Jacinda Ardern, ketua Parti Buruh New Zealand telah beroleh kemenangan dalam pilihan raya umum New Zealand dengan parti beliau memenangi 64 dari 120 kerusi yang dipertandingkan. Jika ada yang berfikiran bahawa kedudukan Parti Buruh adalah goyah kerana beroleh majoriti 4 kerusi (61 adalah angka untuk majoriti mudah), maka ketahuilah bahawa di New Zealand mereka mengamalkan sistem mengundi mixed-member proportional (MMP) di mana hanya 72 kerusi dipertandingkan mengikut kawasan (electoral) manakala baki 48 kerusi dipertandingkan mengikut senarai parti (party list). Sistem ini memang direka khusus untuk memastikan tiada parti menang dengan majoriti besar dan semua parti bertanding mempunyai peluang mendapat kerusi di parlimen berdasarkan undi popular.
Oleh itu, kemenangan Parti Buruh masih boleh dikira besar untuk sebuah pilihan raya dengan sistem MMP tadi. Dan ia merupakan penggal kedua berturut-turut buat Jacinda Ardern dan Parti Buruh membentuk kerajaan sejak kali pertama melakukannya ketika PRU tahun 2017. New Zealand mengamalkan pusingan penggal parlimen setiap tiga tahun berbanding lima tahun di Malaysia. Pilihan raya mereka yang berikutnya adalah pada tahun 2023, tahun yang sama untuk penggal parlimen ke-14 Malaysia tamat dan pilihan raya umum perlu diadakan.
Kemenangan Jacinda Ardern mendapat reaksi positif di Malaysia. Ia tidak menghairankan kerana populariti Jacinda berpunca dari dua perkara yang jika mengikut kaca mata rakyat Malaysia, menjadikan beliau seorang tokoh politik kegemaran. Pertama, bagaimana Jacinda dan kerajaan New Zealand menangani tragedi keganasan tembakan masjid Christchurh pada tahun 2019. Kedua, bagaimana Jacinda dan kerajaan New Zealand menangani pandemik COVID-19 pada tahun 2020. Dua kejayaan ini menimbulkan fenomena Jacindamania di New Zealand, dan anginnya turut bertiup sampai ke Malaysia.
Maka tidak hairanlah Jacinda Ardern menjadi idola dan idaman rakyat Malaysia juga. Oleh sebab itu kemenangan besar beliau dalam pilihan raya umum 2020 ini membuatkan ramai di Malaysia yang berangan, mungkinkah kita juga mampu mendapat sosok Perdana Menteri wanita dan berumur lebih kurang sama seperti Jacinda? Angan yang mungkin muncul dari kerana rasa mual kita terhadap politik negara yang tak habis-habis memilih lelaki berumur berpangkat atuk untuk menjadi Perdana Menteri.
Tetapi, bolehkah seseorang seperti Jacinda Ardern muncul di Malaysia?
Untuk menjawab persoalan ini, yang pertama perlu kita fahami ialah suasana politik di New Zealand dan bezanya dengan apa yang kita alami di Malaysia.
Tidak seperti di negara kita, politik di New Zealand sudah jauh merentasi persoalan bangsa dan agama. Kesemua parti yang bertanding dalam pilihan raya umum 2020 mempunyai ideologi parti yang tidak terikat pada takrifan kaum atau kepercayaan agama. Parti Buruh mendukung demokrasi sosial, New Zealand First dengan nasionalisme, Parti Hijau (Green) mengangkat politik hijau, ACT New Zealand bertunjangkan liberalisme klasik dan National dengan konservatisme. Bahkan Parti Maori yang memperjuangkan hak orang asal tetapi keahliannya terbuka kepada semua rakyat New Zealand. Tidak ada parti politik yang memilih ahli mengikut acuan bangsa atau agama.
Jacinda Ardern dan Parti Buruh menang atas ideologi demokrasi sosial yang mereka tawarkan. Di sini saya tidak akan bersyarah tentang ideologi politik tersebut, namun berminat untuk menjelaskan idea politik sedemikian juga telah lama wujud di Malaysia. Salah satu parti yang membawa aspirasi demokrasi sosial di Malaysia adalah Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Persamaan kedua parti tersebut tidak terhad pada ideologi semata. Malahan, Parti Buruh New Zealand dan DAP untuk pengetahuan semua adalah rakan sekutu dalam skala lebih besar di peringkat antarabangsa iaitu Progressive Alliance. Progressive Alliance adalah perikatan politik antarabangsa untuk parti-parti politik yang mendukung demokrasi sosial dan ideologi progresif. Selain Parti Buruh New Zealand dan DAP, rakan sekutu lain adalah seperti Partai Demokratik Indonesia – Perjuangan (Indonesia), Fatah (Palestin), Parti Pekerja (Singapura), Parti Buruh (United Kingdom) dan Demokratik (Amerika Syarikat). Secara total Progressive Alliance mempunyai 140 ahli di seluruh dunia.
