INGAT lagi beberapa tahun lepas, ada seorang wanita Muslim yang bertudung litup, membuka hijabnya dan menggunakan dalil agama untuk mempertahankan hujahnya. Isu ini panas dan tular terutamanya di medan Twitter pada ketika itu. Cetusan dari gadis tersebut, saya melacak dari manakah sumber yang beliau gunakan tersebut. Maka berjumpalah saya dengan sumber asalnya, dalil dari Prof. Dr. Quraish Shihab, seorang mufasirin dari Indonesia dengan tafsir lengkapnya Tafsir al-Misbah.
Sebelum kita menyorot mengenai buku ini per-se, kita perlu tahu latar belakang penulis sesebuah buku terlebih dahulu. Quraish Shihab atau nama manja beliau Abi Shihab ialah seorang ulama, ahli fiqh, dan mufasirin dari Indonesia. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Agama sekitar 2-3 bulan. Dan beliau juga adalah board of director dalam Persatuan Ulama Indonesia yang mana di dalam persatuan ini terdapat dua sekte pertubuhan yang besar iaitu Nahdatul Ulama dan Muhammadiyah.
Sebut sahaja ‘Quraish Shihab’, sosok itu akan terpalit dalam isu jilbab. Beliau adalah orang yang terawal dalam kumpulan ulama kontemporari yang memberi fatwa membolehkan ucapan hari Natal kepada Kristian. Tetapi isunya tidak masyhur kerana suatu ketika dahulu sebelumnya, Qardhawi pun pernah mengeluarkan fatwa yang sama. Sosok ini menimbulkan banyak kontroversi yang menyalahi pendapat-pendapat ulama silam, dalam kes ini, isu jilbab.
Buku bertajuk Jilbab: Pakaian Wanita Muslimah yang kontroversi ini mempunyai sebab yang kukuh kenapa ia ditulis oleh Quraish Shihab. Beliau ingin memberitahu pegangan beliau berkenaan kewajipan menutup kepala, aurat, dan jilbab. Masyarakat was-was kerana beliau seorang ulama, bahkan seorang mufasirin, tetapi anak beliau, Najwa Shihab tidak mengenakan jilbab. Bukunya yang terdahulu Ensiklopedia Tematis Dunia Islam, dalam buku tersebut beliau menaqalkan pendapat ulama yang tidak mengharuskan jilbab. Ketika buku itu ditulis, penulis tidak dapat mentajrihkan lagi semua pendapat yang pelbagai itu. Ketika menghadiri satu seminar, penulis didesak untuk membuat keputusan berkenaan hal ini, sedangkan ada ulama yang mengambil sikap bertawaqquf (tidak atau belum berpendapat) dalam hal ini.
Kedua, kita perlu akui bahawa di dalam al-Quran, tiada satu ayat pun yang menyatakan batas-batas aurat wanita. Maka dengan ini, Quraish Shihab mengeluarkan dalil yang boleh disandarkan untuk ulama mengeluarkan hukum.
Perbincangan dalam buku ini sangat rencam. Semestinya, Quraish Shihab dalam buku ini menjawab persoalan yang diajukan masyarakat kepadanya mengenai isu jilbab. Terdapat enam bab kesemuanya dalam buku ini, dan Quraish Shihab pada setiap bab menghuraikan secara terperinci mengenainya; contohnya bab dalil-dalil al-Quran dan hadis berkenaan jilbab dan aurat wanita. 90% dalam hasil dapatan dalam buku ini bukan dapatan dari beliau sendiri bahkan beliau hanya menaqalkan pandangan dari ulama silam dan ulama kontemporari. Dengan ini, jika kita hendak menolak Quraish Shihab, secara tidak langsung kita menolak hujah dan dapatan ulama-ulama yang lain.
Dalam buku ini, Quraish Shihab menulis mengikut turutan yang sangat cermat. Dimulakan dengan dalil bersumberkan al-Quran, hadis, sahabat, dan seterusnya ulama-ulama. Seperti yang kita tahu bagaimana ulama menentukan hukum bermula dengan Quran, dan diakhiri dengan Qias ulama. Dan begitulah tulisan dalam buku ini – bermula dengan kritikan dan pandangan ulama silam terhadap tafsir Quran, diikuti hadis nabi, kisah sahabat, dan ada beberapa qias ulama yang dimasukkan secara tidak langsung.
Sebenarnya asas buku ini sangatlah mudah; dalam al-Quran tiada batas-batas aurat, dan bagaimana perselisihan ulama dalam menanggapinya. Antara ulama yang berbeza dalam menentukan batas-batas aurat (mengikut dalil al-Quran) yang diajukan dalam buku ini termasuklah al-Qadhy Iyadh, Ibn Hajar al-Asqallani, al-Alusi, Ibn Arabi, Ibn Asyur, al-Qurthubi, ‘Atha’, al-Albani, dan Maududi. Dan kemudian apabila sampai pada bab aurat mengikut dalil hadis, antara ulama yang berbeza pendapat ialah Imam Tirmizi, asy-Syaukani, Imam Abu Daud, Imam Empat Mazhab, Ali ash-Shabuni, al-Albani, Imam Nawawi, adz-Dzahabi, Abu Hatim, Ibn Rusyd, Wahbah az-Zuhaili, asy-Syatibi.
