Jargon Bahasa: Klimaks Syok Sendiri Pemisah Capaian?

Setiap kali pulang ke kampung, pastinya topik berkenaan politik adalah menjadi kemestian tidak kira di mana sekalipun hingga ke pasar basah. Tujuan membeli ikan yang tidak sampai 10 minit boleh jadi perbualan politik hingga berjam-jam lamanya. Mungkin penangan kejayaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang melakukan kejutan dalam sejarah politik Malaysia PRU lepas, dan menjadi penduduk di kawasan yang dinaungi Tun pada masa sekarang. Kadang naik rimas juga bila rakan-rakan sekampung yang tidak pernah mempedulikan pun drama yang berlaku dalam negara sebelum ini mula bermain dengan istilah-istilah yang sering diguna pakai ahli politik dalam ceramah mereka.

Betapa besarnya penangan budaya politik berasaskan perkauman yang ditinggalkan parti BN di pelusuk pedalaman. Sewaktu masih bekerja di sektor swasta selepas tamatnya graduasi, aku masih ingat bila pulang ke kampung, soalan pertama yang akan ditanya;

“Tokey hang mesti Cina kan? Baru hang tau kerja dengan Cina lagumana..”

Atau,

“Tokey hang mesti Cina kan? Cina kat KL tu okey dak?”

Soalan yang sama (dan berulang kali aku kena jelaskan bahawas bos aku berbangsa Melayu) tapi nada dan konteks pertanyaan boleh diagak, soalan yang pasti ditanya oleh kelompok nasionalis, konservatif dan masih beriman dengan rukun UMNO yang mewar-warkan betapa bahayanya kaum Cina di negara ini jika diberi kuasa memerintah.

Nada yang kedua pula dilontarkan oleh mereka yang masih sangsi tetapi mungkin sudah agak membuka mata hati tentang hakikat “manusia semuanya sama”. Cuma desakan politik dan kuasa ekonomi menjadikan mereka rasis.

Apabila berjumpa dengan kenalan lama yang mula berminat dengan jurnal-jurnal dan artikel tidak kiralah sama ada politik, sains mahupun ekonomi, aku sangat teruja. Masakan mereka yang bertahun bergelumang dengan minyak hitam dan dunia custom enjin motor bagi perlumbaan jarak pendek boleh mula berasa minat dengan dunia akademik? Rupanya, besar pengaruh kewujudan page di Facebook yang kerap memuatnaik bahan bacaan yang baik dan membuka mata. Terpegun bila ada rakan yang sudah faham apa itu sosialisme, komunisme, kapitalisme dan segala mak nenek “isme” yang lain.

Fasa seterusnya adalah fasa yang tersukar sekali bagi aku, bagaimana mahu memerdekakan mereka supaya tidak beriman dengan mana-mana kiblat idealisme dalam usaha mencari? Apabila membaca artikel yang membangkitkan darah kemelayuan, pasti timbul rasa benci atau rasa kurang senang dengan bangsa lain? Bila aku hidangkan bahan bacaan yang agak kiri, dilihat terlalu radikal dengan jargon bahasa yang berat untuk dimengertikan dan “tidak praktikal” dalam kondisi sosiopolitik masa kini?

Nah, aku mula merasa kelemahan golongan “pengimbang” dalam negara ini adalah terlalu gemar gunakan jargon bahasa dalam penyampaian idea mahupun olahan suatu isu. Jika mahu membawa pembaharuan dalam corak gaya berfikir ala progresif pada peringkat akar umbi, bahasa adalah alat paling penting sekali. Bagaimana mahu membesarkan lagi radar informasi berkenaan fakta sejarah, hal-hal ketamadunan dan lain-lain? Aku tidak mahu masukkan disiplin sains dalam hal ini memandangkan fokus aku adalah bagaimana mahu memerdekakan mereka ini dari umpan akademik sesetengah pihak berkepentingan sekaligus mengindoktrinasi kompas moral dan rasional mereka dalam melihat dan menilai situasi masa kini?

Atau adakah kelompok “progresif” ini hanya menyasarkan golongan yang dilihat berpeluang punya autoriti dan membentuk segmentasi khusus dalam budaya pemikiran masyarakat kita?

Entahlah.

(Artikel ini adalah tulisan Adam Mukhriz)

Komen