Jawi: Tulisan Yang Dilupakan

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Tulisan Jawi merupakan tulisan yang sangat sinonim dengan bangsa Melayu. Istilah Jawi pada asalnya dikaitkan dengan panggilan Arab bagi suatu rumpun bangsa di Nusantara. Masyarakat Arab gemar memberikan gelaran bagi sesuatu bangsa. Misalnya, bumi Afrika dikenali sebagai Bilad Al-Sudani dan suku kaum di Afrika dikenali sebagai Al-Sudani. Begitu juga bagi gelaran Jawah atau Jawi yang digelarkan kepada seluruh rumpun bangsa Melayu tidak kira sama ada mereka itu orang Melayu, Campa, Pattani, Aceh, Jawa, Minangkabau, Mandailing, Sunda, Bugis, Banjar, Lombok, Filipina dan lain-lain. Jadi tidak hairanlah sekiranya semua kaum di Alam Melayu dikenali sebagai Bilad Al-Jawah yang digelarkan oleh masyarakat Arab.

Istilah Jawi menjadi ikutan orang-orang Melayu yang menamakan tulisan Arab sebagai tulisan Jawi. Secara amnya, istilah Jawi ialah nama yang diberikan kepada seluruh bangsa di Kepulauan Melayu manakala bahasa yang digunakan ialah bahasa Jawi dan tulisannya dinamakan sebagai tulisan Jawi.

Tulisan Jawi pada zaman dahulu merupakan satu tulisan yang paling berkuasa sehingga pemerintah dari negara Barat perlu mempelajari tulisan tersebut untuk kegunaan perantaraan terutama bagi urusan surat-surat kepada raja-raja Melayu. Dapat kita lihat peranan tulisan Jawi pada masa itu sangat besar sehingga pemerintah dari negara luar perlu mempelajari tulisan Jawi tersebut bagi sesuatu urusan. Kepentingan tulisan Jawi pada ketika itu sama seperti penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan pada masa kini. Namun dapat kita lihat bahawa generasi kini kebanyakannya masih tidak menyedari dan mengetahui bahawa masyarakat Melayu suatu masa dahulu mempunyai satu tulisan yang menjadi identiti dan mempunyai zaman kegemilangannya sehingga dikenali di beberapa pelosok negara.

Nasib tulisan Jawi yang menjadi identiti masyarakat Melayu mulai hilang apabila suatu reformasi dalam pendidikan negara telah dilakukan oleh Menteri Pendidikan pada tahun 1966 yang menukarkan penggunaan tulisan Jawi kepada tulisan Rumi. Bermula pada tahun tersebut, kesemua mata pelajaran yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ditukar ke dalam tulisan Rumi. Tidak terkecuali juga bagi akhbar yang menjadi akhbar utama masyarakat Melayu ketika itu menjadi kian malap dan tidak popular akibat daripada reformasi yang dilakukan.

Jelas dapat dilihat dari reformasi yang dilakukan tersebut memberikan impak dengan lahirnya generasi yang kurang mahir dalam tulisan Jawi malah ada juga yang tidak mengenal langsung huruf Jawi. Perkara ini dipandang enteng bagi masyarakat kini yang tidak mengenal erti dan nilai sesuatu perkara yang dahulunya pernah menjadi identiti bagi masyarakat Melayu. Kesedaran dalam memelihara tulisan Jawi ini masih rendah dan tidak mustahil sekiranya tulisan ini pupus dan tidak lagi digunakan dalam dunia ini seperti tulisan Kawi, Pallava, Rencong dan beberapa tulisan yang lain sebelumnya.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa Jawi merupakan tulisan yang mempergunakan sentimen agama atau etnosentrisme Melayu untuk kepentingan tersendiri dan mengaut simpati politik dan tidak mempunyai kebaikan mahupun kejayaan kepada pendidikan anak-anak dari segi pendidikan dan ianya bukan isu bahasa Malaysia.

Penyataan ini seharusnya dinilai semula. Pemeliharaan tulisan Jawi sepatutnya dititikberatkan bagi memastikan tulisan ini mampu ditulis dan digunakan bukan sahaja oleh orang Melayu malah masyarakat di Malaysia.

Tulisan Jawi pada asalnya merupakan huruf yang diserap daripada huruf Arab dengan menambah beberapa huruf mengikut huruf Melayu. Justeru, penerapan pembelajaran tulisan Jawi di dalam kurikulum sekolah tidak ada kaitan dengan sentimen agama mahupun etnosentrisme. Ianya lebih kepada menerapkan nilai estetika yang terdapat dalam tulisan Jawi tersebut. Seperti bahasa Cina dan India, mereka juga mempunyai tulisan mereka tersendiri dan masih menggunakan tulisan mereka sehingga kini. Mempelajari bahasa dan tulisan mereka bukan bermaksud mempelajari agama mereka, tetapi mempelajari keindahan dari bahasa tersebut.

Tulisan Jawi pada masa kini telah diteliti dan ditambahbaik dari semasa ke semasa oleh beberapa badan bukan kerajaan yang mempunyai kesedaran mengenai kepentingan memelihara tulisan Jawi sehingga menjadi tulisan Jawi yang telah disempurnakan. Namun sekiranya bangsa tulisan itu sendiri yang memusnahkan tulisan tersebut, apakah mereka menyangka ada bangsa lain yang akan memeliharanya?

Oleh itu, tulisan Jawi ini wajar diterapkan terutama dalam pendidikan di Malaysia bagi memastikan tulisan ini sentiasa dipelihara dan digunakan. Walaupun penggunaan tulisan Jawi ini tidak digunakan secara menyeluruh seperti dahulu, sebagai rakyat Malaysia kita perlu menyokong usaha kerajaan dalam memastikan tulisan Jawi dipelihara sehingga ke generasi-generasi akan datang dapat mengenali dan menggunakan tulisan Jawi serta tidak dilupakan.

Tentang Penulis

Nurul Atikah adalah siswa Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam jurusan Pendidikan (Bahasa Melayu). Beliau adalah penulis yang terpilih dalam Liga Penulisan Artikel Pengajian Tinggi.

Komen