Tersebut adalah ulama-ulama silam yang saling bercanggah berkenaan penentuan aurat wanita yang disebut di dalam buku ini. Di bahagian akhir buku ini ialah pandangan ulama-ulama kontemporari berkenaan jilbab. Apa yang menarik, pada sekapur sireh, Quraish Shihab memesan pada pembaca jika anda berjilbab, jangan dibuka jilbabnya jika membaca buku ini. Dan sebelum bab mengenai pandangan ulama-ulama kontemporari ini juga, dinasihatkan bahawa jika pembaca sudah berpuas hati dengan pandangan ulama-ulama yang disebutkan sebelum ini, sampai di sinilah sahaja perlu baca buku ini dan gunalah dalil itu untuk berhijab. Jika anda teruskan pembacaan juga, cukuplah anda mengetahui adanya dalil dari ulama kontemporari gunakan untuk mengharuskan hijab. Paling penting, bab ini ditulis untuk kalian yang berhijab atau orang yang berpegang dengan kewajipan berhijab, tidak mengkafirkan atau memurtadkan wanita yang tidak bertudung.
Pada bab paling provokatif ini, ulama yang berbeza pandangan dalam menentukan batas aurat termasuklah Qasim Amin, Muhammad Abduh, Rashid Ridha, Muhammad Syahrur, ‘Ali as-Sais, ‘Ali al-Hassan, Abdullah Darraz, Sayid Thanthawi, Shalih Ibn Fauzan, dan beberapa nama besar yang lain lagi turut digunakan untuk penghujahan.
Nah, nama-nama di atas, sekurang-kurangnya dilazimi oleh orang yang berada dalam pengajian Islam. Mustahil kalian dalam pengajian Islam tidak mengenali sosok-sosok besar ini. Bukan itu sahaja, bahkan ramai lagi ulama lain yang Quraish Shihab petik tetapi saya tidak nyatakan di ruang yang terhad ini.
Apabila anda selesai membaca buku ini, anda akan peroleh beberapa perkara. Pertama, sebagai pembaca yang kritis, pembaca boleh nilai bahawa dalam buku ini ada beberapa pendapat yang bercanggah mengikut fahaman ulama-ulama. Separuh buku ini menceritakan dalil wajib bertudung, dan separuh lagi menceritakan dalil tidak wajib bertudung. Dengan bacaan ini, anda akan perasan bahawasanya ulama tidak bersepakat dalam menentukan tahap aurat bagi wanita. Ketidaksefahaman ulama ini, termasuklah dalam pentafsiran al-Quran. Dan apabila baca buku ini, pembaca akan dapat tahu salah satunya untuk memahami Quran dan mengeluarkan dalil, perlu memahami bahasa Arab terlebih dahulu, dan seterusnya bagaimana ayat Quran itu difahami.
Buku ini perlu dibaca oleh kelompok yang menghargai perbezaan ulama. Bacalah buku ini dengan cermat dan tanpa prejudis. Buku ini terdapat kedua-dua dalil – kewajipan dan keharusan berhijab. Buku ini penting bagi pelajar pengajian Islam dalam menyelami perbezaan ulama-ulama silam dan kontemporari. Bagi saya, jika anda mahu membaca buku ini, setidak-tidaknya anda perlu memahami terlebih dahulu pertelingkahan para ulama, dengan kata lain, orang awam yang tiada asas dalam pengajian Islam, agak sukar untuk memahami perdebatan yang terkandung dalam buku ini. Sekurang-kurangnya anda perlu tahu bahawa bagaimana ulama berbeza dalam mengutarakan pendapat dan bagaimana ulama berbeza dalam menentukan satu-satu hukum. Jika anda seorang penjual tudung, tak perlulah baca buku ini, nanti susah nak jual tudung. Sekadar bergurau.
Natijahnya, perbezaan dan perdebatan di kalangan ulama ialah perkara biasa. Apa yang tidak biasanya ialah kita yang tidak biasa dengar perbezaan ini. Contoh antara perdebatan ulama paling epik dalam sejarah Islam, kitab Tahafut al-Falasifah oleh Imam Ghazali yang dikritik hebat oleh Tahafut al-Tahafut oleh Ibn Rusyd.
Jika anda masih ragu-ragu dengan pandangan dalam buku ini, hanya satu kata boleh saya berikan; bagaimana imam besar empat mazhab boleh berbeza pendapat dalam menentukan aurat wanita jika ia sudah qat’ie di dalam al-Quran?
Bacalah dengan akal yang sihat. Buatlah pertimbangan dengan akal yang waras. Allahyarham Aristotle pernah menyatakan;
“Tanda minda berpendidikan ialah kebolehannya meneroka sebuah pemikiran tanpa menerimanya.”
Naim Al-Kalantani, graduan ijazah sarjana muda dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem. Kini menyambung pengajian di peringkat sarjana seni di universiti yang sama.