Jangan Bunuh Abang Aku!

NADIR Al-Nuri Kamaruzaman. Satu-satunya abang yang aku punya di dunia ini. Kami tidaklah terlalu rapat semasa kecil kerana jurang umur yang agak jauh. Juga faktor beliau yang sudah ke asrama sejak di tingkatan satu. Tetapi ada beberapa kenangan bersama beliau yang aku ingat sehingga kini.

Dulu kami sering ke surau bersama-sama. Aku dan adik yang paling bongsu, Mubtasim akan berebut-rebut untuk naik ke atas motosikal sebaik azan maghrib berkumandang. Kadangkala, kami ke surau yang dekat, dan jika ada ceramah, kami akan ke surau yang lebih jauh.

Tiba sahaja di mana-mana simpang, aku dan Mubtasim akan meneka jalan mana yang akan abang ambil. Sama ada ke kanan, atau ke kiri. Satu yang aku pasti, tekaan aku tidak pernah akan betul kerana abang akan sentiasa membelok ke arah jalan yang diteka oleh adikku Mubtasim walaupun jalan itu sangat jauh berbanding jalan yang satu lagi.

Apabila hari pasar malam diadakan di Bandar Baru Bangi pula, saingan untuk mendapat tempat di atas motor akan menjadi lebih payah. Selain saingan dari Mubtasim, adik-adikku yang perempuan akan turut cuba untuk mendapatkan tempat. Ketika ini, siapa yang menangis pasti menjadi juara. Yang berjaya ikut akan dengan gembiranya menyanyi di atas motosikal menuju ke pasar malam. Menu wajib yang akan dibeli adalah rangka ayam memandangkan harganya yang murah dan menjimatkan. Rangka ayam tersebut akan dibungkus dan diratah beramai-ramai di rumah.

Abang bukan jenis manusia yang berkira. Setiap kali pulang dari bercuti semasa belajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS), kami akan beramai-ramai menunggu kepulangan beliau kerana abang tidak pernah lupa untuk membelikan kami adik-beradik ole-ole setiap seorang satu. Kami akan berebut-rebut memilih hadiah yang biasanya adalah keychain yang dibeli secara pukal.

Catatan ini aku tulis bersama air mata kerinduan selepas hampir dua tahun setengah berpisah dengan beliau. Ketika itu, umat Islam sedang di hujung Ramadan, menanti lebaran. Ketika itu juga, Gaza tempat beliau berjuang sedang galak diserang Israel, ‘musim’ rakyat Malaysia kencang memboikot produk Israel.

Beliau memulakan perjuangannya di Sabah semasa menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Masuk ke pedalaman mengembangkan ajaran Islam. Seterusnya menyambung pengajian ke bumi Syria. Sempat beberapa tahun menuntut di sana sebelum revolusi memaksa beliau pulang ke tanah air. Tidak sampai setahun di Malaysia, beliau meneruskan perjuangan di bumi Palestin. Masuk ke Gaza melalui Mesir ketika Dr Mohd Morsi masih menjadi Presiden.

Dan kini selepas hampir tiga tahun, beliau masih di sana. Menjadi satu-satunya pelajar Malaysia di bumi Gaza. Berjuang meninggikan kemanusiaan di tempat yang sepatutnya.

Jangan Bunuh Abang Aku! (1)

Beliau merupakan abang aku yang berada di Gaza, Palestin sekarang.

Beliau juga satu-satunya abang yang aku ada. Akibat kepungan Israel, sudah bertahun kami berpisah tidak bersua.

Tuan-tuan dan puan-puan, aku menyeru dan merayu untuk kita sama-sama memboikot produk Amerika dan Israel secara total.

Kerana aku bimbang, peluru yang dibeli menggunakan duit tuan puan bukan sahaja digunakan untuk menembak rakyat awam Gaza, tetapi juga mensasar abang kandung aku sendiri.

Aku sebutkan, kalaulah anak-anak Gaza dirasakan terlalu jauh untuk diberikan simpati, kasihanilah abangku yang berada di sana. Jangan kerana duit yang kita bayar untuk membeli produk Israel, digunakan pula untuk menembak satu-satunya abang kandung aku di dunia.

