Jemaah Menteri Tanpa Timbalan Perdana Menteri?

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan senarai Jemaah Menteri. Dalam pengumuman berkenaan, tiada mana-mana Ahli Jemaah Menteri dilantik untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

YAB Perdana Menteri memilih untuk melantik empat Menteri Kanan bagi menjalankan tugas-tugas seperti Timbalan Perdana Menteri, termasuk mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri semasa ketiadaan YAB Perdana Menteri.

Mungkin ramai yang terkejut dengan keputusan ini, namun ia bukanlah tindakan yang menyalahi Perlembagaan Persekutuan.

Hakikatnya jawatan Timbalan Perdana Menteri ini tidak disebut langsung di dalam Bahagian IV Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai kuasa Badan Eksekutif.

Hakikatnya kewujudan jawatan ini sebelumnya hanya berasaskan kepada konvensyen atau amalan seorang Perdana Menteri memerlukan seorang Timbalan.

Walaupun tidak disebut di dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, jawatan ini disebut dalam Seksyen 6(1)(b) Akta Anggota Parlimen (Saraan) 1980, yang menyebut mengenai elaun Timbalan Perdana Menteri.

Apakah yang dinyatakan oleh Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Jemaah Menteri?

PERKARA 43 – JEMAAH MENTERI

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam penjalanan fungsinya.

(2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:

(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan

(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen, tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan, jika dia telah dilantik menjadi Perdana Menteri, dia ialah ahli Dewan Rakyat yang baru itu, dan dalam apa-apa hal lain, dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

(3) Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen.

(4) Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

(5) Tertakluk kepada Fasal (4), Menteri-Menteri selain Perdana Menteri hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, melainkan jika pelantikan mana-mana Menteri telah dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, tetapi mana-mana Menteri boleh meletakkan jawatannya.

(6) Sebelum seseorang Menteri menjalankan fungsi jawatannya dia hendaklah mengangkat dan menandatangani di hadapan Yang di-Pertuan Agong sumpah jawatan dan sumpah setia dan juga sumpah simpan rahsia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam.

(7) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perkara ini, seseorang yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian atau melalui pendaftaran di bawah Perkara 17 tidak boleh dilantik menjadi Perdana Menteri.

(8) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan anggota-anggota Jemaah Menteri.

Walaupun jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak dinyatakan di dalam Perkara 43 ini, namun jawatan Timbalan Menteri ada terkandung di Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 43A.

PERKARA 43A – TIMBALAN-TIMBALAN MENTERI

(1) Yang di-Pertuan Agong boleh atas nasihat Perdana Menteri melantik Timbalan-Timbalan Menteri daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen; tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidaklah boleh memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan jika dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

(2) Timbalan-Timbalan Menteri hendaklah membantu Menteri-Menteri pada menunaikan tugas-tugas dan fungsi-fungsi mereka, dan bagi maksud sedemikian hendaklah mempunyai segala kuasa Menteri.

(3) Peruntukan Fasal (5) dan (6) Perkara 43 hendaklah terpakai bagi Timbalan Menteri sebagaimana peruntukan itu terpakai bagi Menteri.

(4) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan Timbalan-Timbalan Menteri.

Sehubungan itu, janganlah kita terkejut dengan ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri ini kerana ia tidak termaktub secara jelas di dalam perkara-perkara berkaitan pelantikan Jemaah Menteri seperti Perkara 43.

Semoga Malaysia terus sejahtera dengan rakyat celik perlembagaan dan memiliki kesedaran politik yang tinggi.

Komen