Nampaknya banyak orang di Malaysia suka pada Jacinda Ardern yang memenangi pilihan raya New Zealand bagi kali kedua. Beliau seorang wanita, muda dan pernah memakai tudung ketika menghadiri upacara pengebumian mangsa serangan pengganas Ketuanan Kulit Putih ke atas sebuah masjid di negara itu.
Tetapi rasanya peminat Ardern di Malaysia adalah kebanyakannya dari kalangan penyokong Pakatan Harapan, yang sekarang kembali terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat, Parti Tindakan Demokratik dan Parti Amanah Negara.
Melihat reaksi netizen, banyak juga kalangan bukan penyokong Pakatan Harapan yang meminati Ardern. Mungkin kerana Ardern dilihat memakai tudung dan mesra dengan orang Islam. Sememangnya di kalangan orang Melayu, hati mereka mudah cair dengan perkara-perkara hubungan awam atau PR seperti ini. Dan Ardern cekap dalam hal ini.
Tetapi rasanya tidak ada sesiapa di Malaysia yang akan mengatakan bahawa Ardern itu komunis. Sememangnya Ardern dan partinya, Parti Buruh New Zealand bukan komunis. Dari segi ideologi, mereka adalah golongan kiri, daripada aliran demokrasi sosial, atau social democracy. Dalam tradisi spektrum politik, golongan kiri ini adalah sosialis. Sosialisme ini adalah luas, daripada yang sederhana atau moderat hinggalah ekstrem, komunis juga termasuk dalam sosialisme. Walaupun komunisme adalah sebahagian daripada sosialisme tetapi lebih banyak orang sosialis yang bukan komunis. Siapa dia komunis pun banyak tafsiran. Ada yang menganggap komunis adalah mereka yang menjadi ahli Parti Komunis yang layak dipanggil komunis. Jadi untuk membezakannya digunakan huruf K besar bagi ahli Parti Komunis seperti Jack Ma, pengasas Ali Baba. Komunis yang tidak berparti disebut dengan huruf kecil, komunis. Komunis pun mempunyai banyak aliran. Ada komunis menganggap Parti Komunis China sudah bukan komunis tulen. Begitu juga dengan Korea Utara. Panjang cerita dalam hal ini.
Selepas 50 tahun, parti-parti pun berubah. Kini orang tidak begitu merujuk golongan kiri sebagai sosialis. Ada yang menyebut mereka sebagai progresif. Kemudian ada istilah kiri tengah, centre left. Ini selalunya merujuk pada golongan kiri sederhana. Di sebelah ekstrem, disebut kiri jauh atau far left, di sinilah terletak orang komunis. Seperti mana spektrum di sebelah kanan. Ada centre right, golongan kanan tengah yang merupakan konservatif sederhana. Far right atau kanan jauh adalah golongan fasis dan neo-fasis. Termasuk populis ketuanan bangsa masing-masing. Ini pun panjang cerita.
Kalau dulu Parti Buruh berfahaman sosialisme demokrasi atau democratic socialism, iaitu sosialis yang berjuang melalui sistem demokrasi berparlimen dengan mengamalkan pilihan raya pelbagai parti. Tetapi kini fahaman Parti Buruh adalah demokrasi. Ia sudah berubah. Ini kerana kalau dulu fahaman sosialis merujuk pada dasar mereka untuk memiliknegarakan syarikat-syarikat swasta. Tetapi sekarang tidak, mereka tumpukan pada meningkatkan cukai orang kaya raya bagi mendanai program sosial seperti perkhidmatan kesihatan percuma bagi semua rakyat. Maka maksud demokrasi itu luas, ada demokrasi politik, demokrasi sosial dan demokrasi ekonomi. Apa yang pasti Ardern dan Parti Buruh New Zealand bukanlah komunis.
Di peringkat antarabangsa, Parti Buruh New Zealand adalah anggota Perikatan Progresif atau Progressive Alliance yang menjadi pertubuhan parti-parti yang berfahaman demokrasi sosial dari pelbagai negara. Parti dari Malaysia yang menjadi anggota adalah DAP yang turut mendokong demokrasi sosial. Malah pada tahun 2019, DAP menjadi tuan rumah bagi satu persidangan antarabangsa Progressive Alliance. Menteri-menteri muda DAP turut menyampaikan ucap tama mereka. Banyak parti demokrasi sosial turut hadir. Dalam sejarahnya, parti demokrasi sosial yang kuat dan sering menjadi kerajaan ialah di negara-negara Scandinavia iaitu Norway, Sweden, Iceland, Finland dan Denmark.
Di Malaysia, banyak orang mengkagumi negara-negara itu khususnya mengenai sistem kebajikan atau welfare state. Sejak ada Internet, banyaklah maklumat diterima dari sana dan ia menarik minat generasi muda. Terutama sistem pendidikan Finland. Malah ada yang mengharapkan bahawa negara Islam sepatutnya mempunyai sistem kebajikan seperti itu.