Jangan Bunuh Abang Aku! (2)

Kelmarin, masjid dan rumah yang berada betul-betul di belakang kediaman abang kandung aku di Gaza, Palestin dibom selepas solat tarawih sehingga menyebabkan 16 orang syahid manakala empat puluh empat yang lain cedera.

Kelmarin juga, seorang Mujahid Briged Al-Qassam yang sempat abang aku santuni ketika bertembung di jalanan pada hari sebelumnya, syahid ketika sedang bertugas menjaga tanah air Palestin.

Tidak mustahil, esok lusa, kediaman abang aku pula dibom Israel. Tidak mustahil, beliau akan mengikut jejak langkah teman Mujahidinnya ke syurga. Perlu diingat, apabila kita berada di negara bergolak, muncung senjata sudah tidak mengenal mangsa.

Semalam, di akhir perkongsian aku tentang isu Syria di surau Istiqamah, Terengganu, aku selitkan seruan dan rayuan agar sama-sama memboikot produk Israel dan Amerika. Yang juga merupakan salah satu cara membantu umat Islam di sana selain dengan menderma.

Jangan Bunuh Abang Aku! (3)

Saban hari, kami sekeluarga akan ternanti berita-berita baru yang akan dikemas kini oleh abang kandungku langsung dari bumi Gaza, Palestin. Sama ada dalam bentuk WhatsApp, ataupun melalui status Facebook.

Kelmarin, satu mesej dihantar oleh beliau ke group WhatsApp keluarga kami. Katanya, serangan sedang dilakukan oleh Israel betul-betul di belakang kediaman beliau. Serangan yang dilakukan adalah secara ‘ketuk pintu’**. Dan ketika itu, Allah sahaja yang mampu menenangkan hati kami sekeluarga.

Sahabat sekalian, bayangkan suatu hari nanti, 100 nama syuhada’ dikeluarkan. Sahabat-sahabat sudah pastinya tidak akan membaca nama-nama berkenaan bermula dari 1 hingga 100.

Tetapi tidak bagi aku. Nama-nama berkenaan sudah pastinya diteliti kerana bimbang, salah seorang daripadanya bernama Nadir Al-Nuri. Aku tidak kecewa oleh kerana beliau syahid, tetapi ketika ini, beliau adalah satu-satunya rakyat Malaysia di Gaza yang menjadi orang tengah dalam menyampaikan bantuan kepada saudara kita di sana.

**Serangan ‘ketuk pintu’ adalah dengan cara Israel akan meledakkan roket kecil menggunakan dron tanpa pemandu ke atas bumbung rumah yang hanya mengakibatkan kerosakan dan tidak meranapkan rumah secara keseluruhan. Jadi, penghuni rumah akan keluar mengosongkan kediaman mereka sebelum F16 datang menghancurkannya sekiranya mereka mahu. Pada sesetengah ketika, penghuni rumah enggan untuk keluar, justeru akan terkorban dalam serangan.

Jangan Bunuh Abang Aku! (4)

Keadaan di Gaza agak membimbangkan sejak kebelakangan ini. Israel mengamuk selepas tentera mereka ramai yang mati di tangan tentera Briged Al-Qassam.

Yang terkini dari abang menyatakan, peluru yang dilepaskan kereta kebal sedang berguguran di sekeliling rumah beliau setiap beberapa minit. Hentaman semakin dekat. Bau bom dan kebakaran mencucuk hidung. Asap tebal menghalang untuk melihat lebih daripada 100m.

Abang masih di rumah sewa beliau yang terletak kira-kira 4 Kilometer dari sempadan. Manakala kereta kebal mampu menembak sejauh 5 Kilometer. Kebanyakan jiran-jirannya telah berhijrah meninggalkan kediaman masing-masing ke tempat lebih selamat.

Beberapa hari lepas, ibu dan abang berbalas mesej. Kata abang, beliau mungkin akan berpindah. Tetapi perjalanannya jauh dan sangat berisiko. Abang minta maaf dan minta dihalalkan segalanya. Dan aku yang membaca seakan-akan redha menanti berita selanjutnya.