Jacinda Ardern pula, sebagai individu yang mengetuai Parti Buruh New Zealand menyertai parti tersebut sejak berumur 17 tahun lalu menjadi figura penting dalam Young Labour, saya pemuda parti. Pada tahun 2008, Jacinda telah dipilih menjadi Presiden untuk Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa (International Union of Socialist Youth, IUSY), jawatan yang turut membantu melonjakkan karier politik beliau di New Zealand. Jawatan Presiden IUSY adalah jawatan yang telah diisi oleh tokoh pemuda sosialis dari pelbagai negara di seluruh dunia. Pada tahun 2016, Howard Lee Chuan How, Ketua DAPSY (DAP Socialist Youth) Kebangsaan menjadi rakyat Malaysia pertama yang dilantik sebagai Presiden IUSY.
Tetapi Howard Lee Chuan How seorang lelaki dan bukannya wanita, walaupun beliau muda seperti Jacinda. Namun begitu tidak bermakna di Malaysia, kita ketandusan tokoh politik wanita yang muda seperti Jacinda.
Jika wanita, ahli parlimen dan lingkungan umur 35 ke 45 tahun menjadi penanda aras untuk kita mencari sosok seperti Jacinda Ardern di Malaysia, maka calon yang mungkin jatuh ke dalam liputan radar kita adalah seperti Nurul Izzah dari PKR, Yeo Bee Yin, Hannah Yeoh, Teo Nie Ching dan Kasthuri Patto dari DAP; Isnaraissah Munirah dari WARISAN atau mungkin Mas Ermieyati dari BERSATU.
Ya, kita tidak ketandusan tokoh politik wanita yang muda. Persoalan kenapa kebanyakan calon di atas datang dari parti DAP, mungkin tidak perlu dihurai terperinci. Cukup kalau kita sedar Jacinda Ardern datang dari parti demokrasi sosial seperti DAP. Mungkin ideologi yang sedemikian membenih subur pejuang politik wanita muda, kerana kita semua tahu dalam parti seperti UMNO seorang wanita muda akan hanya dihadkan di dalam sayap bawahan seperti Puteri UMNO dan mungkin perlu menunggu sehingga berumur 45 tahun dan ke atas untuk ditawarkan jawatan menteri kabinet.
Cuma persoalan yang lebih besar, adakah wanita muda seperti Jacinda Ardern boleh diangkat menjadi Perdana Menteri di Malaysia? Kita mengangankannya, tetapi realiti politik kita terlebih dahulu perlu berubah.
Berubah dari mendukung politik berasaskan bangsa dan agama kepada politik bertunjangkan ideologi dan falsafah yang sejagat. Berubah dari mempertikaikan wanita tidak layak memimpin kepada mengiktiraf wanita juga adalah penyumbang besar untuk kemajuan politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan pelbagai aspek kenegaraan yang lain. Berubah dari melihat wanita sekadar jantina yang diasiosasi dengan emosi, seks dan pelbagai kontasi seksis yang lain.
Namun, jika kita masih berfikiran parti demokrasi sosial seperti DAP itu saki-baki pengganas komunis, cauvinis dan tokoh wanita di dalamnya (atau mana-mana parti lain) tidak boleh memimpin kerana agama atau bangsa, atau kerana wanita itu emosional, tidak pandai berpolitik atau pun faktor umur menjadikan seorang calon itu tiada pengalaman dan masih mentah, maka janganlah kita mengharapkan Jacinda Ardern di Malaysia. Atau pun jika kita masih menghakimi ahli politik wanita dari segi rupa, pakaian mereka atau pun dengan siapa dia bersuamikan.
Saya masih ingat bagaimana 13 tahun dulu ahli parlimen saya pernah diperlakukan sebegitu. Beliau masih muda ketika dihina dengan perkataan ‘tiap-tiap bulan pun bocor’ hanya kerana membahaskan isu kebocoran bangunan Parlimen di dalam Dewan Rakyat. Ahli parlimen saya ketika itu dilihat sebagai wanita muda yang lantang dan berani serta merupakan harapan masa depan politik Malaysia.
Menjadi seorang wanita dan menceburkan diri dalam politik di Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi bila ungkapan rasis seperti “hitam, tak nampak” atau seksis seperti “tiap-tiap bulan pun bocor” dituturkan dalam Dewan Rakyat untuk menghina ahli Dewan Rakyat wanita, dan dalam kebanyakan kes ianya terlepas begitu sahaja.
Perkara-perkara sebegini yang menyukarkan kita mendapatkan ‘Jacinda Ardern’ buatan Malaysia.
Maka sebelum kita berangan, moleklah terlebih dahulu jika kita mengubah senario politik negara dengan membuang sikap perkauman, keagamaan, diskriminasi gender dan sebagainya dari kancah politik.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.