Penulis pernah mengunjungi Sweden, Norway, Denmark dan Finland pada tahun 1985 sebagai wartawan yang meliputi lawatan rasmi Perdana Menteri ke sana. Di sana perkhidmatan kesihatan dan pendidikan tinggi adalah dibiayai kerajaan. Ada seorang rakyat Malaysia yang bekerja di hotel menceritakan bagaimana mereka yang kehilangan pekerjaan menerima bantuan sara hidup dari kerajaan sehingga memperolehi semula pendapatan.
Parti-parti yang memerintah negara itu bukan komunis. Progressive Alliance bukan komunis. DAP juga bukan komunis. Tetapi di Malaysia, banyak orang Melayu menyatakan DAP itu komunis. Bukan sebab fahaman politik tetapi lebih kerana perkauman. Malah ada yang menyamakan orang Cina dengan komunisme. Tanpa memahami ideologi komunisme, ada yang menganggap semua orang Cina adalah komunis. Malah Persatuan Cina Malaysia, yang menjadi sekutu UMNO pun dikatakan komunis. Ini soal rasisme bukannya ideologikal.
Maka dikatakan bahawa MCA itu diasaskan oleh ahli-ahli Kuomintang atau Parti Nasionalis China di Malaya. Kuomintang bukan parti komunis walaupun ia ada sayap kiri. Kuomintang mengasaskan Republik China, kini merupakan negara Taiwan. Mereka memerangi komunis dalam parti itu. Sayap kiri kemudian keluar untuk menjadi Parti Komunis China yang kini memerintah Republik Rakyat China.
Di Malaya, anggota Kuomintang yang antikomunis menyertai MCA. Mereka yang komunis menyertai Parti Komunis Malaya. PKM memang komunis. Kebanyakan ahli PKM adalah orang Cina tetapi tidak semua ahlinya orang Cina. Ada orang Melayu dan India. Pengerusi PKM adalah Musa Ahmad, siapa yang tidak mengenali Rashid Maidin, Abdullah CD dan Shamsiah Fakeh, dan Mat Indera. Hal keganasan dan kekejaman mereka pula adalah cerita lain.
Tetapi sejarah DAP tentu ada kaitan dengan Parti Tindakan Rakyat di Singapura. Kehadiran PAP adalah untuk melawan PKM kerana memang dirasakan majoriti penduduk Singapura pada tahun 1960-an menyokong PKM dan Republik Rakyat China. Lee Kuan Yew dan PAP adalah antikomunis dan melawan PKM. Mereka mendapat sokongan pentadbir kolonial British. Peranan PAP adalah menghalang Singapura daripada jatuh ke tangan komunis. Tetapi pada masa itu fahaman politik mereka adalah sosialisme demokratik, Gagasan Malaysian Malaysia adalah cerita lain. Kedua-dua perkara ini, sosialisme demokratik dan Malaysian Malaysia tiada kaitan dengan komunisme.
Malah dalam pilihan raya tahun 1964, PAP bersama Perikatan mempertahankan Malaysia ketika mana Socialist Front dan PAS menolak gagasan itu.
Apabila Singapura dikeluarkan dari Malaysia, bekas ahli PAP di negara ini menubuhkan DAP, yang meneruskan perjuangan parti asal mereka. Mereka adalah antikomunis yang bukan saja menentang PKM tetapi juga Parti Buruh Malaya. Walaupun Parti Buruh bukan komunis tetapi ketika itu dipercayai terdapat anggota-anggotanya yang simpatisan komunis. Simpatisan komunis tidak bererti mereka komunis
Tetapi fahaman DAP ketika itu seperti juga PAP adalah sosialisme demokratik. Sebab itu, sayap pemudanya dipanggil DAP Socialist Youth. DAP dan PAP juga anggota Socialist International yang menggabungkan parti-parti sosialisme demokratik di seluruh dunia. Socialist International adalah antikomunis yang ditubuhkan untuk melawan Communist International. Tetapi kemudiannya PAP kena pecat daripada Socialist international kerana kerajaan Singapura menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). DAP kekal dalam Socialist International.
Sekitar tahun 2000-an, DAP menggugurkan gagasan Malaysian Malaysia dan democratic socialism. Ia digantikan dengan social democracy. Ia berlaku di banyak parti kiri di seluruh dunia. Socialist International digantikan dengan Progressive Alliance. Mereka semua bukan komunis.
Kalau hendak bercakap mengenai perkauman atau mengenai hubungan politik Melayu dan Cina di Malaysia, itu cerita lain. Ia tiada kitan dengan komunisme atau sosialisme. Setiap ideologi ada sikap masing-masing terhadap isu perkauman dan kebangsaan. Tetapi fahaman sosialisme menekankan pada soal keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan. Untuk semua kaum, bangsa dan anutan agama.

Zin Mahmud adalah bekas wartawan Utusan Malaysia, Harian Watan dan Harakah. Pernah menerbitkan majalah Dunia Islam. Bukunya, Ideologi! Sebuah Memoir diterbitkan oleh Republik Buku. Kini beliau adalah kolumnis portal berita Free Malaysia Today dan akhbar mingguan Wilayahku.