Jangan Bunuh Abang Aku! (5)

Sekali lagi serangan dilakukan oleh Israel betul-betul di belakang kediaman abang. Betul-betul ketika azan maghrib di Gaza dilaungkan. Manakala umat Islam di Malaysia sedang bersujud menyambut malam 27 Ramadan. Serangan berlaku ketika sebahagian yang lain sudah bergembira untuk menyambut hari lebaran. Ketika ibu bapa sudah sedia menunggu kepulangan anak-anak di kampung.

Jumlah yang syahid di Gaza mencecah 700 orang. Manakala ribuan yang lain cedera. Israel bakal menguatkan serangan. Dan kata abang, sudah tidak ada tempat yang selamat di dalam Gaza ketika ini.

Raya tahun itu mula aku rasakan kehambarannya. Tanpa satu-satunya abang di sisi bukanlah suatu masalah besar, kerana kami dari kecil selalu berpisah dek sikap abang yang suka merantau. Tetapi kali ini, perpisahan dengan abang seakan perpisahan yang panjang.

Dan andai diberi pilihan untuk memilih sama ada menyambut Aidilfitri atau menyambut abang Nadir Al-Nuri, aku akan memilih kedua-duanya sekali.

Aidilfitri tahun itu, kami berhasrat untuk berkumpul kesemua seramai lapan beradik. Tetapi perancangan Allah mengatasi segalanya. Abang kami Nadir Al-Nuri masih di Gaza. Menyambut hari kemenangan bersama rakyat Palestin di sana.

Kata-kata ibu kami pada malam hari raya benar-benar memberi kesan. Kata beliau, kita yakin yang menjaga abang Nadir adalah Allah.

Dan andai Allah takdirkan seseorang itu mati, maka ia tidak lewat walau sesaat. Bukan sahaja di negara perang, bahkan di mana-mana juga manusia akan mati.

Kata-kata itu sehingga kini aku simpan dalam hati, tetapi aku tidak akan pernah bosan menanti!

Air yang dicincang tidak akan putus.

Akhirnya, hari yang dinanti-nantikan tiba. Pada hari itu, aku ke Gaza, Palestin. Pada pengamatanku, bumi ini sama sahaja keadaannya dengan Jordan. Bezanya, bumi Gaza lebih hijau dan subur berbanding Jordan yang hampir keseluruhannya adalah padang pasir. Dan perbezaan yang paling ketara adalah perjalanan di sini ditemani jet pejuang yang galak melintas di atas kepala.

Abangku Nadir Al-Nuri yang membawa aku berjalan-jalan. Merentasi sebuah tempat seakan-akan taman. Ditemani pohon-pohon sebesar satu pemeluk orang dewasa tersusun rapi di kiri dan kanan.

Beliau bercerita tentang kehidupan di Gaza dan aku hanya mendengar. Sebelum berpisah, kami bersalaman dan berjanji untuk bertemu kembali di tanah air Malaysia. Ketika itu aku tahu, janji untuk bertemu kembali itu paling awal dapat direalisasikan pada dua atau tiga tahun lagi memandangkan kami maklum betapa untuk keluar dari bumi Gaza melalui sempadan Rafah tersangatlah payah. Perlu melalui sekatan askar Mesir tajaan Al-Sisi yang benci akan kemanusiaan.

Akhirnya, aku tersedar dari tidur. Ah, mimpi ke Gaza lagi rupanya. Serupa dengan jalan mimpi yang aku alami pada tidur yang sebelumnya.

Ternyata hampir sebulan selepas aku mengalami dua mimpi yang sama, akhirnya mimpi berkenaan menjadi kenyataan. Bezanya pertemuan kami adik-beradik tersusun di bumi Jordan selepas beliau berjaya keluar dari Gaza melalui sempadan Rafah. Kami berkumpul semula selepas hampir tiga tahun berpisah. Lebih manis, pertemuan ini tersusun di bulan Ramadan 2015. Alhamdulillah.

P/s: Mimpi ke Gaza ini aku catat rapi sebagai persediaan untuk dikongsi suatu hari nanti. Tidak disangka, perkongsian akan terjadi secepat ini. Subhanallah.


Tulisan Musa Nuwayri ini ada di dalam Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi.

Komen