Alia International Airport di Amman ini, aku mula rasa ditipu. Aku telah tertipu oleh si google yang selama ini sangat-sangat aku percaya sebagai tempat yang tahu akan segala-galanya. Masakan tidak, surau lapangan terbang ketika itu mengalami banjir di bahagian wuduk sehingga kasut dan stoking perlu dibuka untuk mengelakkan dari basah.

Gila. Jika banjir ini berlaku di surau-surau di tepi jalan aku masih boleh menerima. Tetapi ini adalah surau di lapangan terbang utama sebuah negara. Dan kami bukan berada di sebuah negara bukan Islam, malah ini adalah tanah Syam! Atau kerajaan Jordan ingin kami bersangka baik yang rakyatnya terlalu banyak solat sehingga ruang wuduknya tersumbat?

Tugas menyambut kami, pelajar-pelajar baru dari lapangan terbang diuruskan oleh Persatuan Mahasiswa Mafraq Universiti al Al-Bayt Jordan (PRISMA). Roti kecil berjenama Jordania dan air kotak diagihkan sebagai alas perut.

Bas yang disewa khas bergerak perlahan menuju ke Mafraq, sebuah tempat yang terletak di timur laut Jordan. Ya, Mafraq bakal menerima aku sebagai tetamu untuk lima tahun yang mendatang. Bimbang dikecewakan lagi, aku tidak membuat carian lebih lanjut berkenaan tempat ini di laman sesawang. Sepanjang perjalanan, tidak ada satu pun bangunan pencakar langit yang menghiasi jalan selain tanah gersang berkilat maha panas.

Sebuah pintu gerbang gergasi terpampang sebaik aku tersedar dari lena yang panjang. Universiti al Al-Bayt Jordan tertulis di atas papan tanda. Tanpa perlu berhenti di hadapan pagar utama, bas dibenarkan masuk. Mungkin pengawalnya sudah maklum akan kehadiran kami.

Apa yang menghairankan, tidak ada satu pun bangunan di dalam kawasan universiti yang punya ciri-ciri reka bentuk yang berbeza. Semuanya seakan-akan puluhan kotak yang disusun menjadi bangunan. “Universiti kita ini dahulunya bekas kem askar. Sebab itu semua bentuk bangunannya petak sahaja,” kata seorang AJK sambutan pelajar baru tanpa ditanya. Mungkin juga beliau dapat mengagak yang soalan tersebut sedang bermain di fikiran kami.

Kami pelajar tahun satu diwajibkan untuk menetap di asrama universiti. Tidak banyak bezanya dengan asrama di Maahad Muhammadi Lelaki dahulu. Bezanya kami diletakkan seramai tiga orang di dalam satu bilik berbanding tiga puluh orang di dalam satu dorm dahulu dan yang paling penting, tidak ada warden yang akan memantau pergerakan kami 24 jam di sini.

Petang itu, kami dibawa ke Bandar Mafraq untuk membeli barang-barang keperluan. Bandar Mafraq pada pengamatanku seakan-akan bandar zaman 1980-an di Malaysia. Bangunannya seakan-akan sama kesemuanya. Jadi pengunjung yang kali pertama ke sini pasti sesat kerana lorong-lorongnya juga seakan sama. Jalan-jalannya dipenuhi sampah. Aku tidak pasti, sampah yang menimbun adalah disebabkan dewan bandaraya mereka tidak berfungsi atau sikap masyarakat Jordan sendiri yang hobinya membuang sampah sesuka hati.

Mataku tertancap pada seorang kanak-kanak berseluar lusuh yang memegang satu kotak gula-gula getah. Dengan bahasa Arab yang masih tunggang-langgang, aku menegur. “Siapa namamu wahai anak?” Kanak-kanak itu tergelak kecil. Mungkin bahasa Arab baku yang aku gunakan kedengaran lucu.

“Namaku Khalid,” jawab beliau lembut. “Berapa umurmu. Di mana ayahmu?” Aku meneruskan perbualan.
“Umurku lapan tahun. Ayahku syahid akibat revolusi di Syria. Apa jika ayah aku masih hidup, aku akan bekerja seperti ini?” Allah. Jawapan yang pasti membisukan sesiapa sahaja yang mendengar.

Bahasa Arab yang masih lemah menggagalkan aku untuk meneruskan perbualan. Khalid bersuara lagi dan aku hanya dapat menangkap kata-kata ini, “Ayahku dulu juga memakai cermin mata seperti mana kamu. Boleh kau belikan aku cermin mata supaya wajah aku persis wajah arwah?” Aku hanya terdiam. Sempat kuhulurkan beberapa keping syiling yang aku sendiri tidak pasti berapa jumlahnya.

Kanak-kanak yang aku jumpa dan sedang bekerja di bandar Mafraq bukan seorang, malah mencecah puluhan. Terdetik di hati mengapa anak-anak kecil di sini terpaksa bekerja. Di mana kerajaan yang tugasnya membantu masyarakat dalam kesusahan? Andai kata penduduk Mafraq ini berkapasiti puluhan ribu orang, mengapa yang ribu-ribu ini tidak mampu menjaga kebajikan anak-anak jalanan yang pasti tidak mencecah ratusan. Aku masih baru di sini. Dan soalan itu tidak tahu kepada siapa ingin kutuju.

Dalam perjalanan pulang, van sewa yang kami naiki melalui suatu kawasan padang pasir lapang di bahagian pintu belakang universiti. Mataku terpandang beberapa khemah yang berselerakan.

“Ini adalah kawasan penempatan pelarian Syria di Jordan yang melarikan diri dari perang di negara mereka. Mereka tidak mampu untuk menyewa rumah lalu terpaksa membina khemah-khemah di sini,” kata Abang Syed, senior yang ditugaskan membawa kami ke bandar pada hari itu apabila ditanya. “Siapa yang bantu mereka?” tanya aku. Abang Syed hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.

Bertemu Khalid dan sekilas memandang ke kem pelarian menyebabkan aku berminat untuk mengambil tahu isu yang sedang berlaku di Syria. Isu yang aku langsung tidak ambil pusing suatu ketika dahulu. Tambahan pula, isu Syria masih baru. Page Malaysia Life Line For Syria (MLLFS) dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu (YAMCT) di laman Facebook menjadi rujukan utama untuk aku membaca berita-berita keadaan di sana. Jarak Syria tidak jauh. Hanya beberapa puluh kilometer dari kami di Mafraq.

Aku kalah melihat gambar-gambar anak kecil dibunuh. Rumah-rumah dibom manakala wanita yang lemah diperkosa. Lantas hati aku terdetik untuk sama-sama membantu memandangkan aku sudah di sini dan pelarian-pelarian ini sekarang di hadapan mata. Tambahan lagi, belum ada satu pun pertubuhan yang khusus untuk membantu mereka di bumi Jordan ini.


Tulisan Musa Nuwayri ini ada di dalam Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi.

Komen